Oleh ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR: Kemenangan PAS mengekalkan kerusi Permatang Pasir melalui calonnya, Ustaz Mohd Saleh Man diibaratkan sebagai menebus maruah kemenangan tipis parti itu di Manek Urai.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata PAS Pulau Pinang berbangga dengan kejayaan yang diperolehi parti itu dalam pilihan raya kecil kali ini yang menunjukkan para pengundi tidak termakan dengan segala propaganda media dimainkan BN.
"Biarpun Pakatan Rakyat berhadapan dengan pelbagai serangan seperti isu Melayu, DAP dan sebagainya, Alhamdulillah nampaknya ia tidak membuahkan kejayaan kepada BN untuk mendapatkan sokongan," tambah beliau.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, berkata antara faktor kemenangan PAS di Permatang Pasir juga terletak kepada sistem jentera pilihan raya di peringkat Majlis Tindakan Dun (MTD) Permatang Pasir, yang dianggapnya terbaik di Pulau Pinang.
Selain itu, katanya faktor calon BN, Rohaizat Othman itu sendiri menyumbang kepada kekalahan BN dalam pilihan raya kecil ini.
Katanya, sejak nama Rohaizat dicalonkan, sudah pelbagai skandal terdedah berkenaan peribadinya yang mengakibatkan para pengundi hilang keyakinan terhadap beliau.
"Rohaizat terlibat dengan kes pecah amanah, skandal rumahtangga dan sebagainya. Dan semua ini bukan fitnah, kerana ada bukti-bukti jelas mengenainya. Justeru, sudah tentu pengundi Permatang Pasir tidak mahu tokoh yang mewakili mereka adalah dari kalangan yang bermasalah seperti beliau," tegas beliau lagi.
Mujahid turut mengatakan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman cukup memberikan kesan kepada pengundi di Dun berkenaan.
Beliau menegaskan persepsi pengundi terhadap Allahyarham begitu baik, menyebabkan mereka tidak melihat kepada individu, tetapi lebih kepada PAS itu sendiri yang dilihat selama ini membela segala kebajikan mereka.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang bergerak penuh kerjasama dan bersemangat sepanjang kempen pilihan raya kecil berlangsung.
"Biarpun kempen berlangsung selama tiga hari berpuasa, ia tidak melemahkan semangat jentera parti untuk turun membantu memenangkan calon PAS. Begitu juga kepada jentera KeADILan dan DAP yang bekerja keras memastikan kemenangan ini," kata beliau.detikdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan