Khamis, 25 Mac 2010

Anak artis Azean, teman wanita didakwa edar dadah hari ini

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Anak pelakon Azean Irdawaty (gambar), Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang ditahan reman sejak dua minggu lalu dijangka dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes edar dadah.
Dia dijangka dituduh bersama teman wanitanya yang berusia 23 tahun, yang turut ditahan 11 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata kes siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tujuan pendakwaan.
“Kita sudah selesai menyiasat kes ini dan hanya menunggu maklum balas pendakwa untuk tindakan selanjutnya.
“Arahan pendakwaan dijangka diperoleh hari ini. Ia berikutan perintah reman kedua-dua suspek sudah berakhir,” katanya dipetik Berita Harian.

Mereka ditahan reman di Pusat Tahanan Reman Bukit Jalil di sini.
Benjy ditahan bersama teman wanitanya di sebuah unit kondominium disewanya di Kepong yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.
Dia ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan sebuah makmal mini memproses dadah di Kepong.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pelakon bersiri itu telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Dia juga pernah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik (telefilem) pada Anugerah Skrin beberapa tahun lalu.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan