Khamis, 28 Januari 2010

Suka duka pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar

Subky Latif

DR. ABDUL Aziz Bari dalam tulisannya telah menyebut tentang licinnya peralihan kuasa takhta kerajaan Johor dari Almarhum Sultan Iskandar kepada Sultan Ibrahim Ismail menjelang pekebumian Almarhum Sultan Johor itu.

Putera sulung Almarhum Sultan Iskandar yang menjadi Tengku Mahkota selama baginda bersemayam di atas takhta. Mengikut peraturan sebelum perkebumian seorang sultan, sultan baru dimahkotakan. Tugas pertama baginda memerintahkan perkebumian disempurnakan.

Sejarah pula menyaksikan tidak selicin itu ketika Almarhum menaiki takhta. Semasa persemayaman Almarhum Sultan Ismail, Tengku Mahkota Johor adalah adinda Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum pula adalah Raja Muda. Waris pertama takhta adalah Tengku Mahkota.

Di saat terakhir majlis Pangkuan Raja membuat perubahan, menukar Tengku Mahkota kepada Raja Muda tadi. Seperti ada kekeliruan. Menjelang perkebumian Almarhum Sultan Ismail, majlis Pangkuan Raja memasyhurkan Tengku Mahkota sebagai Sultan yang baru bergelar Sultan Iskandar. Ia berakhir di situ.

Rakyat Johor pula menyaksikan Almahum Sultan Iskandar memulakan pemerintahan baginda dengan satu kejutan. Baginda menaiki mimbar masjid memberikan khutbah Jumaat di hadadpan Perdana Menteri Tun Hussein Onn.


Jarang terdapat seorang pemegang takhta membaca khutbah dalam masa beberapa dekad sebelumnya, tetapi Sultan Iskandar telah memenranjatkan dan mengkagumkan sekalian rakyat jelata, mampu menyampaikan khutbah tanpa sebarang teks.

Sebagaimana rakyat Kelantan sekarang kagum dengan pemangku Sultan, Tengku Faris Petra berupaya mengimankan solat hajat di makmumkan oleh puluhan ribu rakyat di Stadium Tengku Muhammad. Paling menarik antara makmum itu adalah Menteri Besar Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Jaranglah di Kelantan kalau ada Tok Guru Nik Aziz, ada orang lain yang jadi imam. Masing-masing membeli laluan kepada Tok Guru. Tetapi dalam perkembangan terbaru, Tok Guru memberi laluan kepada Pemangku Sultan. Baginda tidak berasa terganggu bahkan baginda juga mengimamkan doa selepas solat hajat dengan diamimkan oleh Tok Guru.

Ia bukan mengkagumkan orang Kelantan, malah mengkagum penduduk negara seluruhnya.

Begitulah juga Almarhum Sultan Iskandar ketika baru menaiki takhta dulu. Bukan rakyat di Johor saja yang terpesona dengan baginda. Rakyat di negeri-negeri lain juga memberi perhatian kepada Sultan Johor.

Lain-lain Sultan yang seangkatan dengan baginda tidak pernah naik mimbar, sedang ia suatu yang sewajarnya dilakukan oleh setiap pemerintah yang mahu dipanggil ulil amri, tetapi baginda melakukan suatu yang tidak dibuat oleh raja lain.

Baginda pun menjelajah ke setiap daerah dan menyampaikan pula khutbah di masjid yang dikunjunginya itu.

Penampilan al-Sultan itu antara yang menambat hati rakyat jelata memberikan perhatian kepada baginda.

Bagaimana pun selepas beberapa bulan tiada berita lagi baginda menyampaikan khutbah.

Sebagai mana rakyat di lain-lain negeri, rakyat Johor memberikan penuh kasih sayang dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada sultannya seperti yang dirakamkan oleh penyiar telivisyen dalam ulasannya di hari pengkebumian baginda.

Almarhum Sultan Iskandar dilihat serius dan menggerunkan tetapi ia menambat kasih sayang rakyat. Semasa baginda menjadi Yang Di Pertuan Agong setiap kali Hari Raya Idil Fitri, Istana Negara mengadakan hari terbuka. Puluhan ribu rakyat jelata dari berbagai keturunan dan agama memberi masa menghadiri hari terbuka.

Jarang terdapat keramaian seperti itu dari sejak pagi hingga ke petang, tetapi ia berlaku semasa baginda bersemayam di Istana Negara.

Ujian besar yang baginda hadapi semasa pemerintahannya ialah berlaku gerakan dari kerajaan pusat bagi mengurangi kekebalan dan kuasa para raja. Banyak perbincangan diadakan bagi meminda perlembagaan dalam bab yang menyentuh kedaulatan raja-raja bertakhta.

Hingga ada ulasan dari pemimpin pembangkang, langkah melucut kekebalan yang ada pada Raja boleh menyebabkan raja hilang kedaulatan, bahkan raja boleh dilihat tinggal gigi dan gusi saja.

Tindakan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir itu dibimbangi, raja-raja boleh hilang kuasa, tetapi ia memberi kuasa yang terlalu banyak pula kepada Perdana Menteri.

Tindakan bagi mengurangkan kuasa raja-raja atau melucutkan kekebatan takhta itu tidak disenangi oleh sekalian raja-raja. Tidaklah mudah kekebalan itu hendak dilucutkan melainkan atas perkenan raja-raja sendiri.

Sebarang pindaan perlembagaan memerlukan perkenan raja-raja, maka tidaklah mudah ia hendak dilaksanakan. Tetapi suasana menyebabkan tiada larangan bagi orang-orang tertentu untuk bercakap tentang kedudukan raja.

Ia dikira satu kejadian yang malang, bukan saja dihadapi oleh raja tertentu tetapi ia dilalui oleh sekalilan raja-raja.

Bagaimana pun isu itu akhirnya dapat dihentikan. Ia satu ujian kepada raja-raja tetapi ia tidak pula mengurang kesetiaan rakyat kepada raja masing-masing. Keindahan sistem beraja tidak pula luntur di kalangan rakyat dan keperluan sistem beraja dirasa begitu ketara dihayati rakyat.

Ia dibuktikan oleh rakyat yang membanjiri laluan perarakan jenazah AlMarhum Sultan Iskandar sejauh tiga kilometer dari Istana ke pusara diraja di makam Bukit Mahmudiah. Sepanjang jalan dan di kawasan permakaman dipenuhi oleh rakyat jelata yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Rakyat meninggalkan kerja harian semata-mata untuk bersama simpati kesedihan atas pemergian seorang raja.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan