Jumaat, 4 September 2009

Zamri lawan Nizar:Adun Pelabuhan Kelang muncul

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini muncul dengan kenyataan rasmi buat pertama kalinya sejak isu yang mengaitkannya untuk menyertai Umno tersebar luas dengan membidas bosnya sendiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan beliau tidak sihat untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Bercakap secara eksklusif dengan akhbar The Star, Badrul menafikan segala dakwaan negatif yang dilemparkan ke atas dirinya apatah lagi dalam soal yang mengaitkannya dengan Umno dan juga isu berkaitan kedudukan mentalnya selepas kononnya terlibat dalam kemalangan.

“Saya tidak terlibat dalam kemalangan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Menteri Besar. Jadi saya tak faham kenapa saya diserang secara pribadi. Apa yang Menteri Besar takut sangat ni?’’ tanya beliau.

Berhubung spekulasi yang beliau akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul menjelaskan, dia masih wakil rakyat Pelabuhan Klang mewakili PKR.

Dan apabila ditanya kenapa selama ini beliau menghilangkan diri, jawab Badrul, beliau tidak pernah menghilangkan diri tetapi sengaja menjauhkan diri daripada pemimpin PKR dan juga majlis rasmi PKR untuk mengelak tercetusnya sebarang kontroversi lagi.

“Tapi saya nak beritahu, saya tidak menghilangkan diri dari kawasan saya dan juga pengundi saya. Saya bertemu dengan mereka selalu khususnya semasa terawih,’’ ujarnya. Sumber-sumber memberitahu The Star, perasaan di anaktirikan oleh pejabat Menteri Besar bukan dirasai oleh Badrul seorang malah beberapa lagi Adun yang lain khususnya dalam soal pembahagian peruntukkan pembangunan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri berjumlah RM500,000 setiap kawasan.

The Star difahamkan, Khalid Ibrahim telah melantik Setiausaha Politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Adun Seri Setia untuk menguruskan peruntukkan pembangunan bagi Dun Pelabuhan Klang sejak tersebarnya cerita kononnya Badrul tidak sihat untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan