IPOH - Pas membidas tohmahan yang mengatakan bacaan ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebelum ini sebagai penghinaan kepada Islam.
Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara itu digunakan Rasulullah SAW ketika mengutus surat kepada semua pemimpin kerajaan bukan Islam suatu ketika dahulu.
Katanya, surat yang diutus Rasulullah itu adalah untuk dibaca dan tidak pernah dianggap sebagai menghina Islam apabila ayat al-Quran berkenaan dibaca oleh pemimpin bukan Islam.
"Perjuangan Pas adalah berlandaskan ajaran Islam dan bukannya politik perkauman sebagaimana yang diamalkan UMNO selama ini. Oleh itu sewajarnyalah masyarakat bukan Islam terlebih dahulu belajar mengenali Islam supaya lebih memahami perjuangan," katanya ketika berucap di majlis penutup Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) di sini, malam kelmarin.
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub.
Berucap di majlis itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham menolak dakwaan bahawa Pas parti fundamentalis melampau.
Menurutnya, dakwaan itu adalah propaganda pihak lawan.
Katanya, beliau kagum dengan kepimpinan Pas dan sikap amanah parti itu dalam mempertahankan mandat rakyat.
"Saya berharap hubungan antara Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP di Perak terus kukuh, walaupun masing-masing mempunyai perbezaan dari segi ideologi," katanya.
Pada sidang media selepas konvensyen itu, Mohammad Nizar berkata, PR akan melaksanakan semua resolusi yang dirumuskan di konvensyen itu.
Antara resolusi itu ialah mengukuhkan kesepakatan dan perpaduan di kalangan parti komponen PR dan menghindari segala sangkaan buruk di antara mereka.
Beliau berkata, PR kini dalam proses mendaftarkan PR sebagai pertubuhan politik dan telah menyediakan memorandum berhubung perkara itu.SH
Inikan jadi satu impak yang menggerunkan Puak GeromBolaN!
BalasPadam