SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau merasa seperti berada di dalam dunia baru ekoran kerjasama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dalam Pakatan Rakyat.
"Saya rasa berada dalam dunia baru, sesuai dengan pengajian dan akidah saya,"katanya dalam ucapan rumusan pada Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat di sini semalam.
Beliau berkata sebelum ini PAS pernah bersama Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian dikhianati oleh UMNO.
Mursyidul Am PAS itu juga berkata beliau merasa jijik dengan UMNO apatahlagi selepas Perak yang sebelum ini di bawah Pakatan Rakyat diambil kembali oleh BN.
Bagaimanapun, beliau berkata mudah-mudahan tidak ada karenah yang bakal dihadapi PAS semasa bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata parti itu menerimaDatuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pemimpin Umum Pakatan Rakyat.
Ekoran itu, katanya beliau akan menggunakan segala pengalamannya selama 40tahun dalam bidang guaman untuk membela dan memastikan Anwar tidak dipenjarakan ekoran tuduhan yang dihadapi di mahkamah sekarang.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berhadapan dengan tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada awal tahun depan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan