Sabtu, 6 Februari 2010

Tok Guru Nik Aziz Perjelas Kenyataan Pelawa Umno Berbincang Dengan PAS


KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kenyataannya mempelawa Umno untuk duduk semeja berbincang dengan PAS, adalah semata-mata untuk menyelesaikan isu agama Islam yang diperjuangkan parti pembangkang itu.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perkara berkenaan bukannya baru dan pernah disarankan sejak berpuluh tahun lalu.
"Dalam perbincangan itu, kita menumpukan kepada dua perkara utama saja, iaitu kenapa Umno tidak boleh terima Islam sebagai dasar parti itu, dan apakah salahnya Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang menyalahtafsirkan pelawaannya hingga menimbulkan salah faham di kalangan pimpinan Umno dan PAS sendiri.

"Saya memang nak berunding atau bermuzakarah lama dah, malah surat yang saya hantar (untuk tujuan itu) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)tiga bulan lepas, belum terjawab," katanya.
PAS sebelum ini pernah dilanda polemik apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disokong beberapa pimpinan tertinggi parti itu, termasuk Timbalannya, Nasarudin Mat Isa dan Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali, menyarankan untuk bekerjasama dengan Umno ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan di negara ini.
Tindakan pemimpin itu dikecam hebat oleh Nik Aziz yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyarankan supaya diadakan muktamar agung khas bagi menjernihkan kemelut dalaman PAS.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada beberapa pemimpin Umno yang menyambut baik pelawaannya dan rata-rata menyifatkan sebagai perkembangan positif.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan