Selasa, 15 September 2009

Zamri lawan Nizar: Pimpinan BN perlu tahu kuasa di tangan rakyat


DALAM sistem politik mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat sebenarnya yang berkuasa. Rakyat yang menentukan siapa yang akan naik dan turun sebagai pemerintahBarisan Nasional (BN) sudah diberi pengajaran betapa besarnya makna kuasa rakyat. Semua pemimpin parti komponen BN pasti tidak akan lupa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008.

Mereka tahu punca berlaku kejutan besar dalam keputusan pilihan raya itu. Mereka juga sedar kenapa rakyat bertindak sedemikian selepas 51 tahun merdeka.

Namun, selepas 18 bulan berlalu, apakah BN sudah banyak berubah? Apakah pemimpin parti komponen sudah lupa pada hukuman rakyat apabila suara mereka tidak dilayan dengan sebaik-baiknya?

Jika diperhatikan, selepas PRU 12, pemimpin parti komponen BN sibuk berkempen untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti masing-masing. Hal ini berlaku dalam UMNO, MCA dan terbaru MIC.

Komponen BN tidak boleh leka, PRU 13 hanya tinggal tiga tahun sahaja lagi. Masa cukup pendek sedangkan keyakinan rakyat kepada BN belum begitu meyakinkan. Ini dapat dibuktikan melalui lapan pilihan raya kecil lalu.

Adalah wajar Perdana Menteri mengingatkan pemimpin-pemimpin dalam BN supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa yang sama gagal memenangi hati rakyat. Inilah hakikatnya. Kalangan ahli komponen BN masih dengan budaya berpuak-puak dan mengejar jawatan dalam parti.

Mereka percaya apabila ada jawatan parti, peluang cerah dipilih jadi calon pilihan raya, boleh dapat projek kerajaan, dilantik memimpin kerajaan dan meraih rezeki yang berlimpah-ruah.

Malah jadi calon BN tidak perlu kerja keras, nampak simbol dacing pun orang pangkah. Sebab itu begitu ramai yang ghairah untuk merebut jawatan dalam parti.

Itu dahulu, sekarang rakyat sudah celik untuk menilai pemimpin politik. Rakyat tidak boleh diperbodohkan.

Mereka mahu wakil rakyat mereka seorang yang betul-betul mampu berkhidmat tanpa mengira masa. Jangan ingat begitu mudah pengundi sekarang hendak memberi undi kepada BN.

Sebab itu Perdana Menteri selaku Pengerusi BN memberi peringatan kepada pemimpin komponen supaya jangan hanya popular di kalangan ahli parti tetapi gagal memenangi hati rakyat.

Hakikat sekarang tidak ada maknanya menjadi popular dalam parti sedangkan mereka tidak lagi berkuasa. Apa guna jawatan dalam parti tetapi hati pengundi semakin jauh daripada BN.

Oleh itu, parti-parti komponen BN yang mempunyai ahli yang begitu besar mesti memenangi semula hati rakyat.

BN tidak boleh hanya bersandar kepada nostalgia perjuangan, sentimen dan jasa-jasanya jika mahu terus relevan kepada rakyat.

BN memerlukan orang yang boleh membuat kerja dengan bersungguh-sungguh sepanjang masa dan sentiasa dekat di hati rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, rakyat tidak menolak BN, sebaliknya menolak kepemimpinan yang tidak dekat di hati mereka.detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan