PRU 13 : Henti runding kerusi, tumpu kerja pilihan raya

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah mengeluarkan arahan kepada pimpinan parti masing- masing supaya rundingan kerusi di Johor tidak dibincang secara terbuka.

Justeru, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution ( gambar ) , menasihati kesemua pimpinan KEADILAN, Pas dan DAP Johor dan lain-lain negeri agar berhenti berbuat demikian.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, kesemua ahli dan pimpinan Pakatan Rakyat sebaliknya perlu memberi tumpuan terhadap persediaan jentera pilihan raya masing-masing bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

“Saya menasihatkan kesemua pimpinan KEADILAN, PAS dan DAP Johor, dan lain-lain negeri untuk mematuhi ketetapan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat serta menghormati dan menerima konsep kerjasama Pakatan Rakyat,” katanya pada satu kenyataan media.

“Ini bagi mencapai satu matlamat yang khusus iaitu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-13 ini, yang kian terserlah kegagalan mereka untuk membela nasib rakyat serta cara dan keputusan pentadbiran mereka yang kini terus dipersoalkan ketelusannya,” ujarnya.Keadilandaily

Muhyiddin Sahkan Takkan Berdebat Dengan Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan berdebat dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai isu pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Timbalan Perdana Menteri (gambar) memberitahu bahawa individu yang layak berdebat dengan Mohamad Sabu adalah pakar-pakar sejarah dan bukannya beliau.

Ditanya mengenai tindakan saman yang akan dibuat oleh Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sekiranya beliau enggan menyahut cabarannya, Muhyiddin berkata: “Tak apalah, saya tunggulah dia saman saya.”

“Mat Sabu sebagai seorang pemimpin politik seharusnya menarik balik kenyataannya bahawa pengganas komunis adalah hero sebenar dalam tragedi Bukit Kepong dan meminta maaf secara terbuka,” katanya dipetik Bernama Online.

Muhyiddin berkata Mohamad tidak seharusnya memutarbelitkan fakta sejarah demi mengejar cita-cita politiknya kerana sejarah tidak ada kena mengena dengan politik dan apa yang dibangkitkannya boleh memporak-perandakan negara.

Minggu lalu Mohamad berkata beliau lebih bersedia untuk berdebat dengan Muhyiddin kerana timbalan presiden itu memintanya bertaubat.

Pendirian itu turut disokong oleh pemimpin-pemimpin PAS atas tarafnya selaku timbalan presiden parti.TMI