Selasa, 4 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar: PRK Manek Urai-Umno Kelantan tidak buat Petisyen


MELBOURNE: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata pihaknya tidak akan meneruskan hasrat mengemukakan petisyen terhadap keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai 14 Julai lepas.

"Setakat ini kita dimaklumkan oleh peguam kita kesnya tidaklah berapa kukuh. Maka itu, kita tidak akan teruskan petisyen tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berada di Australia mengetuai misi perdagangan dan pelaburan anjuran kementerian itu, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada pilihan raya itu BN tewas dengan majoriti tipis 65 undi apabila calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Manek Urai berkata, dalam pilihan raya kecil itu BN buat pertama kalinya menggunakan satu pusat penyelarasan bagi meyelaraskan semua aktiviti kempen untuk pilihan raya berkenaan.

"Aktiviti kita melibatkan programprogram turun ke bawah, kurangkan majlis rasmi dan kurangkan majlis besarbesaran. Apa yang kita buat adalah lawatan dari dan rumah ke rumah dan kita dapati adalah lebih baik jika kita menemui pengundi secara langsung," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pendekatan yang sama akan digunakan dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir nanti. BERNAMA

Zamri lawan Nizar: Teks ucapan Tok Guru sempena Konsert Antara Dunia

Pertemuan ketiga dalam tempoh seminggu. Mesra tapi jauh,dua tokoh yang mewakili aliran politik berbeza.Pertemuan sebagai Menteri Besar Kelantan dan Perdana Menteri Malaysia,bukan Mursyidul Am Pas dan Presiden UMNO.Gambar ini tidak mewakili catatan di bawah sekadar untuk tatapan.
Foto:The Star oleh Nik Naizi Husin

TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO’ HJ. NIK ABD. AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PERASMIAN KONSERT ANTARA DUNIA PADA 10 SYAABAN 1430/1 OGOS 2009 (HARI SABTU), JAM 8.00 MALAM BERTEMPAT DI STADIUM MELAWATI, SHAH ALAM, SELANGOR.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid; makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al A’Raaf : Ayat 31).

Mari kita mengucapkan syukur yang sebanyak-banyaknya ke hadrat Allah S.W.T. diatas setiap nikmat yang telah Dia sediakan kepada kita selama ini. Di antara banyak-banyak nikmat, satu daripada nikmat ialah nikmat menghargai pelbagai keindahan yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya setiap benda yang dicipta oleh Allah penuh dengan keindahan.

Diatas nama sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud “Allah itu Maha Indah dan Dia sukakan keindahan”, izinkan saya berbicara pada malam ini menggunakan kehalusan bahasa orang Melayu melalui gugusan pantun indah sepanjang berkata-kata.

Rendang kayu kerana daunnya
Terpandang Melayu kerana pantunnya.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Kalau berladang kurang tekun
Lesap padi ditelan belukar
Kalaulah hilang tukang pantun
Senyap sunyi bandar yang besar.

Kapal belayar dari Arakan
Selit besi jadi kemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati “ambo” kerana budi

Tuan Puteri ke Tanjung Keling
Bilah mengkuang dianyam tenang
Biar isteri benci menjeling
Tetaplah abang terkenang-kenang.

Naik bertamu di Pulau Tawar
Singgah menjala di Kg. Bantal
Pahit jeling jadi penawar
Abang simpan di bawah bantal.

Ujung rusuk patah tulang
Kena tindih kayu rasak
Kalau sungguh rindukan bulan
Tunggu dulu lepas Isya’.

Tebuk kayu dengan pahat
Kelek mangkuk pakai topi
Kata mahu keluar jihad
Nampak tersangkut di kedai kopi?

Anak ayam turun lapan
Mati seekor tinggal tujuh
Harap berdoa kepada Tuhan
Supaya terang jalan bersuluh.

Tiang sehasta dibuat galah
Berpanjang lengan kait melati
Berjuang kita ke jalan Allah
Biar dengan sepenuh hati.

Manis sungguh dokong tuan
Malam resah pelita mati
Payah apa sokong bulan
Mungkin susah tapi tak mati.

Apa dirisau hantu jembalang
Quran dibaca berhari-hari
Tubuh besar janggut panjang
Bunyi wisel kenapa lari?

Dayung sambil pasir kemudi
Air deras di Ulu Tersat
Jangan diambil jalan Yahudi
Itu sah menuju sesat.

Ikan belanak ditutup saji
Saji dianyam oleh Pak Mahat
Orang khianat jangan dipuji
Makin dipuji makinlah jahat.

Sejak kera masuk negeri
Anak merbah mati tersepak
Sejak ketua sibuk mencuri
Anak buah jadi perompak.

Burung punai burung kelicap
Hinggap berkawan di hujung dahan
Tiada guna lawa dan kacak
Jika melawan hukum Tuhan.

Tanam halia tumbuh lengkuas
Semak daun si api-api
Apa guna kaya rasuah
Esok dipanggang di atas api.

Terbang kunang di tengah malam
Hinggap masuk di tiang seri
Tangan kanan ajak bersalam
Apa maksud pisau di kiri.

Hujung kota patik menanti
Orang Kaya Laksamana Bentan
Tuan berkata sesuka hati
Karamlah saya tujuh lautan.

Tuanku umpama emas segetus
Segak bertempat indah seorang
Hamba umpama selipar yang putus
Tiba bertempat dilupa orang

Bermamah sirih di tengah pelita
Pahit mulut sampai ke pagi
Terbit suluh batilpun pergi.

Biar bersambung bedilan ferenggi
Takku tinggal ini kota
Islam berbumbung di awan tinggi
Mengatasi segala mainan kata.

Gua Bama sungai hulu
Kuala Damak berbatu karang
Hamba umpama dagang lalu
Nasi ditanak milik orang.

Rata lapang gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
Kita menumpang bumi Tuhan
Jangan dibuat sesuka hati.

Daun palas ikan kelah
Mari diikat dengan tali
Niat ikhlas kerana Allah
Syirik tidak sekali-kali.

Papan tualang mari diukir
Buat tongkat sikayu jati
Siang malam hidup berzikir
Kuat ibadat sebelum mati.

Akar tersat jambu batu
Ikat kolek bertali kain
Resam ibadat niat bertentu
Bukan boleh dibuat main.

Jalan bengkok terkial-kial
Sambil mengupas limau langkap
Tengokkan songkok bagaikan kiyai
Kenapa membaca tergagap-gagap?

Apa guna berkain batik
Jika labuh berbayang-bayang
Apa guna beristeri cantik
Jika Subuh tidak sembahyang.

Teluk Rokan tempat memancing
Angkat raga berisi gelas
Jika ikan umpannya cacing
Syarat Syurga ialah ikhlas.

Tunas selasih dibuat rebung
Asah belati diasap damar
Bercerai kasih boleh disambung
Berpisah mati putuslah amal.

Putus amal jika mati
Itu muktamad dari Allah
Cuma ada 3 kecuali
Anak soleh, ilmu dan sedaqah

Lantang bersahut burung bebarau
Kayu jati dibuat sarang
Adab hidup kita bergurau
Sudah mati terguling seorang.


Dari Demak ke Mekasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju.

Pinang dusun kacip cekati
Sirih dibilas luar rumah
Saya berpantun dari hati
Tuan balas tiba dirumah.

Indah sungguh Tanjung Sedeli
Pulau Seratus dilambai Nyonya
Sepanjang mana seutas tali
Akan ada tirus hujungnya.

Dengan sehimpun pantun berkias yang enak dikunyah sebentar tadi, saya mengajak diri saya dan tuan-tuan sekalian untuk terus berfikir mengenai diri kita, keluarga dan negara kita; bagaimana untuk bahagia di dunia dan selamat terus menerus dari azab Allah di akhirat kelak.

Mari kita sama-sama rasmikan Konsert Nasyid Antara Dunia pada malam ini dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Wabillahi Taufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Bharu.

Tanggal : 7 Syaaban 1430 / 29 Julai 2009.

Zamri lawan Nizar: PKR harus hormati PAS-Tuan Ibrahim



SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menghormati dasar dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung status quo kerusi pilihan raya sebelum membuat cadangan untuk meletakkan calon mereka bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

:Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut telah diperuntukkan dalam perjanjian PR di bawah prinsip permuafakatan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Ini bermaksud kerusi DUN Permatang Pasir adalah milik Pas sebelum ini, secara automatiknya Pas akan meletakkan calon untuk bertanding.

“Hal PKR nak letak calon bertanding itu tidak perlu ditimbulkan kerana ia milik Pas,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan daripada pemimpin dan akar umbi PKR supaya parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai Pas selama tiga penggal kerana kedudukan parti itu yang semakin kuat dan mantap di Permatang Pasir.

Menurut Tuan Ibrahim, permintaan untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan hannyalah satu pandangan daripada akar umbi PKR yang tidak akan merosakkan PR.

“Bagi saya ia satu lontaran pendapat daripada pemimpin PKR yang kemungkinan mahu kemukan nama calon, itu sahaja. Bagaimana pun, kita dalam PR akan mengadakan perbincangan berhubung isu itu menerusi perbincangan muafakat,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, sebagai satu parti di bawah satu bumbung adalah perlu mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah berbangkit seperti ini.

Beliau berkata, sekiranya dilihat dari sudut perjanjian, kalau kerusi itu milik Pas secara langsung akan kekal kepunyaan parti ini kecuali ada keputusan berbeza.

“Kita masih belum membuat perjumpaan dan perbincangan lagi, bagaimana pun opas yakin PR akan teliti dan perjanjian serta prinsip kita akan kekal sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Pas sudah mempunyai calon yang berwibawa untuk bertanding di kawasan itu sekaligus mengekalkan kerusi berkenaan.sinarharian

Zamri lawan Nizar: Syabas Unit Amal Malaysia

Nanyang Siang Pau 2 ogos 2009


Kejayaan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengerahkan Himpunan 100,000 pada 1 Ogos 2009 di ibu negara dilihat sebagai penyumbang kepada pembinaan matarantai penyuburan gerakan kebangkitan rakyat Malaysia dalam menolak segala kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap rakyat.BN yang kini berada di jalan mati terpaksa mencapai apa jua objek yang boleh memanjangkan hayatnya yang semakin mereput. PRU ke 12 membuktikan Felda & undi pos menjadi talian hayat UMNO/BN. Tiba-tiba ketibaan 1 Ogos telah menyaksikan penggredan baru terhadap status PDRM bilamana mereka dikerah untuk bertempur dengan rakyat yang ingin menyuarakan hak mereka bagi menolak akta zalim ISA yang tidak lagi releven untuk dilaksanakan.Rakyat yang hanya bersenjatakan suara diganasi polis dengan segala produk tempur. Belantannya, gasnya, semburan air berasidnya, tangkapannya dan segala macam kekuatan yang mereka miliki. Nasib rakyat tak ubah bagaikan penderitaan Saidina Bilal Bin Rabah sewaktu diseksa majikannya.
Di sanalah dunia menyaksikan kemunculan tentera merah yang menjadikan diri mereka sebagai perisai dan benteng manusia bagi mengemudi perjalanan rakyat ke Istana Negara. Benar, topi merah bukan lawan mereka tetapi kesabaran dan kekentalan yang mereka miliki mampu menjadi model sebuah briged amal di jalan Allah. Saya yakin jika apa yang dimiliki oleh pihak FRU itu menjadi hiasan dan pakaian mereka, pasti tentera merah lebih berotoriti untuk menjaga keamanan negara. Tetapi rasanya bukan itu maksud adanya mereka.
Biarlah rakyat diberi ruang untuk mengungkapkan ucapan tahniah & syabas buat tentera merah. Dan saya adalah sebahagian daripada mereka. Tahniah buat Unit Amal Malaysia... Semuga amal baktimu diterima Allah.

Sumber:berjuangitumanis.blogspot.com

Zamri lawan Nizar:Lerai Demo ISA-SUHAKAM kecewa

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) melahirkan rasa kecewa tentang proses meleraikan peserta himpunan Anti-ISA yang diadakan pada 1 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan akhbar yang dihantar kepada Siasah, Suhakam berkata, polis telah menggunakan gas pemedih mata dan air berkimia yang boleh memudaratkan sesiapa yang terkena bahan itu.

Dalam himpunan itu, ujar Suhakam lagi, 600 orang ditahan termasuk 44 remaja di bawah umur antara 13 hingga 17 tahun di tempat berlainan di ibu negara.

“Suhakam tetap berpendirian bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman,” tegas kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan Suhakam ini dibuat atas nama Timbalan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun, Pengerusi Jawatankuasa Isu, Kerjasama Antarabangsa dan Siasatan, Dato’ Dr Michael Yeoh, Dato’ Choo Siew Kioh, Dato’ Haji Khalid Haji Ibrahim dan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Denison Jayasooria.

Dalam hal ini, Suhakam tetap konsisten merayu Kerajaan menimbang dan mengambil perhatian terhadap cadangan yang dibuat oleh Suhakam tentang kebebasan untuk berhimpun yang telah berlaku dalam laporan Inkuiri Awam ke atas peristiwa Ahad Berdarah di KL dan Lebuh raya Kesas.

Menurut kenyataan itu lagi, Suhakam menyatakan pihak polis boleh mengambil tindakan paling perlu untuk mengawal himpunan tanpa perlu mencederakan sesiapa.

“Dalam hubungan ini, Suhakam sangat prihatin dengan kanak-kanak yang ditangkap yang digari, ditahan termasuk direman bersama dengan peserta himpunan dewasa.

“Suhakam meminta kerajaan agar melihat semula hak-hak menjaga dan melindungi dalam keadaan konflik begitu di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen terhadap Hak Kanak-kanak (CRC)," kata kenyataan itu.
Melihat kepada apa yang berlaku 1 Ogos lalu, Suhakam mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan Suhakam yang dibuat sejak 2003 untuk merombak ISA yang menahan tanpa bicara, yang secara jelas amat bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Di akhir kenyataan itu, Suhakam sekali lagi mengulangi kenyataannya iaitu ISA perlu dihapuskan dan ditukar dengan undang-undang baru yang lebih komprehensif yang menyeimbangi antara keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Sumber: siasahdaily