Isnin, 4 Januari 2010

Kartika Tertekan, Hukuman Keatasnya Masih Tergantung

Saya harap dapat tunai umrah, tetapi sehingga kini saya juga masih terus menanti (kes sebatan).”

Itu ungkapan yang dilontarkan tatkala persoalan mengenai perkembangan terkini wanita tabah ini diajukan.

Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang menggegarkan negara pada Julai tahun lalu apabila rela untuk meneruskan hukuman enam sebatan terhadapnya di atas ketelanjuran diri meminum arak di sebuah pusat peranginan di Pahang, merasakan dirinya masih terumbang-ambing.

Beliau yang berhasrat untuk mengerjakan umrah Mac ini khuatir kerana status kesnya yang masih belum selesai mungkin akan menimbulkan masalah untuk mendapatkan Visa.

“Pelbagai perkara tidak dapat saya teruskan terutamanya perancangan masa depan, selagi hukuman belum terlaksana,” katanya kepada Sinar Harian di kediaman keluarganya di Kampung Jawang di sini, semalam.

Meskipun boleh merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan enam bulan lalu, namun keinsafan mengatasi segalanya sehingga beliau mahu hukuman itu dilaksanakan segera.

“Hidup saya dalam keadaan yang ‘tergantung’ selagi hukuman belum dijalankan,” katanya yang ditemani bapa, Shukarno Abdul Mutalib, 60.

Kartika yang merasa tertekan dengan keadaan itu mengambil keputusan untuk memohon perkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan harapan dapat meluahkan segala kepayahan yang ditanggung ekoran hukuman yang masih tertangguh.

“Surat memohon mengadap Tuanku sudah lima kali dihantar ke pihak istana oleh peguam yang kami lantik,” katanya yang kini melakukan kerja-kerja amal di Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima malahan sebab-sebab hukuman ditangguhkan juga terus menjadi tanda tanya.

Kartika menjawab tenang ketika ditanya mengenai perkembangan rumah tangganya yang dikatakan sedang dalam proses penceraian.

“Sebenarnya pergolakan rumah tangga kami sudah pun berlaku ketika kes berkenaan sedang dibicarakan.

“Kini saya dalam proses untuk memfailkan pengesahan lafaz talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar kerana urusan itu lebih mudah dilakukan di negara ini,” katanya.

Kartika berkata, biarpun pengesahan itu dibuat ia tidak bermakna hubungan dia dan bekas suami, Mohamad Afandi Amir, tidak baik.

“Demi anak-anak, kami tidak bermusuhan dan saya faham, dia juga tertekan dengan kes saya pada ketika itu.

“Ketika saya dihimpit kegelisahan sewaktu hukuman dijatuhkan, dia juga berada di samping kami sekeluarga,” katanya.

Kartika turut berharap kembali kepada Mohamad Afandi jika ada jodoh demi anak-anak yang kini di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, anak-anaknya diberi hak berhubung dengan bapa mereka, tambahan pula anak keduanya, Kaithlynn Saridewi, 6, akan memasuki pra sekolah di Ipoh, tidak lama lagi.

Menurutnya, Mohamad Afandi adalah seorang yang bertanggungjawab dan masih tidak putus memberikan nafkah untuk sara diri dan persekolahan anak-anak biarpun mereka sudah tinggal berasingan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup, Kartika harapkan sinar pada masa hadapan agar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan