Ahad, 22 November 2009

Bedah Siasat Beng Hock Selesai




Bedah siasat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat mantan Setiusaha Politik Exco Kerajaan, Teoh Beng di Hospital Sungai Buluh yang bermula jam 1 petang tadi selesai dua jam kemudian.

Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dikeluarkan berhubung bedah siasat berkenaan.

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya juga tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung keputusan bedah siasat pada kali ini dan hanya menunggu sehingga inkues pada 9 disember ini.

“Bila laporan dijangka keluar kita pun tidak tahu, boleh tunggu dalam inkues pada 9 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas bedah siasat tamat jam 3.15 petang tadi.

Lee Lan mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Ponrtip Rojanasunan kerana bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada Dr Porntip kerana datang bantu menyelia bedah siasat dan kita akan sabar menunggu keputusan laporan yang akan dikeluarkan,”katanya.

Menurutnya mendiang Beng Hock akan ditanam semula 24 November ini di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Sementara itu peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan Dr Porntip terlebih dahulu meninggalkan hospital berkenaan tanpa bertemu media.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pihak berkuasa mendakwa mangsa telah membunuh diri, namun pakar patologi antarabangsa dari Kementerian Keadilan Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menemui kesan cekik pada leher dan retakan pada tengkorak mendiang yang konsisten dengan kesan pukulan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang bakal menjadi ayah kepada seorang anak ini ditemui mempunyai kesan cedera pada dubur, dipercayai ditusuk dengan suatu objek. TVS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan