Jumaat, 26 Mac 2010

Zulkifli Berdalih Tidak Mahu Sebut Nama 'Pihak Ketiga'

KUALA LUMPUR 26 Mac - Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin tidak berani mempertahankan dakwaan beliau mengenai pihak ketiga yang didakwa cuba memujuk beliau membuat akuan bersumpah untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Aktantuya Shaariibuu tetapi berdalih bahawa kenyataan beliau hanya dibuat dalam konteks ucapan tentang budaya fitnah yang melanda politik negara.
"Saya tak pernah sebut nama sesiapa pun, ia cuma dalam konteks ucapan tentang budaya fitnah politik yang melanda di dalam negara, budaya fitnah terhadap Anwar, fitnah terhadap Tok Guru Nik Aziz dan fitnah terhadap Perdana Menteri, itu tujuan dia bukan untuk dedah sesiapa pun.
"Berkaitan dengan nama yang mengarahkan siapa, saya tak sebut, isu dia tentang isu budaya fitnah politik yang berlaku bukan orangnya.

"Saya tidak berniat untuk mengaibkan orang melainkan perlu atau saya diletakkan dalam keadaan terpaksa maka saya sebutlah tapi dalam konteks ucapan saya tidak ada keperluan pun," ketika ditanya media bersama tiga rakan Bebas dalam satu sidang akhbar di Parlimen semalam.
Berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa pihak polis akan memanggil beliau berhubung dakwaan tersebut, Ahli Parlimen itu akan meneliti untuk memberi butiran lanjut.
"Setakat ini apa yang saya lihat, dari segi undang-undang tidak ada keperluan sebab apa yang saya sebut cuma nak mengambarkan budaya fitnah yang sedang berlaku sesuai dengan kekhuatiran Tuanku, itu sahaja,
"Tapi kalau KPN panggil untuk bincang lanjut, saya akan tengoklah macam mana keadaan," kata beliau.
Sebelum itu di dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh mencabar Zulkifli supaya menamakan pihak ketiga tersebut.
Karpal juga mendesak agar Zulkifli dan anggota Bebas yang lain meletak jawatan kerana telah mengkhianati amanat pengundi kawasan mereka.SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan