KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya jutawan, Elie Youssef Najem diberkas di sebuah hotel di sini bersama wang lama palsu Amerika Syarikat.
Pada tahun 2006, lelaki yang berasal dari Lubnan itu pernah membuat kontroversi berhubung dakwaan memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Majlis Kanser Nasional (Makna).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam Ahad lepas setelah seorang pekerja hotel di Bukit Bintang itu membuat laporan polis selepas menerima sekeping wang kertas US$500 sebagai tip daripada lelaki itu.
“Pekerja wanita yang mendapat wang kertas itu segera pergi ke pengurup wang berdekatan untuk menukar wang berkenaan kepada Ringgit Malaysia.
“Bagaimanapun dia terkejut apabila mendapati wang berkenaan adalah duit palsu dan mengadukan perkara itu kepada penyelianya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak polis,” katanya.
Sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Ridhwan Ani menyerbu bilik hotel Elie dan mereka menemui 60 keping wang kertas US$1 juta setiap satu, 60 keping wang kertas US$100,000 dan 40 keping wang kertas US$500.
Nilai paling tinggi wang kertas dolar Amerika Syarikat sekarang ialah US$100.
zany berkata polis sedang menyiasat dari mana wang itu diperoleh dan tujuan ia digunakan.
"Kalau kita tengok wang itu ia merupakan mata wang lama dipercayai digunakan sekitar tahun 1934,” katanya.
Izany berkata, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 489 © Akta Tatacara Jenayah atas kesalahan memiliki wang palsu.
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.
Elie kini ditahan reman selama 14 hari hingga 23 Januari depan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Suspek itu juga sedang menghadapi perbicaraan kerana tuduhan menipu.
Elie didakwa di bawah Seksyen 417 Akta Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 8 Januari lalu.Mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan