Oleh Mat Zain Mat Isa
Selasa (15 September) lalu, wartawan Iraq yang membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, tahun lalu, dibebaskan dari penjara. Muntazer al-Zaidi, seorang wartawan tidak dikenali yang bertugas dengan sebuah stesen televisyen kecil di Iraq, Baghdadiya TV, sekelip mata menjadi ikon kebanyakan dunia Arab Disember lalu.
Ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Muri al-Maliki mengadakan sidang media di Baghdad, Muntazer bangun daripada kerusinya dan membaling kasut ke arah pemimpin AS itu. Tindakannya itu menyebabkan Bush, yang ketika itu masih Presiden AS, terpaksa dua kali mengelak kasut Muntazer.
Insiden itu disaksikan berjuta penonton di seluruh dunia, sama ada menerusi siaran tv mahu pun secara online. Ia bukan sahaja menjatuhkan maruah Bush malah turut memalukan al-Maliki yang berdiri di sebelah Bush.
Bagaimana pun, di luar sana Muntazer dianggap wira. Kebanyakan penonton, sama ada di rantau Arab mahu pun di AS sendiri, dilaporkan memuji keberanian wartawan berkenaan.
Muntazer kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di atas tindakannya itu. Hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada setahun.
Mahkamah Iraq pada 14 September mengarahkan beliau dibebaskan berikutan di bawah undang-undang negara itu seseorang yang sudah menjalani 75 peratus daripada tempoh hukuman dan berkelakuan baik perlu dibebaskan.
Pembebasannya mendapat liputan meluas media seluruh dunia. Kepulangan Muntazer ke pangkuan keluarganya disambut meriah dengan kibaran bendera Iraq, gantungan belon dan poster beliau oleh anggota masyarakat dan pihak-pihak yang menyokong tindakannya.
Sementara pembaling kasut di Iraq disambut selaku wira, nasib yang sama sekali berbeza menyelubungi seorang pemimpin India di negara kita. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kutukan dan kecaman keras pelbagai pihak.
Sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan di Perhimpunan Agung MIC, 13 September lalu, Sukumaran menyuarakan cadangan itu ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan Tun Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.
Beberapa hari sebelum itu bekas Perdana Menteri itu dipetik sebuah akhbar Tamil sebagai mengkritik cara Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengendalikan parti itu. Beliau malah menegaskan MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy memimpinnya.
Tun Mahathir dilaporkan turut memuji calon Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam. Komen itulah yang dianggap para pemimpin MIC, termasuk Samy sendiri sebagai mencampuri urusan dalaman parti India itu.
Terdorong oleh emosi yang meluap-luap untuk mempertahankan maruah partinya menyebabkan Sukumaran ‘terlepas cakap’ dan mengundang padah buat dirinya. MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.
Jika Sukumaran yang sekadar menyuarakan cadangan ‘kalung selipar’ itu sudah dihukum akibat keterlanjurannya, nasib serupa nampaknya tidak pernah ditimpakan atas seorang pemimpin Umno yang melakukan perbuatan lebih menghinakan. Ingat lagi kes ‘anugerah penyapu’ di Selangor dua tahun lalu?
Pada Majlis Anugerah Bulan Kualiti 2007, 12 November 2007, Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah menghadiahkan penyapu kepada dua jabatan di daerah Hulu Selangor di atas kegagalan mereka mencapai sasaran memungut cukai tahunan. Dua jabatan itu ialah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor.
MDHS dilaporkan hanya berjaya memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak, manakala PTD Hulu Selangoir hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak tahun lalu. Ia adalah di bawah paras minimum ditetapkan Kerajaan Selangor iaitu 90 peratus hasil semasa dan 70 peratus tunggakan.
Khir Toyo di dalam ucapannya di majlis tersebut menegaskan anugerah itu merupakan satu peringatan kepada jabatan kerajaan supaya berusaha meningkatkan prestasi, mengubah sikap, produktif serta bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Nilaian baik beliau itu bagaimana pun tidak dikongsi masyarakat negara ini. Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, anugerah penyapu dilihat tidak menepati amalan dan tradisi, sama ada ditinjau dari perspektif adat budaya mahu pun pentadbiran awam.
Tokoh-tokoh akademik dan budayawan bagaikan sepakat mengatakan tindakan memberi anugerah penyapu sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan budaya serta adat masyarakat. Malah ada yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertamadun, amat hina serta boleh menjatuhkan maruah dan mengaibkan individu terbabit.
Namun apakah ada kalangan pemimpin kerajaan yang ikut menuntut bekas Menteri Besar itu membuat permohonan maaf atas keterlanjurannya? Suara bantahan para pemimpin Umno hampir tidak kedengaran apabila tindakan menghinakan itu dilakukan kalangan mereka sendiri.detikdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan