Selasa, 15 September 2009

Zamri lawan Nizar:Permohonan Anwar di tangguh lagi




Mahkamah rayuan dan kuasa-kuasa khas hari ini tidak dapat memberikan keputusan berhubung rayuan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar berkenaan melucutkan kelayakan pasukan pendakwaraya.

Keputusan yang sepatutnya diumumkan pada 2.30 petang hari ini ditunda esok.


Peguam yang mewakili Anwar, Sivarasa Rasiah dipanggil ke kamar hakim dan keluar beberapa lama kemudian memberitahu pihak media, mengenai penangguhan ini.

" Memberitahu bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk menimbang hujah-hujahan yang dibuat semua pihak. Sebab itu dia buat keputusan untuk tangguh keputusan sehingga esok pada masa yang sama. Beliau juga memberitahu ini satu isu yang pelik di hadapan beliau. Perlu masa untuk memikirkannya" ujarnya.

Anwar telah memfailkan permohonan melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes beliau pada 11 Ogos lalu.

Permohonan ini dibuat lantaran tindakan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menandatangani sijil Seksyen 418A untuk membawa kes Anwar II dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tindakan Gani ini diselar kerana ia menunjukkan campurtangannya dalam kes Anwar II. Anwar dalam afidavit beliau mendedahkan tindakan Peguam Negara merekacipta bukti dalam kes Anwar I.

Dengan Gani enggan berganjak dari kes ini, Anwar berkata Peguam Negara masih mahu menjadi tok dalang "memain tarik tali memanipulasi pendakwaan mengikut kehendaknya" sepertimana dalam kes Anwar I.

Demikian itu, Anwar memohon mahkamah mengisytihar pasukan pendakwaan yang prejudis dan berat-sebelah ini tidak layak mewakili Pendakwaraya.

Anwar menamakan Peguam Cara 1 Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar telah dituduh meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun tahun lepas walau bagaimanapun, tiada bukti klinikal yang disahkan oleh Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi.

Pendakwaraya telah menafikan pihak mereka mempunyai bukti-bukti yang menunjukkan Anwar tidak bersalah, namun penafian ini disanggah keras pasukan pembelaan. TVA

Zamri lawan Nizar:Harapan melihat UMNO terkubur-Tok Guru




ImageHarapan sejak tahun 60an lagi untuk melihat Umno terkubur semakin menjadi realiti.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti yang bersikap perkauman seperti Umno tidak mustahil untuk mati kerana tiada satu jaminan pun oleh sesiapa sahaja bahawa perjuangan perkauman akan kekal sepanjang zaman.

Beliau berkata demikian sebgai mengulas kenyataan bekas Presiden Umno,Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa Umno akan terkubur sekiranya permasalahan yang melanda tidak dapat diselesaikan segera.

"Umno mesti mati kerana hidup mereka hanyalah dibuat-buat. Mereka tolak Islam, guna sekular, kalau lawan sama-sama sekular boleh lah tahannya, tetapi kalau parti mana sekalipun yang lawan Islam, ia tak akan bertahan lama."

"Islam milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam akan sampai ke sana"ujar beliau.

Katanya, hanya PAS parti yang mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya, dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa Umno juga memperjuangankan Islam bukan sesuatu yang luar biasa.

Kenyataan sedemikian juga katanya boleh digunakan parti lain dalam komponen BN, namun realitinya Umno memperjuangkan Melayu, MCA Cina dan MIC memperjuangkan kaum India.

Tetapi PAS katanya, memperjuangkan Islam yang melampaui batas perkauman sempit tersebut.

Keadilan perjuangan Islam itu katanya telah menarik kaum bukan Islam untuk bersama PAS sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong parti itu.

Mengulas hak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang, Tuan Guru berkata ianya bukan isu besar, kerana yang lebih penting, calon yang tersebut adalah dari Pakatan Rakyat.

"Mengikut kebiasaannya, calon adalah dari parti yang bertanding terdahulu, kalau calon dahulu dari PAS, maka untuk kali ini pun dari PAS, apapun ia adalah milik Pakatan Rakyat sebenarnya" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis perlancaran kutipan wakaf/derma tapak sebuah masjid di Bandar Baru Tunjong.

Masjid yang akan didirikan di tapak seluas 9.40 ekar tersebut adalah sumbangan peribadi dari tokoh dermawan negara ini dan ia terletak di persimpangan Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu serta Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Turut hadir di majlis tersebut,Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato'Mohd Aiseri Alias,Pegawai Kewangan Negeri Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Exco Negeri,Ketua Pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir.Abdul Ariffahmi Ab.Rahman, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pegawai-Pegawai Kerajaan negeri.

Pembinaan masjid tersebut akan mengambil masa selama 34 bulan dan boleh menampung seramai 1750 jemaah pada satu waktu.

