KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengambil pendirian yang sama dengan Selangor dengan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam di negeri ini bagi mengelakkan timbulnya ketegangan di kalangan masyarakat di negeri ini.
Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan arahan rasmi seperti yang dilaksanakan di Selangor memandangkan tidak ada lagi insiden yang memburukkan keadaan berlaku di negeri ini.
“Pada asasnya memang boleh guna. Tetapi oleh sebab ada mainan di belakang untuk menimbulkan dan menyekat perkara yang tidak betul ini maka usul fekah kita menyebut benda harus kalau bahaya boleh sekat, kalau benda harus ada manfaat wajib.
“Jadi untuk menyekat daripada timbul celaru ke atas orang berniat tidak baik menggunakan kalimah Allah ini maka kita boleh terima bahawa sekatan ini boleh dibuat. Tapi di Kelantan saya berharap tidak akan berlaku.
“Walaupun penggunaan kalimah Allah ini dibenarkan (Di luar negara), tetapi kita mengikut pengajian Usul Fiqh, iaitu berdasarkan keadaan yang sekarang ini menimbulkan kekeliruan, jadi kita tidak benarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak akur dengan penggunaan kalimah Allah hanya untuk agama Islam sahaja.
Titah itu dibuat ekoran kontroversi tercetus akibat penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly sehingga berlaku insiden membakar gereja di Selangor dan ibu negara.
Beberapa hari lalu, sebilangan pemimpin Kristian sudah pun meluahkan permintaan agar Gereja Roman Katolik itu menggugurkan tuntutan berkenaan.
Nik Abdul Aziz berkata kekeliruan yang timbul berikutan penggunaan kalimah Allah kini adalah berpunca daripada masyarakat Melayu Islam sendiri yang telah lama membezakan agama dengan amalan harian kehidupan mereka, sedangkan kedua-dua aspek itu berkait rapat.
“Antara yang disebut oleh mereka yang tidak faham hakikat Islam secara langsung menjatuhkan Islam misalnya politik suku, agama suku, Islam pemecah belah masyarakat, undang-undang Islam hanya layak pada zaman unta (zaman dulu),” katanya.
Sehubungan itu, bagi menunjukkan keharmonian antara agama, kerajaan negeri akan mengadakan satu majlis makan tengah hari dengan ulama, paderi Kristian dan sami Buddha pada 28 Januari di Kota Darulnaim di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan