Khamis, 4 Ogos 2011

Menarik !!! Gambar-Gambar Terbaik Yang Pernah Dirakamkan Diseluruh Dunia.

Benarlah kata orang, sekeping gambar yang kaku dan bisu mampu menceritakan 1001 kisah. Sekeping gambar yang kaku dan bisu juga mampu menimbulkan pelbagai perasaan pada yang melihatnya. Ada orang boleh jadi gembira, sedih, ketawa, kagum, simpati, marah, benci, dan sebagainya dengan hanya melihat sekeping gambar.


"Afghan Girl" - 1984
Info: Gambar ini dirakamkan oleh jurugambar National Geographic. Gadis Afghanistan didalam gambar ini bernama Sharbat Gula. Dianggarkan berusia 12 tahun dan ketika itu sedang ditempatkan disebuah kem pelarian.
Gambar ini menjadi terkenal kerana bukan mudah untuk mendapat peluang merakam gambar wanita Afghanistan pada masa itu. Identiti Sharbat Gula pula hanya diketahui pada tahun 1992.
Jurugambar: Steve McCurry.


"Stricken Child Crowling Towards a Food Camp" - 1994
Info: Gambar kanak-kanak ini diambil di Sudan ketika negara tersebut dilanda bencana kebuluran. Ketika itu kanak-kanak berkenaan sedang merangkak menuju ke sebuah pusat bantuan makanan PBB. Seekor burung nasar berdiri berhampiran kanak-kanak berkenaan...menunggunya mati sebelum dimakan.
Gambar ini memberi kejutan diseluruh dunia. Tiada siapa yang tahu nasib kanak-kanak berkenaan selepas itu kerana jurugambar yang merakamkannya bertindak meninggalkan tempat berkenaan sejurus selepas mengambil gambar tersebut.
Tahukah anda, jurugambar yang merakamkan gambar ini membunuh diri 3 bulan selepas itu akibat tertekan?
Gambar ini mendapat anugerah Pulitzer.
Jurugambar: Kevin Carter


"Portrait of Winston Churchill" - 1941
Info: Gambar ini diambil ketika Winston Churchill berkunjung ke Ottawa, Kanada. Gambar ini membuat jurugambar yang merakamkannya menjadi popular dan terkenal dan dianggap sebagai jurugambar potret terbaik pada masa itu.
Harga untuk mendapatkan khidmat jurugambar berkenaan turut naik dengan mendadak.
Jurugambar: Yousuf Karsh.

Najib, Rosmah elak jadi saksi: Peguam sedia tindakan susulan

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Anwar sudah bersedia dengan langkah seterusnya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor enggan memberi keterangan di mahkamah walaupun disapina Isnin depan.

Demikian dinyatakan peguan Anwar, Ram Karpal Singh, sewaktu bercakap kepada KeadilanDaily.com petang tadi.

“Kami sudah ada beberapa langkah yang akan diambil jika Najib dan Rosmah tidak mahu ke mahkamah walau pun diberikan notis sapina oleh mahkamah (Isnin nanti).

“Langkah itu akan dibincangkan dengan pasukan peguambela.

“Buat masa ini saya tidak dapat kongsikan apakah langkah tersebut kerana segalanya tertakluk kepada keputusan hakim Isnin nanti,” kata Ram Karpal.

Najib dan Rosmah kini berdepan tindakan sapina kerana enggan hadir ke mahkamah memberi keterangan dalam kes Fitnah II. Mereka termasuk dalam senarai 15 saksi yang mahu ditemubual oleh pasukan peguambela Anwar apabila perbicaraan memasuki peringkat pembelaan Isnin nanti.

Najib dan Rosmah sebelum ini dilaporkan menemui pengadu dalam kes Fitnah II, Saiful Bukhari Azlan beberapa hari sebelum laporan polis mendakwa beliau kononnya diliwat Anwar dibuat.

Tindakan Najib dan Rosmah yang enggan ke mahkamah untuk memberi keterangan juga dilihat hampir sama dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang turut enggan ke mahkamah memberi keterangan walau pun bertindak sebagai dalang utama kes Fitnah 1998 dahulu.Keadilandaily

Rosmah, masalah baru Najib

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik tempatan berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berdepan dengan masalah yang ditimbulkan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, di samping timbunan masalah lain.

Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, orang melihat Rosmah sebagai lebih menonjol dari Najib sendiri. Di Malaysia, orang belum boleh menerima isteri seorang Perdana Menteri sebagaimana yang dibuat oleh Rosmah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kepimpinan Najib yang menjadi perbualan banyak pihak termasuk di kalangan orang Umno sendiri.

Persatuan Bekas Ahli Parlimen Umno (Penawar) mahu Najib meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak berjuang untuk orang Melayu dan negara Malaysia.

Setiausaha Agung PAS, Mustaffa Ali pula mendakwa ada kumpulan pimpinan Umno yang mahu Perdana Menteri meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, rakyat curiga dengan Najib yang cuba membentuk keseimbangan untuk semua orang. Orang Melayu anggap Umno tidak membela mereka, orang Cina dan India pula dakwa kerajaan Umno tidak membela mereka.

“Orang Sabah dan Sarawak menuntut hak masing-masing, jadi Najib masih berdepan dengan masalah dalaman,” tambahnya.

Para pemimpin Umno, kata Dr Zainal, pula masih menganggap diri mereka ‘raja’ dan tidak turun padang menemui rakyat sebagaimana diarahkan Najib.

Beliau berkata, Najib terpaksa bekerja kuat dan cepat untuk membaiki kelemahan yang berlaku sebelum ini. Malangnya, orang Umno masih lemah semangat walau pun ada tanda-tanda rakyat kembali menyokong kerajaan.FMT

Video : Iklan Ramadan Tv9 Hina Islam ?




KUALA LUMPUR 4 OGOS : Belumpun kontroversi iklan Ramadan 8TV yang memaparkan 'ketiak' seorang wanita Cina reda kerana didakwa berbaur perkauman dan membuat stereotaip berdasarkan bangsa, iklan Ramadan TV9 pula dipertikaikan.

Kali ini, Pemuda PAS Selangor mendakwa iklan berkaitan ibadah sahur di TV9 itu secara terang-terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar ibadah di dalam agama Islam.

“Hasilnya menyebabkan iklan tersebut tidak menepati maksud sebenar ibadah di dalam Islam dan menjadi bahan tertawa masyarakat,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan yang dipetik Harakahdaily.

Katanya, pemuda PAS sangat berasa kesal kerana mutakhir ini banyak pihak yang cuba untuk menonjolkan kebaikan ibadah di dalam Islam secara buah fikiran mereka sendiri dengan tidak merujuk kepada orang yang arif dan alim dalam Islam.

Iklan berkenaan mengisahkan dua orang yang berjiran, seorang lelaki dan seorang perempuan, telah bersaing secara bersungguh-sungguh memasak makanan untuk persediaan sahur.

Pada penghujung iklan itu memaparkan bahawa si lelaki yang juga DJ Hot fm, AG tidak sempat bersahur kerana azan subuh telah berkumandang. Manakala jiran perempuan itu pula sedang membasuh pinggan dan berasa gembira kerana yakin si lelaki itu tidak sempat bersahur.

“Sikap yang ditonjolkan di dalam iklan tersebut juga sangat biadap apabila menunjukkan bahawa jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan seronok apabila jiran tetangganya tidak dapat menunaikan ibadah,” kata Hasbullah.

Menurut beliau, ibadah bersahur itu sendiri disebut oleh Rasulullah SAW bahawa terdapat keberkatan di dalamnya dan menjadi pembeza kepada amalan berpuasa penganut agama lain.

Katanya, sedangkan dalam Islam, jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam.

Sehubungan itu, pemuda PAS, mendesak TV9 supaya menarik balik tayangan iklan berkenaan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Selangor juga menasihatkan kepada pembikin-pembikin filem, iklan dan sebagainya merujuk dahulu kepada orang-orang yang alim dan pakar berkenaan dengan hukum Islam sebelum membuat sesebuah filem, iklan dan sebagainya,” kata Hasbullah.TVS

Nasib Najib Mungkin Lebih Malang Dari Pak Lah

Melihat kepada lautan manusia pada 9 Julai 2011, ramai menjangka Perdana Menteri Najib Razak tidak berani untuk membubarkan parlimen pada tahun ini.  Igauan bagaimana perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 mencetuskan tsunami politik pada 8 Mac 2008 masih menghantui Barisan Nasional.  Seandainya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini, Najib berkemungkinan besar mengulangi nasib mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih-lebih lagi, cara dan pendekatan kerajaan Najib Razak mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah mencungkil ketidakpuasan ramai, dari Sasterawan Negara yang menjadi ikon budaya, hinggalah bekas mufti yang berpengaruh dalam bidang agama; dari mereka yang berada di atas pagar, hinggalah pewaris tokoh UMNO sendiri - Marina Mahathir.

Mengikut perhitungan biasa, kerajaan Najib dijangka memerlukan tempoh dalam setahun untuk memperbaiki keadaaan, atau sekurang-kurangnya meredakan ketidakpuasan ini.  Dengan kata lain, PRU 13 paling mungkin diadakan pada tahun 2012 selepas Jun, malah tidak mustahil diheret sehingga awal tahun 2013.

Semakin lama PRU ditunda....


Namun demikian, perkiraan UMNO mungkin tidak mengikut logik biasa.  Semakin lama PRU ke-13 ditunda, bermakna semakin berat bebannya.  Pertama, UMNO-BN tidak mempunyai alasan untuk menundakan reformasi sistem pilihan raya.  Perlu diingatkan bagaimana impak "BERSIH 1.0" memuncak apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum hari pengundian PRU 12.  Kerajaan Najib sama ada kehilangan undi berikutan "ketidaksempatan" melakukan reformasi sistem pilihan raya, ataupun tumbang kerana sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Dari segi ekonominya, semakin lama PRU 13 ditunda, maka kerajaan BN perlu bergelut dalam situasi inflasi yang semakin melonjak.  Harga minyak semestinya akan meningkat, selain tarif elektrik yang telah dijanjikan akan dikaji setiap enam bulan.  Keadaannya akan lebih parah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, malah dijangka "meleset" pada tahun 2012.  Pengurangan subsidi hampir pasti berlaku.  Meskipun dibuat juga peruntukan bajet (gula) untuk meraih undi, persoalan yang melantun-lantun adalah, dari mana datangnya wang itu?

Dari segi politiknya pula, seandainya PRU 13 dijalankan pada 2012 mahupun 2013, pengundi Sarawak akan tertanya-tanya, bilakah Ketua Menteri Taib Mahmud bersara?  Meskipun menang dalam pertarungan sengit PRN Sarawak pada April 2011, namun BN sedar bahawa angin perubahan semakin kencang.  Seandainya Taib Mahmud dikekalkan, maka ia menghulurkan senjata kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang dirinya.  Sebaliknya, jikalau Taib Mahmud digugurkan, maka pertentangan kepentingan akan berlaku, antara Taib Mahmud (gambar bawah) yang sudah 30 tahun berkuasa di bumi kenyalang, dengan kepentingan kerajaan persekutuan.

Seandainya BN gagal menyelesaikan konflik ini, maka angin perubahan dijangka bertiup ke Sabah, dua negeri yang melanjutkan denyutan jantung BN di Putrajaya.  Perlu diambil kira juga negeri Johor, yang mana sebelum ini Menteri Besar Abdul Ghani sendiri menjangkakan angin perubahan yang lebih kencang berbanding 8 Mac 2008.  MCA menyumbang tujuh daripada 26 kerusi parlimen di Johor, dan tujuh ini berpotensi jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.  Melihat kepada senario terkini, persoalan yang lebih merunsingkan Najib/BN adalah, daripada 15 kerusi parlimen yang dipegang MCA sekarang, berapa yang mampu dipertahankan?