KOTA BHARU – Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengadakan ceramah agama, tengah malam kelmarin, dianggap satu perbuatan yang melampau.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sangat dukacita dan kecewa dengan tindakan melulu Jais itu.
“Saya anggap ia satu tindakan yang melampau. Kenapa perlu tangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.
"Ramai lagi orang yang patut ditangkap, termasuk mereka yang mengasingkan politik dan agama. Inilah yang sesatnya. Saya sangat dukacita dengan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Mengulas mengenai dakwaan yang kononnya penahanan itu dikaitkan dengan ajaran Wahabi yang cuba disebarkan oleh Asri, Nik Abdul Aziz berkata, dakwaan itu perlu diperhalusi.
“Kalau nak dikaitkan dengan ajaran Wahabi, kita kena pastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.
“Nasihat saya kepada Jais, jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia,” katanya. SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan