Selasa, 3 November 2009

Saya bukan Wahabi dan tak tahu apa itu Wahabi!-Dr Asri


PETALING JAYA: Isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Ahad lalu masih rancak diperkatakan.

Beliau dituduh atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah oleh pihak JAIS dan ditahan pada pukul 9 malam oleh sekumpulan anggota JAIS di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Selain tuduhan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah, antara isu lain yang berbangkit ekoran penahanan itu adalah isu penyebaran ajaran Wahabi.

Dr Asri kononnya dituduh membawa ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam hinggakan perkara ini terkandung di dalam salah satu bahagian dalam Memorandum Fitnah yang diusulkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia kepada Agung.

Namun, ketika diajukan perkara ini, Dr Asri sendiri berasa hairan dan ingin bertanya kepada mereka-mereka yang membuat tuduhan yang dia Wahabi.... apa itu Wahabi?

"Saya bukan Wahabi dan saya tak tahu apa itu Wahabi. Tolong bagi saya definisi Wahabi. Kalau orang tak baca doa qunut itu, JAIS katakan Wahabi, kenapa tak larang masjid-masjid India kerana setahu saya mereka tak baca doa qunut," katanya.

Dr Asri juga mencabar pihak tertentu yang mendakwa beliau menyebarkan fahaman Wahabi di negara ini tampil mengemukakan bukti kukuh.

"Jika tidak tahu, jangan membuat tafsiran melulu," kata tokoh agama yang disegani ini.

Jelasnya lagi, hanya kerana seseorang itu tak baca doa qunut, orang itu terus dicap Wahabi.

"Majoriti dari Mazhab-mazhab tak baca doa qunut, adakah mereka juga Wahabi.

"Dan saya nak tanya, sekiranya seseorang itu Wahabi, adakah itu membolehkan pihak JAIS dan polis membuat serbuan begitu rupa. Kenapa tak tangkap orang yang tak sembahyang, itupun agama tak suruh berbuat demikian," katanya sambil melahirkan rasa kemusykilannya tentang tindakan JAIS yang menahannya Ahad malam.

"Lagipun bila masa yang orang JAIS ikut saya sembahyang subuh sampai tahu saya tak baca doa qunut. Saya betul-betul hairan...," kata Dr Asri.

Ditanya bagaimana perasaannya sekarang, hingga isu penahanannya mendapat liputan nasional dan meluas, Dr Asri berkata, dia tidak sangka fitnah yang datang akan menjadi seteruk ini.

"Memanglah saya tahu....kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai tapi saya tak dapat bayangkan orang-orang yang melakukan ini adalah orang-orang agama dan duduk di institusi negara.

"Dan saya melihat sendiri sikap-sikap seperti ini di depan mata," kata Dr Asri.

Dalam satu sidang media semalam, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi ada menyatakan jabatan itu akan mengambil tindakan mendakwa Dr Asri setelah selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Dan dakwaan ke atas Dr Asri kemungkinan besar akan dilakukan pada Isnin depan.

"Itu media yang tulis. Saya belum diberitahu apa-apa pun," kata tokoh agama yang menulis di dalam kolum di akhbar Mingguan Malaysia.

Menurut Khusrin, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.

Sesiapa yang didapati gagal mendapatkan tauliah daripada JAIS jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Insiden penahanan malam kelmarin tidak sedikitpun melunturkan semangat juang Dr Asri untuk menegakkan syiar Islam.

"Jika mana-mana pandangan, pendapat atau ilmu saya tidak sama dengan pendapat serta kehendak sesetengah pihak, janganlah saya dengan sewenang-wenangnya dituduh menyesatkan.

"Dan lagi, jangan guna akta dan kuasa yang ada untuk menghalang masyarakat untuk mendapatkan ilmu yang baik," kata Dr Asri.mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan