Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik keputusan pusat membayar wang ihsan kepada karajaan negeri itu.
Sebaliknya Najib tegas mereka harus membuat pengumuman baru bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar wang royalti seperti yang telah termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Pemuda Kelantan turut menuntut agar Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan di atas tindakan kerajaan merampas royalti rakyat negeri itu.
Tiga tuntutan tersebut dibuat dalam satu penyerahan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bangunan parlimen tengahari tadi.
Ketua Pemuda Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) dalam satu sidang media di lobi parlimen selepas penyerahan tersebut berkata, penyerahan memorandum berkenaan bagi menunjukkan kesungguhan mereka mewakili rakyat Kelantan menuntut agar kerajaan memberikan royalti, bukannya wang ihsan seperti yang diumumkan.
"Kami dari Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini dapat menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Nazri Aziz, dan memorandum ini kami tujukan kepada Perdana Menteri sebagai usaha kami untuk menuntut supaya Kerajaan Pusat melalui Petronas mengkaji balik keputusan untuk memberi wang ihsan kepada rakyat Kelantan serta syarat tiga batu nautika plantar minyak dari pesisir pantai untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti,". katanya.
Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media yang sama berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya dari Kelantan akan menanti penjelasan yang terperinci daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Nor Ya'kob.
Nor Ya'kob sewaktu sesi perbahasan di peringkat dasar enggan menjawab walaupun sepatah berkenaan isu ini.
"Kami ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat khususnya dari Kelantan akan meneruskan perjuangan ini di parlimen dan kami berjanji dalam sesi perbahasan bajet di peringkat jawatankuasa kita akan terus membahaskan isu royalti ini.Bagi kami kerajaan pusat seharusnya akur kepada perlembagaan negara dan mengikuti dengan serius apa-apa perkara yang terkandung dalam akta 144,"
Menurutnya juga, ahli parlimen dari Kelantan dan kerajaan negeri sendiri bersedia membuka pintu rundingan berkenaan pemberian royalti ini dengan Kerajaan Pusat
"Atas nama pemberian royalti kami sedia pada bila-bila masa membuka pintu rundingan dengan kerajaan pusat," Ujarnya.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) kesal dengan jawapan Nazri yang meminta mereka merujuk perkara itu ke mahkamah yang disifatkan sebagai angkuh.
Ujarnya, jawapan Nazri itu menunjukkan Kerajaan Pusat tidak menghormati perjanjian di antara Petronas dan negeri pengeluar petroleum bahawa tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai atau diperoleh dalam kawasan atau di luar perairan negeri tersebut.
Nazri sewaktu menerima penyerahan memorandum itu meminta kerajaan Kelantan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan samaada Kelantan berhak mendapat royalti atau pun tidak.
"Saya nak meluahkan rasa kecewa saya terhadap respon yang diberikan Datuk Nazri tadi kepada kami.Bagi saya respon yang diberikan kerajaan seperti yang disebut oleh beliau (adalah) satu benda yang tidak sihat kepada konsep federalisme dalam negara kita.Ini akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara kita.
Kerajaan akan dilihat begitu angkuh apabila sudah jelas mengenai pemberian royalti itu dari sudut akta dan perjanjian kerajaan negeri dengan Petronas," katanya.
Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Khalid Samad (PAS-Shah Alam), Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) dan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ustaz Baihaqi Atiqullah yang juga Adun Pasir Tumboh. Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan