Oleh MAT ZAIN MAT ISA
Renungkan beberapa fakta berikut. Pertama, seramai 6,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu dikenal pasti sebagai pelajar berisiko terbabit dalam berbagai masalah sosial.
Kedua, seorang pelajar perempuan di Besut yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada rakannya sehingga berhutang RM1,000 bersubahat membuka laluan rumahnya dipecah masuk rakannya itu bagi melunaskan hutangnya.
Ketiga, seorang pelajar perempuan dari Marang tergamak menggadaikan tubuhnya untuk diratah samseng jalanan hanya dengan tukaran nilai tambah kredit telefon bimbit berharga RM5.
Keempat, hasil Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan (NHMS), Terengganu berada di kedudukan ketiga kadar peningkatan masalah gangguan mental kanak-kanak dan remaja.
Kelima, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu mendedahkan sepanjang 2009 seramai 127 pelajar ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah, termasuk curi motosikal, pecah rumah, rogol dan pemerasan.
Demi Allah apa yang dimuatkan di atas bukannya rekaan atau figmentasi penulis. Semua kes dan fakta itu dikutip dari paparan dua tabloid harian edisi Terengganu antara Jumaat (26 Februari) hingga Isnin (1 Mac) lalu.
Fakta pertama tadi memetik pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Menurutnya, masalah ponteng sekolah mencatatkan peratusan tertinggi. Selebihnya membabitkan gejala samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah.
Ada pun kes di Besut itu memetik kenyataan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria. Katanya, pelajar Tingkatan Empat itu mengambil kesempatan melunaskan hutangnya ketika dia dan keluarga bercuti ke Kuala Lumpur hujung minggu itu.
Pelajar itu membuka selak tingkap rumah yang sebelum itu sudah dikunci bapanya bagi memudahkan dua rakannya yang juga pembekal video lucah dilangganinya memecah masuk rumahnya. Beberapa barang kemas milik ibunya didapati hilang sebaik keluarga itu pulang.
Minat remaja belasan tahun terhadap aksi lucah rupanya tidak terhenti sekadar sebagai penonton video. Mereka juga sanggup melakukannya sendiri. Itulah yang terbukti dengan pengakuan pelajar Tingkatan Tiga dari Marang. Akhbar turut menyiarkan gambarnya dari sisi belakang dengan pakaian 'topless'.
Selain menjaja tubuh, remaja itu turut mengakui menjadi anggota kumpulan samseng jalanan sejak lebih setahun lalu dan bergiat aktif di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Dengan bayaran hanya RM5 dia sedia menyerahkan tubuhnya kepada lelaki.
"Saya akan ikut sesiapa saja yang memenuhi permintaan saya dan selepas setahun menjadi minah rempit, saya sering bertukar pasangan dan sehingga kini sudah lebih 20 lelaki mendampingi saya," akuinya tanpa rasa malu.
Tidak syak lagi pengakuan berani sebegitu mengundang seribu persoalan mengenai aspek asuh didik dan penyemaian nilai murni hidup terhadap mereka. Sungguh menjijikkan, mereka bagaikan hidup tanpa ilmu dan kesedaran tentang dosa-pahala.
Apakah didikan agama dan akhlak tidak sampai kepada mereka? Ataukah mereka sebenarnya dibelenggu kaedah berfikir yang sudah tidak normal? Satu soalan agak sensitif, tetapi wajar ditanyakan, apakah perlakuan sedemikian menggambarkan kesempurnaan kesihatan mental remaja kita?
Jika hujah-hujah dikemukakan Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dijadikan sandaran, persoalan itu mungkin lebih mudah dirungkaikan. Menurut Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi, peningkatan masalah gangguan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja di Terengganu antara lain disebabkan faktor persekitaran dan pembangunan fizikal yang terlalu pesat yang tidak seimbang dengan pendedahan dalam aspek kerohanian.
"Kebanyakan kanak-kanak tidak mampu berhadapan dengan pembangunan yang berlaku terlalu pesat sedangkan pendedahan yang diterima dalam aspek kerohanian tidak diberikan penekanan," katanya.
Menurutnya lagi, desakan hidup yang melampaui kemampuan diri dan kehendak sebenar seseorang anak juga mengakibatkan kecelaruan dalam diri mereka.
Meskipun akhbar-akhbar berkenaan sekadar melaporkan apa yang kebetulan berlaku pada hari-hari terbabit dan tidak berhasrat mengaitkan antara satu kes tadi dengan yang lain, hubungkait itu boleh diperhati dan dinilai sendiri oleh para pembaca.
Misalnya, akibat kurang pendedahan terhadap nilai agama beserta desakan hidup yang cintakan kebendaan, maka generasi muda mudah terjebak dengan segala macam aktiviti jenayah. Statistik dikeluarkan polis berhubung tangkapan pelajar tadi mengesahkan andaian tersebut.
Seringkali disebutkan orang bahawa apa pun isu yang disorot media atau termuat di dada akhbar hanyalah sebahagian amat kecil berbanding jumlah kes sebenar di luar sana. Kita percaya kes dan fakta berhubung salah laku sosial dan kebejatan moral remaja juga tidak terkecuali.
Cuma agak mendukacitakan apabila kes-kes tersebut berlaku di Terengganu, negeri yang telah melancarkan program penjanaan generasi Ulul-Albab. Sudah lebih enam tahun program itu dicanangkan kerajaan negeri. Sepatutnya ia telah menampakkan kesan positif, paling tidak pun lebih baik berbanding negeri-negeri lain yang tiada program Ulul-Albab!
Di Emelkan Oleh M.Zain M.Isa
islam hadhari, terngganu bestari...
BalasPadam