Masjid yang menelan belanja melebihi RM7 juta akan menggunakan ciri-ciri di zaman Uthmaniah (Turki) dan Fatimiah(Mesir) serta dilengkapi dengan sebuah pusat sumber Islam,Kelas Tahfiz, Kediaman Iman dan pegawai masjid_mna _

Zamri lawan Nizar:Melayu sertai DAP bukan ancaman-Tok Guru

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bimbang dengan langkah DAP Selangor yang membuka keahlian kepada orang Islam yang turut disokong oleh Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Beliau berkata, langkah itu bukanlah satu ancaman bagi Pas kerana DAP dan parti itu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung dalam satu pakatan.

“Dia (DAP) nak buka tu buka la. Orang nak terima itu dia punya fasal. Kalau nak sebut masalah ancaman tu biar dulu kerana DAP, Pas, PKR sedang bergabung dalam satu pakatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan :Majlis Pelancaran Kutipan Wakaf/Dera Tapa Masjid Al-Hussain bandar Baru Tunjung dekat sini, semalam.

:Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Penubuhan cawangan Melayu pertama parti DAP di Selangor.

:Kelmarin akhbar melaporkan Dr Hassan menyifatkan penubuhan itu sebagai satu fenomena biasa bagi Pas.

Dr Hassan dilaporkan berkata, kemasukan bangsa Melayu dalam DAP juga dilihat ada kebaikannya untuk jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata ia adalah hak individu dan tidak boleh dihalang.

“DAP juga parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan mungkin kemasukan Melayu ke dalam parti itu ada kebaikan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, biarpun ia cawangan pertama DAP yang dianggotai oleh majoriti kaum Melayu namun ia tidak menggambarkan Pas dan PKR tidak mampu menarik Melayu ke dalam parti komponen berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Nik Abdul Aziz berkata, beliau berharap pengundi akan terus menyokong calon Pakatan Rakyat yang dicalonkan untuk bertanding kerusi tersebut.

“Saya berdoa mudah-mudahan pengundi di Bagan Pinang kalau calon Pas undi Pas, PKR undi PKR. Kita ikut calon terdahulu,” katanya.sinarharian

Zamri lawan Nizar:Parti bodoh sombong akan di tolak-Mahathir


KUALA LUMPUR, 15 Sept: Janji pembangunan dan perbuatan menabur wang tidak akan berkesan lagi apabila rakyat membenci parti yang bodoh sombong dan mengamalkan rasuah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam apa yang dilihat sebagai respon segeranya terhadap sanggahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terhadap peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun semalam menulis mengenai "orang politik yang berpendapat jika dapat jadi Presiden parti maka kemenangan mereka dalam pilihan raya terjamin".

Walaupun tidak menyebut nama Samy Vellu, tulisan terbaru Dr Mahathir dalam blognya dilihat sebagai ditujukan kepada bekas Menteri Kerja Raya itu.

Sebelum itu, Samy Vellu membidas peringatan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 Sabtu lalu.

"Perdana Menteri cakap, bila popular di dalam parti sahaja tak mencukupi. Perlu popular di kalangan rakyat juga.

"Biar saya cakap ini. Kalau popular di dalam parti baru anda bercakap di luar, dengan rakyat. Kalau tak, mereka akan tanya, siapa kamu?" kata beliau.

ImageDalam responnya itu, Dr Mahathir mendedahkan, orang politik yang percaya kedudukan sebagai presiden parti akan menjamin kemenangan pilihan raya itu "berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut".

Hasilnya, kata bekas Presiden Umno itu, mereka menang dalam parti.

"Tetapi rakyat memerhati segala tindak-tanduk pemimpin dan ahli seperti ini.

"Apabila rakyat lihat perjuangan parti bukan lagi untuk rakyat; apabila mereka lihat rasuah dan ugutan yang menentukan kepimpinan, maka kepercayaan kepada parti dan pemimpinnya akan terhakis dan mungkin hilang lenyap," katanya.

Beliau mengingatkan, apabila pilihan raya umum diadakan maka rakyat dan ahli-ahli parti sebagai pengundi akan menyatakan kekecewaan mereka walaupun mereka tidak dapat membuat apa-apa terutama apabila mulut mereka tertutup.

Perkara itulah yang telah berlaku pada Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac tahun lalu, katanya.

"Apakah kekecewaan rakyat disedari oleh pemimpin dan parti-parti politik. Hingga kini tidak ternampak yang parti dan pemimpin sudah betul-betul sedar.

"Yang merebut jawatan masih merebut dengan penggunaan cara-cara lama. Pembersihan parti tidak juga dilakukan. Pengamal politik wang masih diterima dan diberi tempat.

"Ahli-ahli biasa parti tidak memprotes sikap lama diteruskan. Bahkan ramai juga ahli yang berpendapat apa salahnya menabur wang. Mereka juga akan dapat sedikit habuan," kata Dr Mahathir.

Bekas Pengerusi BN itu mengingatkan bahawa kelebihan undi sedikit sahaja kepada parti lawan akan menyebabkan kekalahan.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengulas luahan kemarahan seorang perwakilan perhimpunan MIC itu yang mahu mengalungkan selipar pada gambarnya.

Seolah-olah membela tindakan itu, anak lelaki Samy Vellu, Vell Paari berkata, tindakan itu adalah semata-mata luahan kekecewaan terhadap Dr Mahathir dan pihak-pihak lain yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman MIC.

Apa yang disifatkan sebagai luahan kekecewaan oleh Vell Paari itu berpunca dari pandangan Dr Mahathir sebelum itu.

Ketika diwawancara akhbar Tamil, Makkal Osai, Dr Mahathir berkata, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu kerana marahkan Samy Vellu.

"Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.

Vell Paari juga mengulas kenyataan Najib yang dibidas ayahnya.

"Para perwakilan juga kecewa dengan ucapan (perasmian) Najib yang tersirat kritikan terhadap Presiden MIC dan menggesa dilakukan perubahan di dalam parti, seolah-olah beliau mahu pasukan presiden dikalahkan," katanya.

Kecaman perwakilan MIC terhadap Dr Mahathir itu bukanlah kecaman pertama kali dari dalam BN terhadapnya.

Tiga tahun lalu, Dr Mahathir pernah merungut terhadap penghinaan dan sekatan Umno terhadapnya.

"Ada yang panggil saya beruk, ada panggil iblis, ini budaya Umno yang baru".

Beliau juga berkata: "Yang itu (sekatan) lebih pelik, lebih menghina saya bahkan jadikan saya pariah dalam Umno. Saya bekas Presiden jadi pariah dalam Umno". _harakahdaily

Zamri lawan Nizar: Pimpinan BN perlu tahu kuasa di tangan rakyat


DALAM sistem politik mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat sebenarnya yang berkuasa. Rakyat yang menentukan siapa yang akan naik dan turun sebagai pemerintahBarisan Nasional (BN) sudah diberi pengajaran betapa besarnya makna kuasa rakyat. Semua pemimpin parti komponen BN pasti tidak akan lupa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008.

Mereka tahu punca berlaku kejutan besar dalam keputusan pilihan raya itu. Mereka juga sedar kenapa rakyat bertindak sedemikian selepas 51 tahun merdeka.

Namun, selepas 18 bulan berlalu, apakah BN sudah banyak berubah? Apakah pemimpin parti komponen sudah lupa pada hukuman rakyat apabila suara mereka tidak dilayan dengan sebaik-baiknya?

Jika diperhatikan, selepas PRU 12, pemimpin parti komponen BN sibuk berkempen untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti masing-masing. Hal ini berlaku dalam UMNO, MCA dan terbaru MIC.

Komponen BN tidak boleh leka, PRU 13 hanya tinggal tiga tahun sahaja lagi. Masa cukup pendek sedangkan keyakinan rakyat kepada BN belum begitu meyakinkan. Ini dapat dibuktikan melalui lapan pilihan raya kecil lalu.

Adalah wajar Perdana Menteri mengingatkan pemimpin-pemimpin dalam BN supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa yang sama gagal memenangi hati rakyat. Inilah hakikatnya. Kalangan ahli komponen BN masih dengan budaya berpuak-puak dan mengejar jawatan dalam parti.

Mereka percaya apabila ada jawatan parti, peluang cerah dipilih jadi calon pilihan raya, boleh dapat projek kerajaan, dilantik memimpin kerajaan dan meraih rezeki yang berlimpah-ruah.

Malah jadi calon BN tidak perlu kerja keras, nampak simbol dacing pun orang pangkah. Sebab itu begitu ramai yang ghairah untuk merebut jawatan dalam parti.

Itu dahulu, sekarang rakyat sudah celik untuk menilai pemimpin politik. Rakyat tidak boleh diperbodohkan.

Mereka mahu wakil rakyat mereka seorang yang betul-betul mampu berkhidmat tanpa mengira masa. Jangan ingat begitu mudah pengundi sekarang hendak memberi undi kepada BN.

Sebab itu Perdana Menteri selaku Pengerusi BN memberi peringatan kepada pemimpin komponen supaya jangan hanya popular di kalangan ahli parti tetapi gagal memenangi hati rakyat.

Hakikat sekarang tidak ada maknanya menjadi popular dalam parti sedangkan mereka tidak lagi berkuasa. Apa guna jawatan dalam parti tetapi hati pengundi semakin jauh daripada BN.

Oleh itu, parti-parti komponen BN yang mempunyai ahli yang begitu besar mesti memenangi semula hati rakyat.

BN tidak boleh hanya bersandar kepada nostalgia perjuangan, sentimen dan jasa-jasanya jika mahu terus relevan kepada rakyat.

BN memerlukan orang yang boleh membuat kerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang masa dan sentiasa dekat di hati rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, rakyat tidak menolak BN, sebaliknya menolak kepemimpinan yang tidak dekat di hati mereka.detikdaily