Isnin, 30 November 2009

LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM (Bahagian Kedua)

Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM.
Perjanjian bersejarah... (dari kanan) Abdullah C.D. dan Chin Peng menandatangani perjanjian damai dengan Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand dan wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman di Haadyai pada 2 Disember 1989. -Foto THE STAR oleh ROHAIZAT

Satu Detik Bersejarah Yang Bertukar Menjadi Detik Yang Melucukan...

SABTU, 2 DISEMBER 1989; Jam hampir 10.30 pagi dan Hotel Lee Garden di mana berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian damai di antara Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM telah dipenuhi oleh wartawan dan orang kenamaan yang ingin menyaksikan satu detik bersejarah - sesuatu yang gagal disaksikan pada 28 dan 29 Disember 1955.

“Tolong duduk! Tolong Duduk....Jika tuan-tuan tidak duduk, bagaimana kita hendak memulakan majlis kita yang bersejarah ini...orang belakang pun nak tengok juga,” demikian kata-kata awal yang keluar dari mulut juruacara pada hari itu, seorang pegawai muda dari angkatan bersenjata Thailand yang bertutur dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang kedengaran sangat melucukan.

Hakikatnya, beliau sedang berhadapan dengan satu tugasan yang sangat berat dan besar pada hari itu - bagaimana untuk mengawal situasi yang kelihatan kelam-kabut kerana para jurugambar yang telahpun memenuhi barisan hadapan di antara pentas utama dan kerusi para tetamu enggan memberi kerjasama kepadanya.

Berkali-kali juruacara itu merayu kepada para jurugambar supaya memberi ruang kepada para tetamu menyaksikan majlis itu dengan sempurna tetapi rayuannya itu tidak diperdulikan.

Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar mugshot Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Ah Sek. Suasana kelam kabut itu menjadikan majlis yang sepatutnya serius dan penuh bersejarah itu tidak ubah seperti kaunter pasaran saham dengan bunyi bising para jurugambar berasak-asak untuk menuju ke hadapan seboleh mungkin.

Dalam keadaan yang berasak-asak ini salah seorang daripada jurugambar telah terjatuh di atas jambakan bunga yang menghiasi meja di mana kesemua wakil kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM akan menandatangani perjanjian damai mereka.

Manakala jurugambar yang berada di belakang pula sama ada memanjat belakang rakan jurugambar yang lain atau berdiri di atas kerusi yang disediakan untuk tetamu-tetamu VIP di barisan hadapan sekali. Dari belakang, kami hanya dapat menyaksikan badan para jurugambar. Mereka yang akan menandatangani perjanjian damai itu sudah tidak kelihatan lagi.

Dalam suasana hiruk pikuk inilah wakil-wakil Kerajaan Malaysia-Thailand dan PKM menurunkan tandatangan mereka di atas kertas perjanjian damai yang bersejarah itu bagi menamatkan perjuangan bersenjata PKM ke atas Kerajaan Malaysia selama lebih 41 tahun.

****

Bila dikenang kembali, peristiwa bersejarah itu sesungguhnya melucukan terutama sekali apabila teringatkan suara juruacara yang terus menerus merayu dengan kata-kata “thank you for your corporation” dan kemudian diikuti dengan “thank your for everybody...”

Ramai di kalangan wartawan ketawa setiap kali mendengar juruacara itu mengulangi ayat “thank your for everybody...” dan tertanya-tanya perlukah dia mengakhiri kata-katanya itu dengan “thank your for everybody...”

Dari belakang, juruacara berkenaan seolah-olah tenggelam di tengah-tengah riuh rendah jurugambar yang menjerit-jerit nama Chin Peng dan Rashid Maidin supaya memberikan pos yang istimewa di hadapan lensa. Yang kelihatan hanyalah tangannya yang diangkat tinggi meminta semua orang bersabar dan duduk. Hakikatnya tidak ada siapapun yang memperdulikan rayuannya lagi.

Majlis itu bukan sahaja berlangsung dengan begitu pantas sekali dan singkat, malah kawalan keselamatan pihak penganjur di sepanjang berlangsungnya majlis itu juga sangat menghairankan.

Tidak ada seorang pun dikenakan pemeriksaan keselamatan untuk menuju ke tingkat 12 Hotel Lee Garden di mana majlis ini berlangsung. Malah pas masuk yang tertulis dalam bahasa Thai boleh diperolehi dengan mudah di lobi hotel berkenaan.

Di sekitar kawasan lobi dan di luar hotel juga, tidak ada kawalan keselamatan yang ketat dilakukan walaupun mereka yang berpakaian seragam berwarna coklat (polis) dan celoreng tentera memenuhi kawasan berkenaan.

Apabila melihat keadaan sudah tidak terkawal lagi, juruacara majlis itu dengan tergesa-gesa memulakan majlis dengan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu sebaik sahaja Chin Peng dan rombongannya yang sedang berdiri sambil melambai-lambai tangan ke arah para jurugambar melabuhkan punggung mereka ke atas kerusi.

Jeneral Chavalit Yongchaiyudh, Panglima Angkatan Tentera Thailand adalah yang pertama yang dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau menyampaikan ucapannya yang ringkas dalam bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan oleh juruacara itu.

“Apa yang anda saksikan hari ini akhirnya membuktikan bahawa perbezaan pendapat dan masalah tidak boleh diselesaikan dengan cara kekerasan,” kata Chavalit.

Selepas Chavalit, wakil Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman pula dijemput berucap.

Beliau berkata, perjanjian hari ini akan membuka jalan kepada pembangunan sosio-ekonomi yang lebih baik dan teratur untuk kemakmuran rakyat Malaysia.

“Dengan tamatnya kegiatan persenjataan komunis, lebih banyak rancangan pembangunan dapat dibawa ke kawasan-kawasan sempadan dan ini termasuklah kepada negara jiran, Thailand,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand di atas kerjasama yang ia berikan sehingga terhasilnya perjanjian damai ini.

Lima minit kemudian, tibalah giliran Chin Peng. Beliau memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Cawangan Khas PDRM dan juga Komander Wilayah 4 Tentera Thai yang telah mengaturkan pertemuan dan rundingan dengan pihak PKM.

Chin Peng berkata, apa yang telah dipersetujui hari ini adalah selaras dengan dasar PKM untuk mewujudkan perdamaian.

“Ia juga adalah selaras dengan arus masa kini di mana rakyat di seluruh dunia memperjuangkan perdamaian dan demokrasi serta selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Thailand.

“Kami yakin bahawa penandatanganan persetujuan damai ini akan mencatat satu lembaran baru dalam sejarah tanahair kami dan akan memberikan sumbangan penting ke arah mewujudkan kemakmuran dan kestabilan di Malaysia serta di kawasan sempadan,” kata Chin Peng.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dan juga ikrar taat setia kepada negara.

Sebaik sahaja Chin Peng selesai menyampaikan ucapannya yang penuh dramatik itu dan belum pun sempat beliau duduk semula, juruacara terus merampas semula mikrofon dan mengumumkan; “Yes Mr Chin Peng, you can now officially sign on the dotting line...” katanya dalam bahasa Inggeris yang sangat melucukan.

Mendengar kata-kata itu, Chin Peng pun sambil tersenyum dan tanpa melengahkan masa lagi terus menandatangani perjanjian itu dan kemudiannya diikuti serentak oleh Pengerusi CPM, Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Sejurus selepas wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand menurunkan tandatangan masing-masing, juruacara itu dengan selamba berkata; “All of you can continue to exchange the document if you wish to do so...”

Kata-katanya yang ringkas dan bersahaja pada satu majlis yang besar dan penuh bersejarah itu sekali lagi mencuit hati para wartawan dan tetamu yang hadir sehingga mengundang gelak ketawa.

****

Pada masa ketiga-tiga pihak yang menandatangani perjanjian damai itu menukar-nukar dokumen, kelihatan para wartawan dan jurugambar mundar-mandir ke sana kemari mengambil gambar di sekitar dewan itu sebagai kenang-kenangan. Malah ramai yang ingin bergambar dengan isteri Komander Regimen Ke-12 PKM, Ah Sek iaitu Zainon Chan dan isteri Abdullah CD, Suriani Abdullah.

Saya tidak mengambil walau sekeping foto pun. Mungkin kerana asyik memerhati apa yang sedang berlaku dan juga mungkin kerana terlalu teruja dengan peristiwa bersejarah ini.

Tetapi suasana yang relaks itu kembali menjadi kelam-kabut apabila para wartawan berpusu-pusu kembali ke meja hadapan sebaik sahaja juruacara mengumumkan bahawa Chin Peng akan memberikan sidang akhbarnya.

Dan keadaan kemudiannya menjadi seperti tidak terkawal lagi apabila beratus wartawan yang menduduki kerusi tetamu di barisan belakang menyerbu serentak ke meja hadapan sambil berlari merempuh tetamu-tetamu VIP setelah menyedari Chin Peng tanpa membuang masa terus memulakan sidang akhbarnya.

Yang menyulitkan keadaan ialah apabila para wartawan terpaksa berasak-asak untuk ke meja hadapan di mana Chin Peng berada bersama-sama beratus jurugambar yang tidak mahu berganjak langsung dari tempat di mana mereka berdiri.

Suasana yang penuh kelam kabut itu berterusan sebaik sahaja Chin Peng selesai mengadakan sidang akhbarnya kerana selepas itu para wartawan pula yang menyerbu Chin Peng untuk mendapatkan tandatangannya dan saya adalah salah seorang daripadanya.

Bila saya menghulurkan buku cenderamata majlis untuk beliau tandatangani, Chin Peng menoleh kearah saya dan bertanya; “Saudara dari mana?” Saya menjawab “Utusan Melayu”. Dan Chin Peng sambil tersenyum berkata; “Saya baca Utusan Melayu...”. Beliau kemudian menurunkan tandatangannya di atas buku cenderamata itu.

Tandatangannya bersih dan kemas membuatkan anda boleh mengeja namanya dengan jelas. Tetapi ada yang menghulur wang kertas Ringgit Malaysia dan Thai Bath untuk Chin Peng tandatangani. Beliau tersenyum dan turuti kehendak tuan yang punya wang.

Dan begitulah majlis yang disusun dan diatur rapi untuk menjadi satu majlis yang penuh bersejarah akhirnya berakhir dalam suasana yang sungguh melucukan.Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan