Rabu, 18 November 2009

Tok Guru Nik Aziz Tak Bercita-cita Jadi PM


Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang. Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan. Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham. Jadi eloklah kita teliti kembali apa yang saya sarankan.

Premis utama dalam cadangan saya itu ialah kita perlu kepada seorang “spiritual leader”, sama saperti Mahatma Gandhi sewaktu zaman India memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Kita tahu pemimpin seperti itu diperlukan untuk menerajui gerakan Pakatan. Pemimpin politik biasa, walau bagaimana hebat dan handal sekali pun, tidak akan cukup kuat untuk melawan gergasi Barisan Nasional.

Yang saya maksudkan sebagai pemimpin spiritual ini adalah seorang pemimpin yang tidak ada cita-cita nak jadi Perdana Menteri atau apa-apa jawatan besar. Ini sama seperti Gandhi yang tidak mahu apa-apa jawatan, hanya setakat menyokong Jawaharlal Nehru sebagai Perdana Menteri India merdeka. Yang Gandhi mahu hanyalah India yang merdeka, bersatu dan bebas dari penjajahan. Pemimpin seperti ini bergerak atas keluhuran perjuangan.

Samalah saperti Mandela, dan Imam Khomeini. Pemimpin saperti ini disayangi oleh rakyat kerana prinsip dan sifat humanisme beliau. Dia tidak ada masalah peribadi, tidak ada skandal, tidak ada cita-cita duniawi melainkan perjuangan untuk menegakan keadilan dan melawan kezaliman.

Jadi bila saya toleh kiri dan kanan dan saya lihat hanya Tok Guru Nik Aziz ada kelayakan tersebut. Beliau diterima oleh semua kaum dan agama. Maka saya terus mencadangkannya kerana saya berpendapat hanya apabila kita letak pertarungan Pakatan vs BN atas perjuangan spiritual melawan kuasa yang rakus dan rasuah, barulah rakyat akan bersemangat dan bangkit bersuara untuk memihak kepada kita. Formula politik lain memang ada tapi saya rasa ia tak cukup dan tak padan untuk menggerakkan satu usaha besar menggantikan BN sebagai kerajan pilihan rakyat.

Soal jawatan Perdana Menteri itu terserahlah kepada wakil-wakil rakyat Pakatan sesudah mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baru. Itu perkara mudah kerana Tok Guru pun tahu dan bersedia menerima orang lain yang lebih sesuai untuk menjadi PM. Cadangan saya ini juga sama seperti dengan keududukan Pengerusi Parti Buruh atau Konservatif di UK yang tidak pernah pun menjadi Perdana Menteri. Tugas mereka adalah menjaga perpaduan dan kekukuhan parti. Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti. Jadi penyokong dan peminat Anwar Ibrahim tak usahlah bimbang.

Yang penting sekarang ialah menentukan apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan kemenangan Anwar dan Pakatan Rakyat. Apakah yang akan menggerakkan tsunami politik baru untuk memberi kuasa kepada rakyat melalui Pakatan? Sesudah Mac 8, 2008, ada orang kata bahawa Pakatan seolah-olah sudah hilang tenaga sekarang. Menurut Merdeka Centre dalam kaji selidik baru-baru ini, BN masih lagi akan menang jika pilihan raya umum diadakan hari ini. Malah BN dikatakan tetap boleh mengekakalkan dua pertiga kerusi Parlimen. Begitu membimbangkan sekali persepsi ini terhadap Pakatan.

Itulah sebabnya saya mahu para penyokong kita tanpa mengira kaum dan agama berfikir bagaimana kita nak memperkukuhkan Pakatan dan cuba mencari cara dan pendekatan baru. Kita jangan cepat panik atau takut kepada perkara-perkara kecil dan sampingan yang memang menjadi adat politik. Yang penting kita mesti pastikan Pakatan tidak lari dari landasan utamanya iaitu menolak BN untuk memberi ruang bernafas kepada rakyat menikmati keadilan, demokrasi dan kebebasan yang sebenar tanpa dicengkam salah guna kuasa, rasuah dan diskriminasi.

Yang utama mestilah kemenangan Pakatan kerana ia bererti kejayaan kepada rakyat. Saranan saya bukan sahaja kepada rakyat untuk berusaha gigih ke arah mencapai matlamat ini tetapi juga kepada para pemimpin dan ahli komponen Pakatan supaya berkorban dengan bersikap jujur dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat. Malah lebih baik lagi, para pemimpin dan ahli komponen Pakatan harus mengurangkan ketegangan dan salah faham sesama sendiri. Kita boleh buat demikian dengan cara bersabar dan bersifat maaf-memaafkan, cepat-cepat berbaik semula jika berlaku silap faham. Ingatlah rakyat mahu melihat kita bersatu sebelum kita merayu kepada rakyat untuk bersatu-padu menyatakan sokongan kepada kita.

Saya harap semua ini dapat diperjelaskan dengan jujur dan ikhlas di Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember ini. Saya juga harap kita dapat temui kata maufakat tentang hal-hal penting dalam Pakatan Rakyat, dan berusaha menjernihkan apa-apa yang keruh. Dengan ini saya juga ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada mereka yang akan mengerjakan ibadat yang mulia ini di Tanah Suci Makkah. Semoga semangat baru untuk menegakan keadilan dan menolak kezaliman akan terisi di hati sanubari kita semua. Labbaik Allah humma labbaik. -Zaid Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan