Ahad, 11 September 2011
Hina Islam: Jingga 13 mohon mengadap Agong
Jurucakapnya, Fariz Musa( gambar ) yang dihubungi mengesahkan NGO terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.
"Inilah jalan yang perlu kita ambil dan bukan niat kita untuk memanjangkan permasalah tersebut kepada Agong tetapi bila melihat sikap Jamil Khir dan juga JAKIM yang tidak mahu bertindak maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan.
"Sehingga sekarang kita belum mendapat apa-apa jawapan dari pihak Jakim mahupun kementerian, jadi kita berpendapat mereka memang tidak mahu bertindak," jelas Fariz
Tambah Fariz lagi pertemuan yang akan diadakan pada 12 September jam 10 pagi itu akan turut disertai pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat.
"Kami bersama semua pemimpin akan mengadakan satu pertemua dengan Yang di-Pertuan Agong di atas penghinaan kesucian agama Islam telah dihina oleh individu yang tak bertamadun di halaman sosial.
"Jingga 13 akan menyerah memorandum tentang gagalnya Menteri menyelesaikan masalah ini walaupun laporan yang telah di buat," sambungnya lagi.
Beliau juga mengharapkan kerjasama dari semua pihak agar dapat bersama dengan Jingga 13 pada pertemuan tersebut supaya kesucian Agama Islam terus terpelihara.
"Bagi memelihara kesucian Islam dari terus dihina serta mengharapkan agar Jamil Khir mahupun Jakim tidak memandang mudah tentang permasalah ini, saya menyeru mana pihak diluar turut serta bersama dalam pertemuan itu esok," tambah beliau.
Pada 7 September yang lepas, Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet, namun ia gagal diserahkan kerana Jakim memberi alasan bahawa isu menghina Islam itu bukan bidang kuasa Jakim.Hrkh
Video : Ceramah Mat Sabu Di Taman Melewar
GOMBAK, 11 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pegangan dan perjuangannya adalah Islam sejak kecil lagi dan bukan komunis seperti dilabel Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia.
Berucap dalam ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi, Muhamad berkata pegangannya dan perjuangannya terhadap Islam tidak pernah berubah sejak dulu lagi.
"Saya memilih perjuangan atas dasar Islam. Masa remaja dulu saya pilih Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kemudian tahun 1978 saya sertai perjuangan parti Islam (PAS), sokong perjuangan ulama.
"Sepanjang saya berpidato idola saya adalah Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna, Jamaludin Al-Afghani, dan ulama-ulama lain.
"Tiba-tiba saya dituduh komunis, tak sedih ke tuan-tuan? Jahat sungguh," katanya merujuk kepada serangan Umno dan media terhadapnya ekoran pandangannya dalam isu Rumah Pasung Bukit Kepong.
Kira-kira seribu hadirin hadir pada ceramah malam tadi.
Mengulas lanjut Mohamad berkata tuduhan sebegitu bukan baru kerana berlaku sejak zaman penjajah lagi.
Umno warisi penjajah
Di zaman British ujarnya, golongan ulama dan golongan kiri dianggap penentang dan ditangkap serta dibunuh.
"Saya sangat cintakan tanah air Malaysia, tempat tumpah darah kita.
"(Tuduhan) Ini sama seperti dituduh terhadap pejuang-pejuang sebelum ini oleh penjajah dan sekarang Umno mewarisinya," tegasnya lagi.
Mohamad dalam satu ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pad 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang menyerang polis British di Rumah Pasung Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya polis tersebut.
Seminggu selepas itu, Utusan Malaysia dalam laporan 27 Ogos melaporkan kenyataan Mohamad sebagai berkata pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.
Mohamad yang tidak pernah mengaitkan komunis dalam isu itu kemudiannya menafikan perkara itu dan menganggap laporan akhbar Umno itu sebagai fitnah terhadapnya dan PAS.
Ekoran laporan itu juga, beliau telah dibidas dan kecam hebat oleh pelbagai pihak khususnya, Umno dan BN sehingga ada yang menuduhnya sebagai komunis.
Mengulas perkara itu, Mohamad malam tadi berkata semalam genap 15 hari beliau diserang.
"Saya berucap 21 haribulan, Utusan siar 27 haribulan seminggu selepas itu.
"Itu bukan berita, itu dah jadi sejarah. Kalau berita, berlaku hari ini keluarnya esok," sindirnya terhadap tindakan Utusan itu.
Khairy budak baik
Sementara itu, menjelaskan kenapa beliau menolak debat dengan Khairy Jamaluddin, beliau berkata bukan Ketua Pemuda Umno itu yang banyak menghentamnya tetapi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ekoran itu katanya, beliau hanya mahu berdebat dengan Muhyiddin yang dilihat lantang mengritik beliau sehingga menyuruh beliau bertaubat.
"Bagi saya Khairy budak baik dan berpotensi jadi pemimpin PAS akan datang. Buat apa nak berdebat dengan adinda Khairy.
"Muhyiddin yang banyak kata pada saya, jadi biarlah saya berdebat dengan Sohibussamahah Muhyidin Yassin," sindirnya.
Turut menyampaikan ceramah malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Hrkh