Salah satu daripada pecahan amal mulia di bulan Ramadhan adalah beri’tikaf dan bertafakur. Ketika melakukan pelbagai muhasabah, maka saya ada terpandang satu ayat yang sedikit mencurigakan. Ia berbunyi begini:
Perdana Menteri berkata, “kita tidak akan membiarkan Umno dipermainkan dan akidah parti itu dipersoalkan mana-mana pihak. Jangan persoalkan akidah kita (Umno)” (Berita Harian 8 September 2009).
Melihatkan kenyataan ini, hati saya tertanya-tanya sama ada bolehkah manusia atau parti politik membuat akidah? PAS tidak pernah mencipta akidah. Islam ini bukan pandai-pandai PAS. Ia agama yang diturunkan kepada Nabi-Nabi oleh Allah Azzawajalla. Bermula dari Nuh a.s., Ibrahim a.s., Musa a.s., Isa a.s. dan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Apa yang PAS lakukan ialah meniru bulat-bulat keputusan yang telah dibuat oleh Allah S.W.T. melalui kalimat syahadah dan tauhid Allah dalam segala segi. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Katakan: Dialah Allah, Yang Maha Esa
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu
Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan
Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.”
(Surah Al Ikhlash: Ayat 1 hingga 4).
Dizaman dahulu, orang merujuk akidah itu sebagai i’tikad. Ia berasal dari perkataan aqoda dan bermakna ikatan. Akad nikah adalah ikatan antara A + B. Begitu juga dengan akad jual beli.
Akidah adalah kesimpulan. Ia persoalan tali pengikat yang menyimpulkan hubungan kita dengan Allah S.W.T. Orang yang berpegang dengan akidah dinamakan sebagai orang yang mempunyai kesimpulan hidup yang kukuh. Dalam hal ini Nabi S.A.W. pernah bersabda yang membawa matan, “telah ku tinggalkan engkau dengan dua perkara iaitu Al-Quran dan hadith. Berpeganglah keduanya dengan tangan kamu sekuat-kuatnya atau gigitlah ia dengan gigi gerham/taring (jika dikhuatiri akan terlucut).” Kandungan yang terdapat dalam akidah ialah Islam + Iman. Ia bertujuan untuk selamat di akhirat. Bercakaplah sama ada mengenai pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, taraf hidup atau budaya murni – pada akhirnya, kesemuanya sekali mesti menuju kepada mencari hasanah di akhirat. Di sini, Umno buat akidah untuk apa?
Saya cukup hairan bahkan terkejut apabila Presiden Umno tanpa segan silu menggunakan perkataan ‘akidah Umno’. Sejak bila Umno mencipta akidah? Jika dia buat sekalipun maka sahlah bahawa akidah jenis ini adalah palsu. Ia tidak dinilai di akhirat kelak.
Kita perlu cermat untuk membezakan antara dasar atau perlembagaan parti dengan perkara akidah dalam agama. Saya ingat, ilmuan Islam lebih arif untuk menjelaskan perkara ini. Inilah puncanya yang selalu saya katakan bahawa pintu rundingan antara PAS dan Umno sudah tertutup rapat. Apa yang mungkin boleh Umno lakukan ialah menukar dasar daripada kebangsaan kepada dasar Islam. Dengan cara ini, barulah rakyat ada keyakinan bahawa Umno ini parti yang sudah mempunyai akidah Islam. Perubahan dasar ini adalah satu perkara yang sangat mustahak kerana hidup dalam segenap perkara termasuk dasar parti Islam perlu diselaras dengan akidah Islam. Dasar ini harus berasaskan akidah yang tepat dan diredhai oleh Allah S.W.T. saja akan menuju ke jalan Syurga. Sebaliknya mana-mana dasar atau parti atau pertubuhan yang tidak selaras dengan akidah Islam adalah ditolak. Perkara akidah ini bukan boleh dibuat oleh mana-mana manusia. Mana boleh manusia atau pertubuhan membuat akidah partinya yang sendiri.
Akidah Islam boleh terpancar dalam pelbagai lafaz doanya. Di dalam doa Iftitah misalnya, terkandung aspek penyerahan menyeluruh terhadap rabb seperti, “sembahyangku, hajiku, segala aktiviti hidupku dan matiku (nyawaku) kerana Allah Taala.”
Begitu juga doa dan zikir-zikir masyhur yang menjadi amalan rata-rata umat Islam. Misalnya, selepas sembahyang kita berwirid yang membawa maksud:
a) “Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, semua kerajaan milikNya dan bagiNya segala pujian, Dia menghidup dan mematikan (semua perkara), sedangkan Dia sentiasa hidup dan tidak mati, ditanganNya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas semua perkara.”
b) “Allah telah menjamin aku dan cukuplah Allah bagiku, Allah Maha Mendengar permohonan sesiapa yang bermohon (kepadaNya), tidak ada lagi selain Allah tempat meminta dan berhajat.”
c) “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada seorang lelaki (bapa), ibuku yang juga hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, berlaku ke atasku setiap ketentuanMu, terlaksana ke atasku setiap keputusanMu, aku mohon kepadaMu dengan (berkat) semua nama yang Engkau namakan kepada zatMu atau nama yang Engkau sebutkan di dalam kitabMu atau nama yang Engkau ajarkan kepada sesiapa sahaja dari kalangan makhlukMu atau nama yang Engkau rahsiakannya di dalam ilmu ghaib di sisiMu (aku mohon) agar Engkau menjadikan Al-Quran yang maha agung sebagai sumber ketenangan bagi hatiku, cahaya penglihatan mataku, menghapuskan perasaan dukacita dan sebagai penghalang kepada perasaan sedih dan gelisah.”
d) “Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang mengetahui perkara yang ghaib dan nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.”
Dari empat petikan maksud doa-doa di atas, sangat jelas konsep tauhid yang mengEsakan Allah. Dialah sumber kekuasaan, satu-satunya tempat ketaatan dan titik tumpuan dalam pengabdian makhluk. Ini bukan soal 1Malaysia kerana Islam mengajar kita bahawa tiada zat dan tiada Tuhan yang wajib dan boleh atau wajar disembah melainkan Allah Yang Maha Besar.
Jika mahu bercakap soal perpaduan dan penyatuan, maka inilah titik penyatuan dasar yang saya selalu sebutkan. Ertinya, jika Umno kononnya ikhlas untuk melakukan kerjasama demi kepentingan masa depan Islam dan ummah di negara ini, maka Umno perlu bersedia terlebih dahulu untuk mengubah dari dasar kebangsaan kepada dasar Islam.
Jika betullah nak jaga Islam, PAS lah partinya yang menjadi pilihan kerana dasar PAS sejak awal lagi ialah Al-Quran dan Hadith. Ini berlaku sejak penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951 lagi. Ini berikutan alim ulama’ dalam Umno keluar dari Umno untuk menubuhkan PAS kerana tidak yakin dengan perjuangan Umno yang berfahaman kebangsaan. Dengan latar belakang ini semua orang harus masuk PAS untuk bersama dengan PAS. Tidak timbul soal PAS dipelawa untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kononnya untuk masa depan Islam dan ummah di negara ini. Ini bukan isu.
Kelantan sudah hidup hampir 20 tahun di bawah dasar Islam dan kami tidak mempunyai apa-apa masalah. Bahkan secara hikmah dan istiqamah, kami telah secara berperingkat-peringkat sedang menukar pemikiran rakyat (brainwash) daripada menjadi pak turut kepada cara hidup mat saleh secara membabi buta kepada menjadi pak turut kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Saya sesungguhnya tidak faham dengan pendirian Umno yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama menolak Islam. Pada saya, Islam jenis ini setaraf dengan penduduk setinggan yang menduduki sesuatu tempat secara haram. Jika rumah setinggan didirikan di atas bahu jalan atau tanah-tanah kerajaan yang lain maka pihak kerajaan ada hak untuk meroboh, menghalau atau mengenakan denda. Sikap pemimpin Umno boleh kita analogikan seperti kes setinggan ini. Kita kena faham bahawa kita menumpang bumi Allah dan sedang menggunakan segala kemudahan yang Allah sediakan. Jadi, sepanjang masa dalam hidup kita, kita telah termakan budi dan berhutang budi. Jika kita sedar yang kita menumpang bumi Tuhan, maka kita kenalah patuh kepada undang-undang dan peraturan Pemiliknya.
Jadi jelaslah bahawa dalam hidup kita ini, hanya terdapat satu sahaja akidah iaitu akidah Islam. Jika ada juga akidah lain yang didakwa oleh sesiapa, maka sahlah ia adalah akidah bertaraf setinggan. Percubaan Umno yang membangkitkan rundingan mengenai masa depan Islam dan ummah di negara ini adalah cerita lama. Umumnya, rata-rata pemimpin PAS, sudah tidak lagi berminat dengan gimik-gimik kabur yang seumpama ini. Hanya orang PAS yang tidak mahir dengan gelagat lawan sahaja boleh keliru dengan permainan yang sedemikian. Pada saya, apa yang ada di hadapan cukup jelas. Sambil menegur dan berdakwah untuk saling ingat-mengingati dalam bulan Ramadhan yang sangat mulia ini, saya perlu memberitahu bahawa kami sedang melangkah dan akan terus melangkah. Kami menuju bulan purnama.
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan.
www.blogtokguru.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan