Sabtu, 12 Disember 2009
Pimpinan Pakatan Selar UMNO Pendekkan Penggantungan Ahmad Ismail
Rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat menyelar tindakan Majlis Tertinggi Umno yang memendekkan tempoh penggantungan pemimpin Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail.
Tindakan ini sekali lagi memperlihatkan Umno tidak serius untuk memartabatkan konsep 1 Malaysia yang kononnya berpaksikan semangat perpaduan kaum.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua berpendapat tindakan Umno yang melepaskan Ahmad Ismail dari hukuman yang wajar diterimanya kerana menghina kaum lain di negara ini, bercanggah dengan pendirian parti itu.
“Saya rasa bagi kes Datuk Ahmad Ismail itu menunjukkan bahawa UMNO tidak serius mengenai 1 Malaysia. Kalau benar UMNO hendak mempromosikan 1 Malaysia, perkara-perkara yang mempertikaikan kaum-kaum lain seperti mengatakan kaum lain adalah pendatang, adalah satu perkara yang tidak dapat dipertahankan”.
Ahmad Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera sebelum ini digantung selama tiga tahun setelah menggelarkan kaum bukan Melayu sebagai pendatang semasa kempen pilihanraya Permatang Pauh Ogos tahun lalu.
“Tidak patut Ahmad Ismail dihukum tidak sampai 1 tahun telah pun dilepaskan dan selepas itu tindakan Ahmad Ismail itu pula merupakan tindakan tidak kesal. Dia sekarang minta pemimpin-pemimpin Gerakan untuk meminta maaf terhadap dia, saya rasa ini sikap yang boleh dikatakan biadaplah”.
Gerakan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Umno dan tidak memerlukan kerjasama dari parti itu terutama Bukit Bendera kerana jelas Umno menunjukkan sikap memandang ringan sikap Ahmad Ismail yang pernah menghina kaum lain.
Ahmad Ismail kemudiannya meminta Gerakan untuk meminta maaf daripadanya jika mahu kembali bekerjasama dengan Umno negeri.
Bagaimanapun, Tony Phua berpendirian Ahmad Ismail bersikap biadap kerana nyata dalam hal ini jelas menunjukkan Ahmad yang bersalah.
“Di mana sudah pun dihukum, sudah didapati bersalah, tapi masih tidak kesal. Ini saya rasa sikap UMNO yang tidak dapat dielakkan dan menunjukkan konsep 1 Malaysia ini yang diumumkan selama ini merupakan satu konsep untuk retorik dan bukannya satu semangat dalam UMNO untuk memperbaiki hubungan antara kaum di Malaysia”.
Sementara itu, menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pula menyifatkan Umno hanya sering melihat kesalahan parti lain tanpa menyedari kesalahan yang mereka lakukan.
“Ya lah, ini bagi saya bahawa UMNO hanya melihat melihat kepada kesalahan orang lain untuk mengambil tindakan yang begitu drastik, yang begitu keras, menggunakan akta-akta yang menyalahi prinsip hak asasi manusia, dan saya harap dalam kes Ahmad Ismail ini harus menjadi pengajaran” katanya kepada TV Selangor. -TVS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan