Khamis, 29 September 2011

" Saya Tak Gentar Amaran PERKASA " - Mat Sabu

Oleh Abdul Rahim Sabri

Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak gentar dengan amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Sembilan yang mahu mengadakan protes sekiranya beliau berceramah lagi di negeri itu.

Sebaliknya, tokoh yang dikenali sebagai 'ayam sabung PAS' itu, akan terus berceramah termasuk di negeri itu sekiranya menerima jemputan.

"Saya tidak rasa apa-apa (dengan amaran itu). Sebenarnya mereka yang gelisah. Saya telah didakwa, (jadi) tunggu mahkamah (buat keputusan).

"Saya akan terus berceramah kalau dapat jemputan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Menurutnya, beliau akan menghadiri satu lagi ceramah di negeri tersebut, yang dijadual pada 6 Oktober ini di DUN Paroi.

Mohamad mengulas kenyataan Yang Dipertua PERKASA negeri itu, Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah yang dilapor akan mengetuai protes terhadap Mohamad jika pemimpin PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Amaran itu dikeluarkan selepas kekecohan tercetus di ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban Sabtu lalu sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli PERKASA mara ke pentas ceramah.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan.

Mengulas mengenai keselamatan yang pada ceramahnya akan datang, Mohamad menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk berbuat demkian termasuk ceramah yang dibuat dalam kawasan persendirian yang tidak memerlukan permit.

Sementara itu, amaran PERKASA tersebut mengundang reaksi balas, khususnya dari pemimpin Pemuda PAS yang mengecam dan menyelar "kenyataan amaran dan ancaman" pemimpin PERKASA itu.

Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggapnya kenyataan kurang cerdik dan dangkal yang "hanya dilakukan oleh puak-puak yang tidak mempunyai keberanian untuk berhujah secara ilmiah dan beradab."

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata PERKASA sepatutnya mengadakan protes terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwanya "memutarbelitkan dan menyalahtafsirkan" kandungan sebenar ucapan Mohamad.

Sehubungan itu, beliau meminta polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kenyataan PERKASA yang didakwanya berbaur ancaman dan hasutan untuk mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad.

"Kenyataan PERKASA ini juga menunjukkan mereka ini sebenarnya kumpulan 'samseng' yang tidak menghormati undang-undang, tetapi sebaliknya berselindung di atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Mohd Sany juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sebarang langkah yang membelakangkan undang-undang untuk memudaratkan pimpinan PAS.

Sementara itu, ketua penerangan Pemuda PAS pusat, Riduan Mohd Nor juga kesal dengan PERKASA yang didakwanya "sengaja membiarkan ahli dan penyokongnya bertindak liar bagi menghangatkan suasana supaya penyokong PAS bertindak balas" sewaktu kekecohan itu berlaku.

"PAS telah lama bergelumang dalam politik, dan tahu asam garam serta sepak terajang politik tanahair. Ahli-ahli PERKASA tidak perlu mencetuskan provokasi seumpama itu.

"PAS telah lama mentarbiyah ahlinya supaya bersabar dan bertenang dalam situasi seperti ini sebagaimana PAS juga mentarbiyah ahlinya agar berjihad dan tidak gentar kepada sesiapa juga," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor.

Dengan nada menyindir, Riduan menyifatkan tindakan PERKASA mengganggu dan didakwa memukul penyokong PAS sebagai "tindakan penakut bagi mereka yang tidak mahu mencari kebenaran".SO

Klip video skandal DUN Kota Anggerik: PKR buat laporan polis


SHAH ALAM 29 SEPT : PKR Shah Alam mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan blogger Pro-Umno Papa Gomo yang memaparkan klip video seks bagi memburukkan imej Pejabat Khidmat DUN Kota Anggerik.

Setiausaha Akhbar Adun Kota Anggerik, Mohd Ridzuan Alias menyifatkan usaha tersebut sebagai satu fitnah bagi memburukan imej Adun Kota Anggerik Yaacob Sapari.

"Hari ini kami menafikan bahawa klip video tersebut sebagai suatu yang palsu dan niatnya hanya untuk memfitnah, ini kerana dekorasi dan susun atur pejabat sangat berbeza dengan keadaan pejabat (DUN Kota Anggerik) sebenar, saya juga menafikan individu dalam klip tersebut adalah kakitangan kami termasuk pelanggan itu, ini hanya satu fitnah yang cuba memberi persepsi buruk kepada pejabat DUN Kota Anggerik."

Beliau berkata demikian ketika ditemui TvSelangor sejurus selepas membuat empat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, hari ini.

Dalam serangan terbarunya ke atas pemimipin Pakatan Rakyat, Papa Gomo memaparkan kilp seorang wanita bertudung dengan seorang lelaki yang kelihatan melakukan perbuatan sumbang di dalam sebuah pejabat.

Papa Gomo mendakwa klip tersebut dirakam di pejabat DUN Kota Anggerik yang mana ADUNnya ialah Yaakob Sapari. Tajuknya adalah ‘Video Klip Skandal Dalam Pejabat Adun Kota Anggerik Shah Alam’.

"kita berharap perkara ini dapat diperbetulkan dan blogger tersebut dapat menarik kembali pendedahan klip video tersebut dan memohon maaf secara terbuka."

Pegawai Khas ADUN Kota Anggerik, Shamsul Firdaus berkata hanya beliau sahaja yang berkihdmat dan berada pada hari tersebut yang dikatakan kejadian sumbang itu berlaku.

"Pada waktu yang dinyatakan hanya saya seorang sahaja di pejabat kerana seorang lagi kakitangan iaitu Pembantu Tadbir Operasi, Cik Norlela Idris tidak berada di pejabat kerana bercuti sakit pada hari 19 september, ternyata ia adalah suatu yang tidak benar dan usaha memburukan imej Yaacob Sapari. "TVS

Hudud : Keputusan Mesyuarat Pakatan Rakyat,Respon Tok Guru Nik Aziz

Gambar fail

Kenyataan Tok Guru Nik Aziz :

Bismillah, saya dimaklumkan keputusan pimpinan Pakatan Rakyat semalam yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.


Alhamdulillah, saya menerima baik dan bersyukur sangat2 kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh non muslim.

Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh UMNO yang masih menghalang hasrat kami.

Dipetik dari Facebook Tok Guru Nik Aziz

Video : Sidang Media Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat



KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.

Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.Hrkh