Isnin, 5 September 2011

Transkrip Penuh Ucapan Mat Sabu Tentang Komunis Yang Mencetuskan Kontroversi

Transkrip ucapan Mohamad Sabu di Padang Menora , 21 Ogos 2011 yang dijadikan isu oleh media dan pemimpin Umno...

Assalamualaikum.
Alhamdulillahirobbil Alamin, Wassalatuwassalamu Ala Ambiya’i Walmursalin, Wa’ala Alihi Wasohbihi Ajma’in.
Yang Mulia Saudara Pengacara Majlis, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP yang baru meninggalkan majlis kita, Alfadhil Dato’ Dr Mahfoz Muhammad, Naib Ketua Dewan Ulama PAS, juga Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Khalid Man Timbalan Pesurujaya, Seluruh Ahli-ahli Jawatankuasa Peringkat Perhubungan Negeri, Seluruh Jawatankuasa PAS Kawasan Tasik Gelugor, Seluruh Jawatankuasa Pemuda , Muslimat dan Seluruh Alim Ulama , Rakan-rakan daripada Parti Keadilan, Para hadirin hadirat, Muslimin Muslimat yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat bertemu pada malam ini, Insya ALLAH lepas raya ni boleh berdiri eloklah kot, aaaa….dah seminggu saya buang kerusi roda, sekarang dah boleh pakai tongkat… aa..jadi lepas raya ni jadi Pak Maunlah , boleh buang tongkat…
Itu adalah dalam perjuangan ini, nasib saya macam tu nak buat macam mana, aaa….kalau kita nak ikut pasai apa tak kena semua orang….kita, redha dengan apa yang ALLAH uji kita dalam perjuangan ini… saya sendiri “ISA” kena 2 kali….bicara kes mahkamah ni…setakat la 5 kes…..dah menang dah … 4 , tinggal satu lagi, hak nak mai kedepan hak kita nak saman tu berlambak lagi , jadi saya hadapi nasib macam tu …dalam perjuangan ini….nak buat camna…kalau ditahan di balai polis, lokap tu ….selalu lah, Cuma kita rasa apa yang dilalui itu adalah perkara yang kadangkalanya terpaksa, untuk kita membuat pembaharuan …politik tentulah melalui perjuangan , bukan melalui hamparan permaidani merah…
Hadirin yang dihormati sekalian, sebelum saya pergi kepada perkara-perkara yang saya nak sampaikan saya lancarkan dulu kutipan derma pada malam ini, untuk tuan-tuan membantu perjuangan kita, para petugas diminta untuk bertemu dengan mereka yang hadir pada malam ini.
Alhamdulillah bulan Ramadhan, ramai begini hadir dalam majlis penerangan kita, petugas bertemu dengan setiap mereka yang hadir….ini malam sepuluh terakhir, sebarang sedekah jariah kita untuk perjuangan mendaulatkan Islam , menegakkan keadilan, menentang kemungkaran akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH Subhanallahu Taala. Para petugas bertemu dengan setiap mereka yang hadir, saya akan cuba terus memberi ucapan.

Isu kemalangan Bersih

Hadirin hadirat yang dihormati sekalian, saya ditempat lain saya tak terangkan hal kemalangan yang saya lalui , tapi ini kampung saya….Jarak, jadi yang ada ni kawan-kawan, adik-beradik, saya terangkanlah sikit …hadirin sekalian.
Dalam televisyen itu….Pengarah Keselamatan Dalam negeri berbohong, dia tunjuk dengan tourch light yang tu….tengok….kereta pajero tak langgar pun Mohamad Sabu, …..saya buat repot polis 14 julai, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri buat kenyataan 22 , dia tak baca repot polis saya….saya dilanggar oleh kereta polis jenis waja….bukan pajero, kemudian dia kata saya jatuh langgar divider….lagi bohong….kereta polis yang belah kepala lutut saya….kemudian dia kata saya berlakon duk atas kerusi roda, dia bukan doktor….lagi dia cakap lagi dia bohong…..lagi dia cakap lagi dia bohong….sepatah tak mai minta maaf sampai hari ini…..dan dia berbohong dalam televisyen…seluruh rakyat Malaysia dengar. Saya jawab dalam majlis ceramah, dalam surat khabar Harakah, surat khabar Keadilan, tapi hadirin sekalian oleh kerana mereka berbohong terlalu banyak, sekarang ni….cakap polis pun orang tak percaya…betui ke dak? ….tambah cakap Najib lagi bohong…aaa tu lah….apa….siakap senohong gelama ikan duri, selalu cakap bohong, lama-lama jadi menteri….
Hadirin sekalian, saya sebut bahawa semasa saya dibawa ke hospital….General Hospital , berada dalam lokap di Jinjang, nak ambik wudhu’ , nak pegi bilik air…nak buat statement polis….nak cop jari….semua dipapah oleh polis…..2 orang kiri-kanan, sebab tak boleh jalan…..dan polis yang papah saya tu….saya ucap terima kasihlah….mereka khidmat sungguh, saya nak bergerak ja dia tau saya tak boleh jalan, dia mai angkat…aaa sampai dah dibebaskan 10 malam….saya diletakkan dihadapan lokap…..orang lain semua berjalan kaki keluar, saya tak keluar …..kereta masuk ambik….itu pada hari sabtu, hari isnin saya pergi ke doktor pakar….doktor pakar …aaa..KPJ Hospital dekat rumah di Shah Alam….dia check , didapati ligament hak orang panggil … urat belakang lutut tu terkoyak…..kena buat pembedahan. Dia nak buat pembedahan hari tu, dia tak boleh buat sebab darah saya cayak….duk makan desprin (sebenarnya Aspirin)….pasal ada hal jantung…..dia kata kena berhenti makan desprin (sebenarnya Aspirin)….4 hari , mai sini , kita nak buat pembedahan….hari Jumaat 15 hari bulan…masuk bilik pembedahan…..pukul 2 petang….pukul 4 keluar dari bilik pembedahan….iaitu dia bubuh satu skru….2 inci setengah….ke dalam lutut ni…jadi saya suruh doktor bubuh skru sebab saya nak berlakon….hadirin sekelian…pelak….sampai rupa ni….pemain sampai macam tu….jadi hadirin sekelian lepas bubuh skru tu….3 hari lepas tu baru boleh lah menapak…dan Alhamdulillah sekarang dah boleh berjalan dah…..Cuma nak naik …..naik tangga turun tangga tu kenalah bantuan tongkat sikit… Alhamdulillah, lepas raya ni kembali pulih lah kot….boleh berjalan dan boleh bekerja lagi dalam ….dalam parti , dalam perjuangan ini….

PRU 13 : Anak Kedua Anwar Tanding Di Nibong Tebal ?

SHAH ALAM 5 SEPTEMBER : Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mungkin membuat penampilan pertama dalam politik apabila dikatakan bakal bertanding di parlimen Nibong Tebal dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman mengesahkan cabang PKR Nibong Tebal menamakan Nuha sebagai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan campuran separa bandar itu.

"Namanya muncul sebulan lalu. Ia akan disahkan sama ada beliau calon akhir. Semuanya akan diumumkan sebelum pilihan raya umum," Mansor dipetik sebagai berkata oleh China Press.

Mansor turut mendedahkan, selain cadangan daripada cabang, pemimpin lain di peringkat nasional turut mengesyorkan PKR mempertaruhkan Nuha.

Anwar bagaimanapun menulis di Twitter pagi ini bahawa Nuha tidak berminat menggalas tanggungjawab itu.TVS

PRU 13 : Menghisab Nasib Ibrahim Ali di Pasir Mas


O
leh Mohd Sayuti Omar

APABILA berbicara soal politik Kelantan orang tidak akan lepas dari memperkatakan ahli politik bernama Inchek Ibrahim Ali atau di kampungnya orang ‘kelo’ – panggil Mustapa. Tanpa menyebut nama Ibrahim Ali politik Kelantan tidak akan lengkap. Kehadiran beliau dalam kelir politik Kelantan samalah dengan Pak Dogol, Wak Long atau Wak Yah dalam wayang kulit. Watak-watak ini dilihat remeh dan melucukan dalam budaya klasik itu tetapi mempunyai signifiken tersendiri.
Betapa pun sedap dan menarik babak wayang kulit, atau hebatnya Seri Rama bertarung dengan Bota atau Hunuman Kerta Putih, tetapi ia tidak lengkap kalau tidak ada campur tangan Pak Dogol, Wak Long atau Wak Yah. Mereka adalah badut keramat dalam wayang kulit. Demikian juga dengan Ibrahim Ali dalam kelir politik. Ibrahim adalah badut keramat dalam politik.
Suka atau tidak suka dia menghidupkan senario politik Kelantan. Menjadi bahan sejarah dan monumen politik yang senantiasa dikaji. Wataknya bervariasi dalam hal ini. Warnanya melebihi warna pelangi. Berbelang-belang macam rimau dan boleh menyalinkan warna badan macam chemeleon – pak ka. Ada kalanya dia menjadi watak penyelamat dan ada kalanya dia menjadi watak pengacau dan samseng. Kedua keadaan itu boleh dipengaruhi olehnya. Di sinilah kegeligaan Ibrahim yang dikaitkan sebagai seorang ahli politik yang tidak mementingkan moral dan maruah dan 'temooh' - melampau mementingkan kemenangan dan glamour.
Bila sebut Ibrahim jelumu atau kubunya ialah di Pasir Mas. Di sinilah dia bermula dan di sinilah dia mencipta sejarah dan di sinilah dia merasai kepedihan dalam sepak terajang politik. Pasir Mas menjadi kloni membesar, mematang dan mencatat kejayaan buatnya. Pasir Mas senonim dengan diri Ibrahim Ali. Mungkin juga di bumi limbahan logam emas inilah bakal menjadi liang lahad kepada dunia politiknya.
Ibrahim telah meletakkan Pasir Mas sebagai buminya. Dia telah mencangkan begitu dan mempedaya orang Kuala Lumpur. Dia terperasaan dirinya bersinar macam emas. Kerana itu banyak orang menduga Pasir Mas adalah kubu kuatnya. Kawasan survial politiknya. Benarkah begitu?
Bagi mereka yang hanya mendengar dakwaan Ibrahim dan melihat kejayaannya akan meraskaan bahawa Pasir Mas sebagai kubunya. Tetapi kalau didekati dan membuat analisa keputusan serta melihat kepada pengaruh sebenarnya, mungkin tanggapan itu boleh dipersoalkan. Pasir Mas bukan negeri mutlak Ibarahim. Dan diri Ibrahim sendiri tidak secerah kilau emas.
Hakikat ini akan terjawab apabila dilihat kepada keputusan-keputusan pilihan raya (kerusi Parlimen) di Pasir Mas yang melibatkan Ibrahim Ali.
Ibrahim telah bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas sebanyak enam kali dan sekali di kerusi Dun Pengkalan Pasir dalam pilihan raya kecil. Daripada tujuh pertandingan itu Ibrahim menang tiga kali dan kalah empat kali. Secara aggragete kedudukan Ibrahim 3 – 4.
Kali pertama beliau menang ialah pada tahun 1986 untuk kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon Pas Zakaria Ismail dengan kelebihan undi sebanyak 3,376. Ibrahim memperolehi 15,279 undi manakala Zakaria mendapat 11,903 undi. Untuk adil mungkin tidak perlu disebut saat itu Pas Kelantan dalam keadaan lemah yang memudahkan Ibrahim menang.

Video : Persoalannya Tentang Sejarah Kemerdekaan Bukan Iktiraf Komunis





KUALA TERENGGANU - Tindakan Umno memberikan tafsiran bahawa kemerdekaan itu hanya diperjuangkan kepimpinan Umno sahaja dan memadamkan tokoh-tokoh pejuang lain bakal membawa padah.
Erti kemerdekaan sebenarnya sudah hilang apabila nama-nama 'pejuang agung' seperti Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ahmad Bostamam tidak diketahui sejarahnya oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi perlu dilakukan pengolahan semula sejarah dalam negara kita supaya rakyat memahami erti kemerdekaan.

"Dipadamkan (sejarah) kepimpinan yang menentang penjajah British seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Bostamam dan ramai lagi pimpinan dan negarawan (yang berjuang),

"yang perlu diketahui oleh rakyat dan generasi muda dan generasi akan datang (tentang) pengorbanan mereka menghalau penjajah British yang menjajah negara kita,"katanya ketika di temui di majlis Rumah terbuka DUN Batu Burok, pada Sabtu, 3 September

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok berkata, ia adalah perlu bagi rakyat memahami erti kemerdekaan dan siapa sebenarnya yang memperjuangkan kemerdekaan di negara kita.

Beliau berharap semua pihak merasionalkan perkembangan terbaru tentang sejarah negara ini, dengan tidak menafikan pejuang-pejuang kemrdekaan yang telah sedia dikenali dari sudut yang telah diperjuangkan oleh mereka.

Namun begitu, menurutnya, perjuangan tokoh-tokoh lain turut didedahkan kepada pengetahuan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu 'Mat Indera' (Gambar) yang dianggap sebagai wira rakyat, kerana berjuang menentang penjajah British secara gerila, namun namanya tidak disebut kerana bergabung dengan Parti Komunis.

Sehubungan itu, Dr Syed Azman menegaskan, isu sebenarnya adalah persoalan tentang sejarah kemrdekaan dan tidak timbul isu mengiktiraf komunis.

"Tidak timbu isu mengiktiraf komunis, sebagaiaman yang saya sebutkan tadi kerana ianya adalah persolan kemerdekaan di negara kita."jelasnya.

Beliau berkata, isu ini perlu dilihat secara keseluruhan, bukan dari sudut Mat Indera sahaja atau tentang peristiwa Bukit Kepong sahaja.

Beliau menggesa supaya pendedahan sejarah dibuat secara jujur kerana menurutnya sejarah kemerdekaan negara ini tidak mungkin dapat dipadamkan oleh mana-mana pihak.BO