Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Kim menolak gesaan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) diadakan secara tertutup.
Bertaut pada prinsip pemisahan kuasa yang jitu, Teng yang juga Pengerusi Selcat berkata jawatankuasa terbuka dan telus seakan Selcat telah menjadi amalan negara-negara demokrasi berparlimen.
"Setakat ini dari maklum balas orang-ramai, mereka amat berpuas hati kerana dengan adanya Selcat mereka nampak ketelusan dalam pentadbiran kita. Ketelusan bukan sahaja bererti kita membenarkan orang ramai melihat prosiding sepenuhnya, tetapi yang penting ialah melihat kebenaran disebalik isu-isu yang ditangani. Walaupun Selcat ini adalah baru di negara ini, tetapi ia menjadi amalan di negara-negara Komanwel lain," kata Teng.
Selcat Selangor meraih pengiktirafan masyarakat sebagai mercu ketelusan dan ketrerbukaan selepas ia membongkar penyelewengan RM9.9 juta wang rakyat oleh isteri-isteri Adun BN melalui Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).
Prosiding Selcat yang terkini sedang menyiasat misteri adun-adun BN menghabiskan kesemua peruntukan negeri mencecah RM500,000 dalam masa dua bulan sahaja, sebelum Pilihanraya Umum ke-12 8 Mac 2008.
Namun, para Pegawai Daerah yang dipanggil membantu siasatan merungut bahawa mereka disiasat tanpa belas oleh Selcat.
"Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak dapat ikut rentak. Mereka boleh maklumkan ke pihak jawatankuasa supaya kita boleh tengok dimana kita boleh memperbaiki dan menaiktaraf Selcat. Dalam pada itu, mereka juga perlu mengikut rentak ketelusan dan keterbukaan dan tidak bertaut pada amalan lama," kata Teng.
Menyahut aduan pegawai-pegawai daerah ini, Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali mengesyorkan bahawa prosiding ditutup dari tatapan awam dan keanggotaan Selcat dirombak dan diisi oleh bekas-bekas hakim.
"Selcat adalah jawatankuasa pilihan khas yang dilantik oleh dewan melalui peraturan tetap. Mengikut amalan Parlimen Komanwel, tidak ada keanggotaan jawatankuasa diisi oleh orang luar, melainkan di kalangan ahlinya sendiri," kata Teng.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga akur kepada prinsip pemisahan kuasa dan berkata pihaknya tidak akan mencampuri urusan Selcat.
Teng juga berkata pihaknya tidak mahu dan tidak akan campuri urusan Eksekutif berhubung tindakan Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Husin yang melanggar Perintah Am dengan mengkritik Teng.
Bakhtiar dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata dia telah dimalukan oleh siasatan Selcat.
"Pegawai Daerah bukan dibawah kawalan saya. Mereka tertakluk dibawah bidang kuasa Eksekutif, demikian itu saya tidak mahu mencampuri soal Perintah Am ini," kata Teng.
Sementara itu, Dr Hassan Ali menafikan desas-desus bahawa beliau mempunyai agenda tertentu dengan menyerang Selcat dan Teng.
Dr Hassan berkata Pakatan Rakyat menyokong penuh kewujudan jawatankuasa siasatan ini.
Mengulas mengenai syor supaya Selcat ditutup dari tatapan awam, Dr Hassan berkata beliau cuma bimbangkan rungutan para pegawai daerah dan syor dibuat adalah untuk dibincang dan direnungkan bersama.TVA
Angkuh dan biadab,Khir Toyo pernah menganugerahkan anugerah penyapu kepada seorang Yang Dipertua Majlis Daerah di Selangor
Pemilik selipar ini terpaksa mengunci seliparnya bimbang di curi oleh Sukumaran untuk di kalungkan pada gambar Tun Mahathir he..he..he..
Oleh Mat Zain Mat Isa
Selasa (15 September) lalu, wartawan Iraq yang membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, tahun lalu, dibebaskan dari penjara. Muntazer al-Zaidi, seorang wartawan tidak dikenali yang bertugas dengan sebuah stesen televisyen kecil di Iraq, Baghdadiya TV, sekelip mata menjadi ikon kebanyakan dunia Arab Disember lalu.
Ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Muri al-Maliki mengadakan sidang media di Baghdad, Muntazer bangun daripada kerusinya dan membaling kasut ke arah pemimpin AS itu. Tindakannya itu menyebabkan Bush, yang ketika itu masih Presiden AS, terpaksa dua kali mengelak kasut Muntazer.
Insiden itu disaksikan berjuta penonton di seluruh dunia, sama ada menerusi siaran tv mahu pun secara online. Ia bukan sahaja menjatuhkan maruah Bush malah turut memalukan al-Maliki yang berdiri di sebelah Bush.
Bagaimana pun, di luar sana Muntazer dianggap wira. Kebanyakan penonton, sama ada di rantau Arab mahu pun di AS sendiri, dilaporkan memuji keberanian wartawan berkenaan.
Muntazer kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di atas tindakannya itu. Hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada setahun.
Mahkamah Iraq pada 14 September mengarahkan beliau dibebaskan berikutan di bawah undang-undang negara itu seseorang yang sudah menjalani 75 peratus daripada tempoh hukuman dan berkelakuan baik perlu dibebaskan.
Pembebasannya mendapat liputan meluas media seluruh dunia. Kepulangan Muntazer ke pangkuan keluarganya disambut meriah dengan kibaran bendera Iraq, gantungan belon dan poster beliau oleh anggota masyarakat dan pihak-pihak yang menyokong tindakannya.
Sementara pembaling kasut di Iraq disambut selaku wira, nasib yang sama sekali berbeza menyelubungi seorang pemimpin India di negara kita. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kutukan dan kecaman keras pelbagai pihak.
Sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan di Perhimpunan Agung MIC, 13 September lalu, Sukumaran menyuarakan cadangan itu ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan Tun Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.
Beberapa hari sebelum itu bekas Perdana Menteri itu dipetik sebuah akhbar Tamil sebagai mengkritik cara Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengendalikan parti itu. Beliau malah menegaskan MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy memimpinnya.
Tun Mahathir dilaporkan turut memuji calon Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam. Komen itulah yang dianggap para pemimpin MIC, termasuk Samy sendiri sebagai mencampuri urusan dalaman parti India itu.
Terdorong oleh emosi yang meluap-luap untuk mempertahankan maruah partinya menyebabkan Sukumaran ‘terlepas cakap’ dan mengundang padah buat dirinya. MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.
Jika Sukumaran yang sekadar menyuarakan cadangan ‘kalung selipar’ itu sudah dihukum akibat keterlanjurannya, nasib serupa nampaknya tidak pernah ditimpakan atas seorang pemimpin Umno yang melakukan perbuatan lebih menghinakan. Ingat lagi kes ‘anugerah penyapu’ di Selangor dua tahun lalu?
Pada Majlis Anugerah Bulan Kualiti 2007, 12 November 2007, Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah menghadiahkan penyapu kepada dua jabatan di daerah Hulu Selangor di atas kegagalan mereka mencapai sasaran memungut cukai tahunan. Dua jabatan itu ialah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor.
MDHS dilaporkan hanya berjaya memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak, manakala PTD Hulu Selangoir hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak tahun lalu. Ia adalah di bawah paras minimum ditetapkan Kerajaan Selangor iaitu 90 peratus hasil semasa dan 70 peratus tunggakan.
Khir Toyo di dalam ucapannya di majlis tersebut menegaskan anugerah itu merupakan satu peringatan kepada jabatan kerajaan supaya berusaha meningkatkan prestasi, mengubah sikap, produktif serta bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Nilaian baik beliau itu bagaimana pun tidak dikongsi masyarakat negara ini. Berdasarkan reaksi pelbagai pihak, anugerah penyapu dilihat tidak menepati amalan dan tradisi, sama ada ditinjau dari perspektif adat budaya mahu pun pentadbiran awam.
Tokoh-tokoh akademik dan budayawan bagaikan sepakat mengatakan tindakan memberi anugerah penyapu sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan budaya serta adat masyarakat. Malah ada yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertamadun, amat hina serta boleh menjatuhkan maruah dan mengaibkan individu terbabit.
Namun apakah ada kalangan pemimpin kerajaan yang ikut menuntut bekas Menteri Besar itu membuat permohonan maaf atas keterlanjurannya? Suara bantahan para pemimpin Umno hampir tidak kedengaran apabila tindakan menghinakan itu dilakukan kalangan mereka sendiri.detikdaily
KUALA LUMPUR, 21 Sept: Meskipun keputusan pecat ditarik-balik, penggantungan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah memadai untuk merencat kerjaya politik pemimpin parti perkauman itu.
ukuman yang dikenakan keatas Chua akan memarakkan pemberontakan dalaman dalam MCA.
"Saya tidak rasa akar umbi MCA akan menerima keputusan ini. Bahkan bagi saya sendiri, baik pemecatan atau penggantungan, kesannya sama sahaja kerana ia akan menjejaskan kerjaya politik Chua Soi Lek," kata beliau yang dipetik oleh sebuah laman portal.
Badan keputusan tertinggi MCA, Jawatankuasa Pusat MCA (CC) membatalkan keputusan Majlis Presiden MCA (PC) memecat Dr chua Soi Lek.
Selepas bermesyuarat hampir tujuh jam baru-baru ini, CC sebaliknya menggantung keahlian Chua selama empat tahun berkuasa serta-merta.
Keputusan ini diambil meskipun Chua tidak membuat rayuan.
Pemerhati politik berpendapat keputusan ini dibuat bagi mengekang perpecahan dalaman parti ekoran pemecatan Chua 26 Ogos lalu.
"Ini hanyalah satu taktik untuk memperlahankan kemarahan penyokong-penyokong Chua Soi Lek," kata Ahli Parlimen Batu Tian Chua.
Bagi Pakatan Rakyat, mengamati perseteruan antara kem Ong Tee Keat dan kem Chua Soi Lek menunjukkan pertelagahan jawatan dan kepentingan politik.
"Apa yang kita lihat kebelakangan ini, pertelagahan dalaman MCA semakin tidak relevan untuk rakyat. Pergaduhan mereka berkisar sekitar jawatan dan kepentingan politik, bukannya isu penting dan saya yakin ini tidak menarik minat rakyat jelata," tegas Tian.
Presiden Ong Tee Keat memecat ahli politik 62 tahun itu setelah PC mendapati rakaman video perselingkuhan beliau dan seorang wanita mencemar imej parti perkauman itu.
Pemecatan ini mengundang pemberontakan di dalam MCA, mendorong akar umbi mengadakan mesyuarat agung tergempar 10 Oktober nanti untuk menyingkir Ong. - mks._harakahdaily
Muslimat yang hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri
Sesak,warga desa yang hadir untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Madrasah Hj Husin.Markas kebanggaan Parti Islam Semalaysia Cawangan Beris Pak Abu
Muslimat tidak ketinggalan hadir untuk sama sama memeriahkan Aidilfitri ini
Warga Desa Permai Beris Pak Abu,Desa Bersejarah Warga Bertuah
Khutbah disampaikan oleh Ustaz Abd Rahim Rukaini Abd Aziz
Bermaaf maafan,salah dan silap harap di ampunkan
Tradisi di Aidilfitri,tangan di hulur kemaafan di pinta
Jamuan ringkas di pagi Syawal
Saat betemu dan bermesra warga desa Beris Pak Abu
Saksikan kemeriahan Aidilfitri yang di sambut serba sederhana di desa kami.Solat Aidilfitri pagi ini begitu meriah dengan kehadiran warga desa.Di tambah pula dengan kahadiran anak anak Beris Pak Abu di perantauan yang pulang beraya.Di sinilah kami bertemu mata bermesra demi mengeratkan tali persaudaraan antara kami.Selepas solat kami bermaaf maafan manalah tahu sepanjang melayari perjalanan hidup ada salah dan silap antara kami tanpa di sedari.Jamuan ringkas di sediakan slepas selesai solat sunat Aidilfitri.
KUALA LUMPUR: Selepas genap sebulan berpuasa, umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka dengan semangat baru 1Malaysia.
Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan sembahyang Aidilfitri pada pagi Syawal.
Amalan mengadakan rumah terbuka, yang juga lumrah pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, membawa keistimewaan kali ini dengan menyahut dan menyemarakkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Mengiringi baginda ialah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) MU dari 10 pagi hingga 3 petang.
Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud menunaikan solat sunat hari raya bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid AlMuktafi Billah Shah.
Mengiringi baginda Menteri Besar Datuk Ahmad Said, setiausaha kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong dan kerabat-kerabat diraja.
Baginda kemudian menziarahi makam diraja di perkarangan masjid itu.
Sementara itu, Ahmad mengadakan rumah terbuka di kediaman rasminya di Sri Iman, di Batu Burok.
Di KELANTAN, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menunaikan solat Aidilfitri bersama lebih 3,000 umat Islam di Masjid Muhammadi di sini.
Baginda mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra tidak dapat bersama-sama rakyat menyambut Aidilfitri kali ini berikutan baginda masih menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lalu.
Tengku Muhammad Faris Petra kemudiannya berkenan menghadiri majlis penghadapan di Istana Balai Besar di sini bagi membolehkan rakyat jelata bertemu baginda.
Sementara itu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat Aidilfitri di Masjid Pulau Melaka di sini yang turut disertai lebih 1,000 jemaah.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin pula akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, masing-masing di Darul Falah, Jeli dan Perupok di Bachok.
Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.
Turut menunaikan solat bersama baginda ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman serta kerabat diraja yang lain.
Selepas selesai menunaikan solat, orang ramai turut mengambil peluang untuk bersalaman dengan Sultan Pahang dan kerabat diraja.
Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Pahang turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan kesihatan oleh 34 petugas terhadap semua jemaah yang hadir di masjid berkenaan.
Sementara itu, atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang, Istana Sultan Abu Bakar di Pekan, Istana Abdul Aziz di sini dan kerajaan negeri Pahang tidak mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri ini bagi mencegah penularan wabak berkenaan.
Di ARAU, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid berkenan menyertai ribuan rakyat jelata menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selepas solat, Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis yang diiringi kerabat diraja Perlis menziarahi Makam Diraja Perlis yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari masjid itu.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan anggota Exco kerajaan negeri.
Baginda berdua kemudiannya berkenan menerima mengadap para pembesar negeri dan rakyat jelata pada majlis Istana Terbuka di perkarangan Istana Arau.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob bersama kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri AlAzim bersama-sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan pemimpin negeri yang lain.
Selesai solat, Mohd Khalil dan Mohd Ali mengadakan rumah terbuka secara bersama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, bermula pukul 10.30 pagi hingga 3 petang.
Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Ubudiah.
Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut sama menunaikan solat di masjid tersebut.
Para jemaah kemudian mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan baginda selepas selesai menunaikan solat.
Sementara itu, Dr Zambry akan menerima para tetamu sempena hari terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Ipoh mulai 2 petang sehingga 5 petang ini.
Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menunaikan solat sunat AidilFitri di Masjid Zahir di sini bersama lebih 1,000 jemaah.
Selesai solat, baginda meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah.
Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 3,000 umat Islam di Masjid Jamek Negeri.
Selepas bersembahyang, Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah mengadakan Rumah Terbuka di Astana Negeri, Petra Jaya, di sini.
Sementara rumah terbuka kerajaan negeri diadakan di Stadium Perpaduan dengan Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Awang Asfia Awang Nasar menerima kunjungan para tetamu.
Abang Johari mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang masih berkabung berikutan isterinya Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada April lalu akibat kanser. BERNAMA
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)
Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.
Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.
Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.
Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.
Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.
Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.
Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.
Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.
Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.
Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.
Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.
Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.
Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.
Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.
Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.
Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.
Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.
Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.
Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.
Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.
Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.
Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.
Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.
Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.
Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam._