Rabu, 11 November 2009

Contohi Presiden PAS yang cool dan sabar mendengar orang mengkritiknya


Oleh DINSMAN

Saya nak sambung sikit tulisan Isnin lepas. "Orang-orang politik jangan sombong dan angkuh." Saya mulakan tulisan itu dengan paragraf pertamanya: "Tak sangka rupa-rupanya perkara itu begitu serius. Nasib baiklah Tok Guru Nik Aziz meletupkannya cepat. Kalau tidak, semua orang pakat duk sembunyikan benda-benda yang mereka tak suka itu, dengan anggapan ia hanya perkara kecil. Rupa-rupanya ia bukan lagi perkara kecil."

Dan respons kepada tulisan itu, yang kebetulan juga selepas berlangsungnya Seminar Khas PAS itu, rupa-rupanya lebih daripada apa yang saya tak duga dulu itu. Ingat mulanya ia tidaklah begitu serius. Tetapi rupa-rupanya ia betul-betul serius. Sana sini orang menyatakan kekecewaan dan harapan yang telah pudar dan patah. Aduuh!...

Berbagai aduan dan cerita terus sampai lagi kepada saya. Bukanlah nak percaya begitu saja kepada semua yang disampaikan itu, tetapi kebanyakannya adalah pengukuhan kepada apa-apa yang memang kita sendiri pernah alami dan temui. Cerita-cerita kekecewaan dan kehampaan orang-orang yang mengharapkan PAS dan KeADILan benar-benar tidak serupa dengan Umno.

Sekali apabila harapan rakyat itu telah pudar dan patah, hendak mengembalikannya semula kepada keadaan yang baik seperti sebelumnya, atau dengan kata yang sering digunakan sekarang – hendak 'memperkasakannya' semula, bukanlah satu kerja mudah. Tidak cukup dengan menganjurkan seminar, dan tidak cukup dengan menganjurkan konvensyen. Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak langkah pimpinan di depan, rakyat di belakang mulalah bercempera mencari 'ikon' baru tempat mengadu.

Apabila orang awam mula berkata: "Sama sajalah, PAS-kah, KeADILan-kah, Umno-kah, semuanya sama. Belum menang rakyat didahulukan. Bila dah menang semua nak berebut kuasa. Harapan rakyat tidak dipedulikan lagi."

Betul. Saya bersetuju dengan Lim Hong Siang (editor MerdekaReview versi Melayu) yang mengatakan "PAS bukan takut menang, tapi gagal uruskan kuasa". Baru sahaja mendapat sebahagian daripada kemenangan yang diperjuangkan, pihak pimpinan sudah menunjukkan 'warna' keikhlasan kepimpinan mereka yang mengundang kecurigaan di kalangan rakyat yang menaruh harapan menggunung kepada mereka.

Saya juga berfikir panjang dengan kenyataan Zolkharnain Abidin (bongkarsauh.blogspot) yang pulang dari Seminar Khas itu dengan membawa kehampaan, kerana katanya seminar itu "mengulangi komitmen-komitmen lama yang memang telah diketahui umum". Atau barangkali 'persepsi' Zolkharnain itu salah? Saya tak tahu, sebab saya tak hadir dalam seminar itu, makanya saya berfikir panjang membaca kenyataannya.

Seorang YDP kawasan bertanya saya, "Apa sebenarnya tujuan seminar itu?" Saya tanyakan dia semula, "Ustaz tak pergikah?" Dia jawab dia pergi. Ah, saya tak pergi ...

Apa pun, alhamdulillah, orang ramai mulai berfikir secara serius akan masalah yang sedang kita hadapi. Itu tanda-tanda dan ciri-ciri baik bagi sebuah masyarakat. Dan paling saya gembira ialah apabila Prof Dr Aziz Bari yang mengkritik Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang begitu keras itu, diundang pula untuk menyampaikan pandangannya dalam seminar itu.

Tak usah fikir lainlah. Fikirkan kalau yang Aziz Bari kritik itu bukan Presiden PAS, tapi Presiden Umno. Apa akan jadi? Mungkinkah Umno akan undang Aziz Bari membentangkan pandangannya dalam seminar khas Umno? Saya tak fikir itu boleh berlaku dalam Umno. Sebaliknya Aziz Bari mungkin akan kehilangan jawatannya di Universiti Islam Antarabangsa.

Maka untuk itu saya fikir kita patut mengucapkan syabas kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Jelas dia seorang yang berhemah tinggi dan berjiwa besar. Teladan yang ditunjukkan itu, kita harap, akan menyemarakkan lagi ciri-ciri demokrasi dan kebebasan bersuara dalam PAS.

Tak mengapalah dengan kekecewaan dan kehampaan yang masih wujud di kalangan rakyat di sana sini. Itu tandanya harapan masih ada. Hanya kita perlulah memberikan perhatian yang lebih bersungguh-sungguh kepadanya. Yang terjadi telahpun terjadi. Kita terimalah realiti dan fakta itu, dan kita bekerjalah bagi mengembalikan semula harapan dan kepercayaan rakyat kepada kita

Bukan saja PAS. KeADILan pun sama. Sana sini timbul masalah "pemimpin yang bermasalah". Mula di Perak, kemudian di Pulau Pinang, kemudian di Kedah, dan sekarang di Selangor pula. Maka saya pun jadi terfikir juga - apakah ini semuanya terjadi secara kebetulan, atau kerana salah pimpinan masing-masing (PAS dan KeADILan), atau sebenarnya ini semua terjadi akibat daripada usaha 'underground' pihak Umno?

Saya terfikir begitu kerana saya dan kawan-kawan tidak mahu percaya bahawa para pimpinan peringkat atasan PAS boleh begitu mudah menimbulkan "masalah-masalah" itu. Kita macam tidak percaya? "Eh, takkan mereka boleh berfikir macam itu?"

Maka itulah kami pun berfikir bahawa "masalah" yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat sekarang ini, ada kemungkinannya sebagai akibat daripada usaha halus dan tersembunyi di pihak Umno-BN. Mereka "membaca" di mana tersembunyinya kelemahan-kelemahan pihak yang memimpin PAS dan KeADILan sebagai manusia (kerana manusia itu mesti ada lemahnya), lalu mereka membuat serangan secara tersembunyi di sebalik helah-helah yang kelihatannya "baik" dan "lebih baik", demi untuk "Islam dan Melayu" – konon!

Tidak salah kita berfikir begitu. Kemungkinan itu memang ada. Bahkan saya lebih cenderung mempercayai kemungkinan itu. Memang kita boleh ketawa dengan slogan retorik Perdana Menteri Najib – Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Tetapi kita jangan pandang remeh dan lekeh kepada pemikiran dan strategi di belakang slogan itu.

Ketika harapan rakyat penyokong Pakatan Rakyat mulai pudar dan patah, tidak mustahil sebahagian mereka akan 'termakan' dengan slogan retorik itu. Sebab: kalau PAS dan KeADILan pun sama saja dengan Umno-BN, lebih baiklah sokong Umno-BN, dah tentu mereka lebih mampu untuk menolong rakyat, kerana mereka banyak duit.

Ha, kalau rakyat sudah berfikir seperti itu, bahaya besar. Bukan bahaya kecil, tapi bahaya besar. Maka eloklah kita cepat-cepat menyedarkan sesama kita, seperti yang disarankan al-Quran (surah al-'Asr), supaya kita sering ingat-mengingati, nasihat-menasihati.

Dan jangan cepat marah kalau orang menegur dan mengkritik kita. Jangan cepat melenting dan menuduh orang nak sabotaj kita. Contohi Presiden yang cool dan sabar mendengar orang mengkritiknya. Sekali lagi syabas Tuan Guru!detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan