Lagi Bukti Penipuan SPR Dalam Pilihanraya Didedah



Blogger Mutaligat dalam blognya mutaligat.blogspot.com hari ini mendedahkan penipuan dan penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam tulisannya Mutaligat menyatakan seorang pengundi yang mempunyai nombor kad pengenalan lama 6830901 yang sama mempunyai 2 nama yang hampir serupa, cuma ejaan yang berlainan.

Yang pertama, Daud Bin Mohd mengundi di Dun Asahan, Parlimen Alor Gajah dan kedua Daud Bin Mohamad mengundi di Dun Bemban, Parlimen Jasin.

"Bagaimana orang yang berlainan mempunyai no kad pengenalan yang sama?" soal beliau.

Pendedahan ini dibuat oleh beliau hasil dari maklumat yang diperolehi dari laman sesawang SPR sendiri.

Mungkinkah beliau ini orang yang sama dan boleh mengundi dua kali. Dun Bemban dan Dun Asahan terletak tidak jauh antara satu sama lain dan memang tidak menjadi masalah untuk orang yang sama mengundi pada hari yang sama.

Pendedahan kedua melibatan seorang pengundi bernama Asia Binti Osman bernombor Kad Pengenalan lama 5962350 yang mempunyai 2 tempat mengundi yang berlainan satu di Dun Taboh Naning dan satu lagi di Dun Ayer Limau kedua-duanya dalam Parlimen Masjid Tanah.

Namanya hanya dibeza dengan perkataan 'Binti' dan satu lagi 'Bt'."Inilah penipuan SPR yang tidak boleh disangkal lagi?" soalnya.

Blogger Mutaligat menggesa SPR menjawab segala isu ini yang jelas amat meragukan orang ramai.Hrkh

Siapa Ibrahim Ali Mahu Jadi Ikon?

SHAH ALAM 19 JULAI : Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad melahirkan kebimbangannya berhubung pembudayaan yang akan dibawa masuk ke dalam sebuah universiti tempatan dengan membuka pencalonan Anugerah Ibrahim Ali.

Ini kerana menurut Khalid, seseorang yang bergelar ikon haruslah memiliki kelayakan dan disanjung tinggi keperibadiannya.

Namun menurut beliau, ciri-ciri itu tidak ada pada Ibrahim Ali ekoran pelbagai sikap dan pendirian beliau yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini.

"Nampak betapa rosak dan songsangnya pandangan terhadap konsep kepimpinan.. betapa bercelarunya sehingga dia boleh menganggap diri dia (Ibrahim Ali) sebagai contoh kepimpinan dan layak untuk memberikan Anugerah Kepimpinan kepada mahasiswa di UiTM,"kata Khalid kepada Tv Selangor.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)itu bukanlah nama yang asing lagi dalam arena politik negara.

Malah tindak-tanduk beliau mempertahankan institusi Melayu kerap kali diragui dan bercanggah dengan perjuangan masyarakat Melayu sendiri.

Terbaru, beliau dengan angkuh mengatakan akan membawa 15 ribu ahli Perkasa turun di jalanan menentang Bersih 2.0, namun membatalkannya di saat akhir.

Malah Ibrahim terdahulu mengugut kaum Cina supaya tidak menyertai perhimpunan itu dan mahu mereka tinggal di dalam rumah di samping menyediakan stok makanan kerana "apa sahaja boleh berlaku" pada Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan,"beliau dipetik sebagai berkata.

Malah Ibrahim juga sebelum itu mencabar akan melancarkan perang salib terhadap penganut Kristian yang mahu mencabar kedudukan Islam di negara ini walhal Islam merupakan agama yang cintakan keamanan dan menegah umatnya melakukan kehancuran.

Balasungkawa : Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Dari Kacamata Dr Asri Zainul Abidin

BELASUNGKAWA : Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini.

Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.

Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya.

Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM.

Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo'lo Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi SAW nasihati kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan jawatan mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya.

Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut.

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.

Tok Guru Nik Aziz Dimasukkan Ke Wad HUSM

KOTA BHARU, 18 Julai: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat( gambar ) dinasihat doktor berehat di wad memandangkan kepenatan melaksana tugas harian.

Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian tengahari semalam selepas mengadu sakit perut.

“Mungkin hanya silap makan menyebabkan perutnya sakit. Ketika datang mendapat rawatan, doktor menasihatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya berehat di wad.

“Lagi pun apabila berada di wad membolehkan doktor membuat rawatan susulan sambil beliau berehat tanpa ada gangguan lain,” katanya di sini.

Menteri Besar kembali daripada lawatan di luar negara minggu lepas selepas lebih seminggu berada di beberapa negara termasuk menunaikan umrah di Makkah.

Oleh itu Fadhli menasihat orang ramai tidak perlu gusar dengan perkembangan kesihatan Mursyidul Am PAS berikutan berada di hospital sejak semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain Menteri Besar Kelantan turut merakam ucapan takziah di atas kematian anggota parlimen Titiwangsa almarhumah Dr Lo' Lo' Ghazali malam tadi.

“Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam sehingga ke saat akhir hayatnya. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.Hrkh