Rabu, 5 Mac 2014

Husam menang saman terhadap blogger Umno

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan yang dibuat oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang sebelum ini telah menolak tuntutan beliau ke atas seorang blogger bernama Faisal Rohban yang mengendalikan blog "Ruang Bicara Faisal" (RBF).

Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed dan turut dianggotai Datuk Ariff Md Yusof dan Datuk Dr.Hamid Sultan Abu Backer telah memutuskan bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh plaintif sepanjang perbicaraan adalah mencukupi untuk mahkamah membuat keputusan di atas imbangan kebarangkalian bahawa defendan merupakan pemilik blog "Ruang Bicara Faisal" tersebut.

Mahkamah seterusnya membatalkan kesemua perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini termasuk perintah mengenai kos. Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada pihak perayu/plaintif.Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar jumlah ganti rugi ditaksirkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu.

Pada perbicaraan kali ini, Husam diwakili oleh peguam Gurbachan Singh, Rueben Netto, Hisham Fauzi dan Ahmad Mustaqim. Manakala pihak defendan diwakili oleh Adzly Ab Manas dan Sallehuddin Bajuri.Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.Ekoran itu plaintif melalui peguam mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.Hrkh

Suspek Rosakkan Al-Quran Di Besut Berjaya Ditahan


KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kejadian membaling Al-Quran di sebuah masjid di Besut.

Lelaki yang dipercayai pesakit mental itu didakwa bertanggungjawab membaling kitab suci umat Islam ke dalam tandas dalam kejadian pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Besut pada pukul 5 petang Selasa berdasarkan imej yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Dengan penangkapan lelaki terbabit kita menganggap kes ini selesai dan kami berharap ia juga akan menghentikan spekulasi tidak berasas di media sosial oleh kumpulan-kumpulan yang ingin menghasut kebencian," kata Jamshah pada sidang akhbar.Mstar

Wanita Terlibat Dengan Fitnah Melayu Murtad Di Gereja Tampil Buat Pengakuan

 Zaiton barisan depan dua dari kanan

Gambar yang disifatkan sebagai bukti kononnya orang Melayu dibawa ke gereja untuk dimurtadkan adalah gambar palsu, menurut salah seorang yang dilihat dalam gambar yang tersebar di media sosial, Zaiton Ismail.

Menurut aktivis pertubuhan Islam itu, gambar tersebut menunjukkan dewan besar Institut Pemikiran Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Zaiton, yang giat dalam Pertubuhan Ikram Malaysia, berkata beliau telah difitnah oleh gambar tersebut.Beliau melahirkan rasa terkejut dan amat sedih kerana dikaitkan dengan tuduhan murtad.

Zaiton dilihat dalam gambar tersebut bersama beberapa orang lain, termasuk yang bertudung, duduk di bangku kayu.

Menurut Zaiton, mereka menghadiri sebuah majlis anjuran Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari, 2012.

Ekoran itu, Ikram mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menyebarkan berita palsu mengenai gambar tersebut.

"Apapun niat blogger tersebut, ternyata perbuatannnya itu telah mewujudkan kesan negatif kepada individu terbabit dan masyarakat secara umumnya," kata Ketua Wanita Ikram Malaysia, Maznah Daud.

Beliau berkata kelakuan seperti itu menggugat persefahman dan keharmonian antara rakyat yang lama terjalin di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kerana ia bukan saja menimbulkan fitnah peribadi, tetapi membabitkan hasutan yang boleh memberi kesan kepada hubungan antara agama di negara ini.