
KUALA LUMPUR,Himpunan Bersih 3.0 mengakibatkan
Umno semakin pening dan kini sibuk dengan pesta menuding jari antara
satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu."Yang paling pening ialah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)," katanya.
Menurut Mohamad, sebelum himpunan Bersih 3.0 itu, menteri tersebut
menuduh beliau dan Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamudin Rais mengajak
mereka yang berhimpun supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.
"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa
Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang
berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran
Merdeka," katanya.
Selepas himpunan Bersih pula, kata Mohamad,
Hishammuddin mendakwa pula bahawa tindakan polis merampas kamera
wartawan adalah sebahagian dari garis panduan operasi polis (SOP).
"Selepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) beritahu bahawa
bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat
liputan perhimpunan Bersih 3.0 itu bukan sebahagian daripada garis
panduan operasi polis SOP.
"Satu negara nampak menteri itu pening teruk. Saya nasihatkan dia pergi berehat ke Bahamas," katanya.
Beliau berkata, maklumat yang diterimanya menunjukkan Hishammuddin menjadi sasaran kemarahan kedua-dua pihak.
"Penyokong PR (Pakatan Rakyat) marah kepadanya sebab berdendam sangat terhadap kekejaman polis terhadap mereka.
"Puak Umno pula marah menteri itu kerana mereka kata dia gagal hadapi
Bersih 3.0 yang meranapkan lagi imej (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),"
katanya.
Menurut Mohamad, beliau diberitahu oleh mereka yang
rapat dengan sumber dalaman Umno bahawa para pemimpin parti itu kini
saling menuding jari kepada satu sama lain.