Selasa, 4 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Lerai Demo ISA-SUHAKAM kecewa

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) melahirkan rasa kecewa tentang proses meleraikan peserta himpunan Anti-ISA yang diadakan pada 1 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan akhbar yang dihantar kepada Siasah, Suhakam berkata, polis telah menggunakan gas pemedih mata dan air berkimia yang boleh memudaratkan sesiapa yang terkena bahan itu.

Dalam himpunan itu, ujar Suhakam lagi, 600 orang ditahan termasuk 44 remaja di bawah umur antara 13 hingga 17 tahun di tempat berlainan di ibu negara.

“Suhakam tetap berpendirian bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman,” tegas kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan Suhakam ini dibuat atas nama Timbalan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun, Pengerusi Jawatankuasa Isu, Kerjasama Antarabangsa dan Siasatan, Dato’ Dr Michael Yeoh, Dato’ Choo Siew Kioh, Dato’ Haji Khalid Haji Ibrahim dan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Denison Jayasooria.

Dalam hal ini, Suhakam tetap konsisten merayu Kerajaan menimbang dan mengambil perhatian terhadap cadangan yang dibuat oleh Suhakam tentang kebebasan untuk berhimpun yang telah berlaku dalam laporan Inkuiri Awam ke atas peristiwa Ahad Berdarah di KL dan Lebuh raya Kesas.

Menurut kenyataan itu lagi, Suhakam menyatakan pihak polis boleh mengambil tindakan paling perlu untuk mengawal himpunan tanpa perlu mencederakan sesiapa.

“Dalam hubungan ini, Suhakam sangat prihatin dengan kanak-kanak yang ditangkap yang digari, ditahan termasuk direman bersama dengan peserta himpunan dewasa.

“Suhakam meminta kerajaan agar melihat semula hak-hak menjaga dan melindungi dalam keadaan konflik begitu di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen terhadap Hak Kanak-kanak (CRC)," kata kenyataan itu.
Melihat kepada apa yang berlaku 1 Ogos lalu, Suhakam mendesak kerajaan mempertimbangkan cadangan Suhakam yang dibuat sejak 2003 untuk merombak ISA yang menahan tanpa bicara, yang secara jelas amat bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Di akhir kenyataan itu, Suhakam sekali lagi mengulangi kenyataannya iaitu ISA perlu dihapuskan dan ditukar dengan undang-undang baru yang lebih komprehensif yang menyeimbangi antara keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Sumber: siasahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan