Khamis, 11 Mac 2010

Cerai isteri kedua: Bukan Sultan Kelantan failkan permohonan


KOTA BARU, 11 Mac — Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan-Tinggi, Abu Bakar Abdullah Kutty mengesahkan bukan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga terhadap isteri keduanya Elia Suhana kelmarin.
“Bukan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebenarnya yang mengemukakan permohonan tersebut sebagaimana dikeluarkan (dalam) akhbar, tetapi ia dipohon oleh seorang wanita yang bernama Nik Rohana Abdul Rahman.
“Beliau mendakwa Tuanku Sultan telah melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri keduanya Elia Suhana,” kata beliau kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Abu Bakar ditanya mengenai laporan media bahawa Sultan Kelantan telah memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Syariah di sini kelmarin.
Abu Bakar bagaimanapun tidak menjelaskan status Nik Rohana, sebaliknya hanya memberitahu dia “seorang wanita yang tinggal di Taman Petranis” di sini.
“Hanya setakat itu sahaja yang boleh saya maklum sebab saya sendiri pun tidak tahu siapa Nik Rohana,” katanya.

Abu Bakar menambah, kenyataan hari ini keluarkan berdasarkan dokumen rasmi yang telah didaftarkan.
“Dan apa yang ada di hadapan saya ini bukan Tuanku sendiri yang failkan tetapi difailkan oleh pihak lain, itu sahaja,” katanya.
Menjawab prosedur permohonan tidak melibatkan empunya diri pejabat pendaftar mahkamah wajar menerima permohonan seumpama itu, Abu Bakar berkata ia tidak bercanggah dengan undang-undang.
“Dari segi prosedur kita boleh daftar permohonan ini dan terserah kepada mahkamah untuk menentukan, mahkamah yang akan membuat keputusan,” katanya.
Sultan Kelantan dikatakan telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 31 Dis 2007.
Laporan Bernama kelmarin menyebut Sultan Ismail melalui peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana.
Zainul berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai.
Mengikut laporan, Zainul mendakwa beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai yang telah dilafazkan baginda pada 12 Febuari lalu di hadapan beberapa orang saksi.
Sehubungan itu mahkamah putuskan akan mendengar permohonan itu pada 21 Mac ini.
Semalam, peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan ketika diminta komen berhubung perkembangan itu enggan mengulas lanjut kerana masih menunggu segala dokumen berkaitan daripada Zainul Rijal.
“Saya tak dapat beri apa-apa komen sebab belum terima lagi dokumen-dokumen yang berkaitan,” katanya sambil mengakui sudah membuat permohonan untuk mendapatkannya daripada pihak Zainul Rijal.
Bagaimanapun kata Fakhrul Azman, pihaknya tidak akan menerima permohonan itu begitu sahaja sebaliknya akan mempertikaikannya berdasarkan hujah-hujah termasuk hak melafaz talak sebagaimana menurut hukum syarak.
Beliau menegaskan demikian setelah mendapati dakwaan kononnya permohonan pengesahan cerai yang difailkan itu membabitkan pihak ketiga.
“Saya difahamkan begitu. Maksudnya bukan Tuanku sendiri yang failkan,” ujarnya.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, beliau berkata, “permohonan itu sah difailkan oleh pihak ketiga.”
“Tidak salah pihak pendaftar terima pendaftaran itu,sebab yang akan tentukan nanti ialah mahkamah... terpulang kepada mahkamah sama ada untuk terima atau tidak,” kata Fakhrul Azman.TMI

1 ulasan:

  1. Asalamualikum.

    Saya berasa hairan bin ajaib ngapa orang sibuk sangat tentang Tuanku kawin. Baginda seorang Sultan - ada kedudukan, wang ringgit, harta dan . Baginda bukan saja mampu kawin lagi ..........kalau Islam membenarkan kawin 100 orang pun, baginda mampu. Ini kan pula HANYA tambah satu orang. So what????

    Sebagai rakyat yang setia kepada sistem Raja berpelembagaan......saya menyokong penuh Al Sultan kawin lagi. Tuanku kita seorang yang serba lengkap dan mampu (sebelum baginda gering)- wajar benarlah baginda kawin lagi. Tak kan kita nak "halal"kan sebagaimana cerita dulu-dulu.....cerita zaman dulu simpan "gundik" dan sebagainya. Itu lah kehendak Islam dan budaya Melayu di Malaysia sekarang. Lain lah kalau budaya orang Siam, tak tau la ambo.

    Sekarang baginda dah kawin dan gering lak tu. So tak kan tak menyempat tunggu baginda sihat kalau nak cerai sekali pun. Ini macam ada mainan "silap mata" jer....seolah2 ada "kuasa ghaib" yang yang tak senang dengan "kebahgian" tuanku - cuba arah itu dan ini. Kalau itulah hal nya.........wahai "Orang berkenaan" rakyat tahu permainan anda....... Jangan sampai rakyat bangit dan mengusir "beliau" yang berkenaan mengusir dari bumi Kelantan Serambi Mekah ini.

    Jangan pandai berlakun........ hok tu rakyat tahu semua doh tau.

    BalasPadam