Sabtu, 12 Disember 2009

Nazri Aziz Bergaduh Lagi,Tuduh PUPTEKSM Buat Kerja Bodoh


KUALA KANGSAR, Dis 12 — Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) sepatutnya mencari jalan memperbaiki dan meningkatkan tahap perkhidmatan teksi di negara ini, bukan mencari publisiti murahan.

Sambil menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan desakan Pupteksm supaya beliau melepaskan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ekoran kenyataannya yang didakwa perkhidmatan teksi lebih teruk daripada tandas sebagai ‘kerja bodoh’.

“Kalau suruh saya lepas (portfolio LPKP), memang mereka ini pemandu teksi yang buat salah kerana saya hanya tegur mereka yang melakukan kesalahan dan pemandu yang ingkar.

“Persatuan ini, saya rasa pemandu mereka yang banyak buat kesalahan. Kita nak pertahan dia atau kita nak pertahankan perkhidmatan yang baik?,” kata beliau selepas melancarkan bas baru milik syarikat The Combined Bus Services Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pupteksm yang mendesaknya melepaskan portfolio LPKP, memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mencemar imej pemandu teksi.

Dipetik Benama, beliau berkata sepatutnya persatuan berkenaan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang ingkar dan menipu, bukan mendesak supaya beliau melepaskan portfolio LPKP.

“Sekarang aduan yang diterima, banyak pemandu yang tidak amanah, menipu (dan) tidak ikut meter. Saya bercakap mengenai pemandu teksi yang ingkar, kalau pemandu tidak ingkar mengapa ada pemandu yang terasa pula,” katanya.

Mohamed Nazri berkata apabila satu kajian dibuat terhadap para pelancong mengenai perkara yang tidak memuaskan hati, mereka membuat aduan bahawa perkhidmatan teksi adalah sangat teruk berbanding tandas pada satu ketika dulu.

“Persatuan yang bela pemandu yang ingkar dan menipu, persatuan ini sepatutnya ambil tindakan terhadap ahlinya bukan suruh menteri lepas portfolio. Itu menunjukkan kebodohan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang pernah ditipu, diugut dan sebagainya supaya melaporkan terus perkara itu kepada pihaknya.

“Kita jangan biarkan perkara ini kerana kalau kita biarkan mereka akan ‘bermaharajalela’. Saya tahu pemandu yang buat kesalahan apabila saya panggil mereka kesal. Kita bukan hukum mereka terus, setengah itu kita bagi amaran dan denda dulu,” katanya.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan