Rabu, 2 September 2009

Zamri lawan Nizar:Tindakan SPR tidak dahulukan rakyat


KUALA LUMPUR, 2 Sept: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Dato' Abu Hassan Sarif jelas menunjukkan yang didahulukan bukan rakyat tetapi wakil rakyat.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menjelaskan, keputusan SPR itu memeranjatjan kerana sudah terbukti Adun tersebut hilang kelayakan bila gagal hadir sidang Dun sebanyak dua kali berturut-turut.

Malah, jelas Kamaruddin, Adun Kota Siputeh itu jelas hilang keanggotaan kerana SPR mendapati wakil rakyat itu tidak hadir dalam tempoh dua penggal.

"Ia satu keputusan yang agak memeranjatkan kerana SPR masih lagi mengekalkan Adun Kota Siputeh biarpun mereka (SPR) sendiri menjelaskan Abu Hassan (Dato') gagal hadir sidang Dun dalam tempoh dua penggal.

"Keputusan ini membuktikan lagi SPR terlalu menjaga kepentingan Barisan Nasional (BN) kerana sepatutnya jika tidak hadir sidang Dun dalam tempoh dua penggal hukuman lebih teruk dikenakan tetapi dalam kes ini ia diringankan dan dikekalkan kerusi Adun BN itu," jelas beliau.

Beliau juga menjelaskan, SPR sepatutnya bertindak dengan lebih telus untuk memulihkan kewibawaan suruhanjaya tersebut yang sudah semakin dipertikaikan oleh rakyat.

Namun, kata beliau, SPR masih tidak serik dan ingin terus menjadi salah satu sayap BN dan merosakkan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Semalam, SPR memutuskan bahawa Abu Hassan masih kekal sebagai Adun Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan di Dun tersebut.

Sebelum ini Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi Dun Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota Dewan yang tidak hadir sidang dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang. _harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan