SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menolak usul tergempar yang dikemukakan oleh Saari Sungib (PAS-Hulu Klang) bagi membahaskan isu penahanan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.
Speaker DUN, Teng Chang Khim menolak usul itu atas alasan walaupun isu itu menyentuh kepentingan orang ramai tetapi ia tidak perlu disegerakan.
Teng berkata usul yang dibawa oleh Saari menepati Peraturan Tetap 17 (1) DUN kerana ia merupakan perkara tertentu dan menyentuh kepentingan orang ramai tetapi ia ditolak berdasarkan Peraturan Tetap 17 (2) kerana ia tidak perlu disegerakan.
Saari ketika mengemukakan usul itu pada persidangan DUN hari ini berkata isu itu perlu dibahaskan bagi mendesak JAIS menggugurkan sebarang pendakwaan yang bakal diambil terhadap Mohd Asri.
Beliau turut meminta kerajaan negeri menyemak semula Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang tidak selari dengan syariah dan keperluan dakwah dan meminda mana-mana peruntukan dalam enakmen itu yang bertentangan dengan prinsip keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia.
Mohd Asri ditahan oleh JAIS pada 1 November lalu ketika sedang menyampaikan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Seri Ukay, Gombak, dekat sini. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan