Khamis, 20 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Umno pengkhianat bangsa-Anwar

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pemimpin Umno/BN yang menggunakan sentimen perkauman menyerang dirinya dengan gelaran 'pengkhianat'.

Dalam sidang media di Pejabat KeADILan di Tropicana, 11 Ogos lalu, Anwar kesal sambil menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyerangnya secara peribadi.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalannya, Dr Syed Hussin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub; Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim serta Dr Muhammad Nur Manuty.

Sebaliknya Anwar mendakwa, Umnolah parti yang banyak menggadai kepentingan bangsa dan negara termasuk kepentingan Melayu serta Raja-raja Melayu.

Secara jelasnya ujar Anwar, Pakatan Rakyat telah menggariskan pendirian bersama yang ditandatangani pada 8 September 2008, berhubung soal dasar. Walaupun ketika itu tidak disiarkan media arus perdana yang dimiliki Umno, namun Anwar bertegas bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah melanggar dasar yang telah disetujui bersama.

Pakatan Rakyat tegasnya telah membuat kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang ditandatangani oleh Presiden PAS, Penasihat DAP dan saya sendiri menegaskan komitmen Pakatan menjunjung dasar dan Perlembagaan Persekutuan termasuk soal kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mempertahan bahasa ibunda, kedudukan institusi Raja Melayu dan kedudukan hak istimewa Melayu dan bumiputera dan hak semua kaum yang dijamin dalam Perlembagaan.

Pakatan Rakyat ada hujah untuk menangani politik kebencian Umno yang sengaja menggunakan sentimen agama, bangsa dan institusi beraja bagi menutup pekung rasuah, penyelewengan yang mereka lakukan, katanya.

"Saya melihat ini usaha terdesak oleh pemimpin Umno dan konco-konconya yang menggunakan propaganda bangsa dan Institusi Beraja agar pemikran rakyat menjadi semakin sempit.

"Ini bukan kali pertama saya jadi sasaran dalam isu pengkhianatan. Ini usaha terbaru yang jelas tanda mereka terdesak. Saya tak mahu terjebak dengan pertikaian peribadi dengan TPM (Muhyiddin), sebaliknya saya mahu berhujah persoalan dasar," ujar Anwar.

Anwar seterusnya mendakwa, pemimpin Umnolah sebenarnya yang menjadi pengkhianat rakyat dengan menggunakan politik kebencian bagi menutup pekung rasuah dan penyelewengan. Apa yang tidak dikaitkan dengan pemimpin Umno, persoalan jenayah dan salah guna kuasa, ini semua ujar Anwar adalah pengkhianatan kepada bangsa dan rakyat secara keseluruhannya.

Pemimpin Umno yang menerajui kerajaan telah melakukan skandal menyeleweng dana awam berbillion ringgit, katanya.

Beliau menegaskan, penggunaan dana awam atas nama komisyen kapal selam, pembelian senjata, pemilikan saham kroni, kontrak, lesen dan peruntukan bumiputera yang akhirnya dikaut oleh keluarga dan kroni Umno sahaja.

"Kita tak lupa Umnolah yang menghina institusi beraja pada tahun 1983 dan pada tahun 1993 malah mereka hina Islam dengan membanyakkan lesen judi, gadai gunung dan bukit kepada tauke judi.

"Hatta Umno turut menggadai kepentingan petani dan peraih kecil Melayu, dan terbaru saham Bernas pula dijual kepada syarikat asing," ujarnya.

Namun pemimpin Umno melabel pemimpin Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat, walhal Pakatan Rakyat lah yang mempertahan dan membela nasib masyarakat miskin dan terpinggir dari semua kaum, kata Anwar.

Ketua Pembangkang itu juga kesal, dalam pada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan dasar 1Malaysia, disatu pihak dalam Umno menggunakan pendekatan 'racist' (perkauman).

Namun permainan pemimpin Umno ini bagi Anwar tidak akan mengubah sedikitpun pendiriannya untuk terus menjaga kepentingan Melayu miskin dan terpinggir, katanya.

Anwar juga melihat isu ini dimainkan kembali hanya untuk kempen Pilihan Raya Kecil Dun Permatang Pasir, selain tanda-tanda pilihan raya umum semakin hampir. Beliau turut menegaskan beliau bukanlah pemimpin yang hanya menjaga periuk nasi tauke-tauke besar Melayu yang mengaut keuntungan lumayan di sebalik peruntukan ke atas Bumiputera.

Namun apa yang dipentingkan ialah persoalan selepas 51 tahun negara merdeka, beliau mahu menjana perubahan bagi meyakinkan Melayu, Cina, India dan lain-lain supaya mereka dapat manfaat dari pembangunan di negara ini.

"Saya tidak akan jawab isu ini dengan serangan peribadi, saya kenal siapa dia, tetapi rakyat terutamanya orang Melayu sudah celik, bukan macam tahun-tahun 80-an atau 90-an," katanya. detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan