,Muhammad Sabu Selamat Jalani Pembedahan

SHAH ALAM 15 JULAI :Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selamat menjalani pembedahan membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan Land Rover polis dalam perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Menurut isterinya Normah Alwi, suaminya menjalani pembedahan itu di Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam pada jam 3 petang hari ini.

"Sekarang ini dia stabil, OK, sudah makan dan sedar," katanya sambil menambah pembedahan itu mengambil masa kira-kira satu jam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Normah berkata, doktor memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.

"Sekarang dia dipindahkan ke wad biasa kira-kira jam 5 petang tadi," katanya.Setakat ini Mohamad belum menerima pelawat, tambahnya.

Menurut Normah juga, Mohamad akan bermalam di hospital itu selama tiga hari sebelum dibenarkan mendaftar keluar.

Sebagai isteri, Normah berkata beliau tidak dapat menerima tindakan polis yang didakwa mencederakan Mohamad.

"Saya tidak boleh menerima kejadian macam ini. Hanya Allah sahaja yang akan membalas orang yang berbuat zalim," katanya lagi.TVS

Bergambar : Terima Kasih Najib Kerana Tak " Bunuh " Kami !!!



KUALA LUMPUR, 15 Julai: Dengan nada sinis, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mahu rakyat khususnya mangsa keganasan polis semasa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak.
Gesaan itu katanya kerana Perdana Menteri Malaysia itu mendakwa pihak polis menggunakan tindakan agak "ringan" terhadap peserta himpunan aman itu.
"Seharusnya rakyat berterima kasih dan sayang kepada Najib sebab dia tak bunuh peserta himpunan hari tu," katanya kepada Harakahdaily sambil ketawa terbahak-bahak.
Najib ketika ditemubual CNN di Britain semalam dilaporkan berkata, pihak polis menggunakan tindakan yang sewajarnya dalam usaha menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu.
Katanya tindakan polis agak ringan kerana tahanan dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik.
Beliau juga mendakwa tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar oleh polis dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum.
Sambil mendakwa kenyataan Najib itu sebagai kelakar, Khalid yang turut menerima 6 jahitan di kepala akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata pada hari himpunan tersebut mendakwa itulah wajah sebenar autokrat pemimpin nombor satu negara ini.
"Itulah minda autokrat perdana menteri kita. Kita tidak boleh salahkan dia.
"Saya yakin dia tak rasa dia menipu, dan tak rasa bersalah pun (mengeluarkan kenyataan sedemikian), walaupun seluruh dunia sudah melihat rakaman video dan gambar keganasan polis dalam internet," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Pada himpunan yang dianggarkan lebih 50,000 orang pada 9 Julai lalu di ibu negara itu, sejumlah 1,667 ditahan oleh pihak polis dan kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan pada hari yang sama.
Ianya termasuk jawatankuasa penganjur, pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai yang menyertai himpunan itu.
Selain Khalid, turut cedera ketika mengelak terkena kelongsong peluru gas pemedih mata adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengawal peribadinya, Fayad Al-Bakri patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan.
Lebih mendukacitakan, seorang peserta turut meninggal dunia selepas sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak polis.
Polis bagaimanapun menafikan kematian itu ada kaitan dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata tersebut.
Dalam beberapa aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga, ada peserta mendakwa polis menendang dan memukulnya sebelum ditangkap.

Bersih 2.0 : PAS Saman Polis Dan Hishamuddin

KUALA LUMPUR 15 JULAI : PAS hari ini memfailkan kes saman sivil ke atas Menteri Dalam Negeri yang bersangkut-paut dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Saman difailkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman dan timbalannya Khalid Samad.

Terdahulu Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Selangor Zainal Said berkata, saman itu dibuat kerana pihak berkuasa telah menahan seorang ahli parti Islam itu, tindakan yang disifatkan sebagai tidak mengikut undang-undang.


Musafri Abdullah Azmi, 27, telah ditahan pada 24 Jun lalu kerana memiliki kemeja-T yang tertulis perkataan Bersih 2.0 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan, Padang Jawa di Klang.

“Petang ini kita mewakili seorang ahli kita yang ditahan kerana memilik baju Bersih 2.0, dia telah ditahan secara salah.

“Saman sivil ini dibuat kerana kita mahu tuntut ganti rugi dan mahu barang-barang yang dirampas dikembalikan semula kepada ahli kita,” kata Zainal.

Kata Zainal, pihaknya menamakan pegawai penangkap, Ketua Polis Shah Alam ACP Zahedi Ayob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai defendan.

Tindakan petang ini merupakan yang pertama dalam siri saman yang hendak dibawa oleh PAS, kata Setiausaha Lajnah Undang-undang parti itu, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus ketika dihubungi portal berkenaan.

“Kami memutuskan untuk memfailkan kes di Selangor hari ini sebab kes pertama penahanan berlaku di Selangor, selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan bahawa bahan-bahan berkaitan Bersih 2.0 adalah haram,” kata beliau.

“Kes yang dibawa hari ini berkaitan dengan tahanan praperhimpunan Bersih, selepas ini akan ada banyak lagi kes,” kata beliau lagi.

Semalam, Juham Dewan Pemuda PAS pusat telah melancarkan kempen Aduan Keganasan Polis 9/7 yang bertujuan untuk mengumpul segala maklumat daripada orang awam berkaitan salah laku dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 di sekitar Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Juham Dewan Pemuda PAS pusat Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata melalui saman sivil itu pihaknya mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa segala bentuk penahanan dan rampasan dilakukan pihak berkuasa dalam isu Bersih 2.0 bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita nak mahkamah beri satu deklarasi bahawa penahanan ahli kita ini salah di sisi undang-undang sebab tiada undang-undang kata memakai baju itu salah, yang salah tidak pakai baju.

“Kita juga mahu mahkamah beri satu deklarasi bahawa segala yang dirampas dipulangkan dan rampasan yang dibuat itu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta perlembagaan,” katanya.TVS

[ Kemaskini ] Queen Elizaberth Sambut Najib Dengan Berbaju Kuning !!!

Apa kata Najib dan suami dalam hati masing-masing?

Mengapa Ratu memilih baju kuning? Najib kena fikirkan! Baginda Ratu boleh sahaja memakai baju berwarna lain!

SUMBER GAMBAR

SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terus menerima sindiran hebat masyarakat dunia ketika kunjungannya ke Buckingham, London.

Sindiran yang dimaksudkan ialah apabila pemakaian gaun dan tali leher kuning oleh Ratu Elizabeth dan Menteri Pengangkutan, Philip Hammond dalam dua pertemuan berasingan dengan Najib semalam.

Kolumnis Suara Keadilan, Hishamuddin Rais membayangkan tindakan itu sebagai kritikan terhadap dasar Najib.

“Dalam bahasa diplomatik, ini memperlekehkan Najib. Dalam bahasa diplomatik, ini mengkritik tindakan Najib yang menghambat peserta himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

“Sampaikan bunga di pasu dalam bilik pertemuan itu pun berwarna kuning. Tak mungkin Ratu Elizabeth atau Menteri di Britain tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia sepanjang minggu lalu,” katanya kepada KeadilanDaily.

Dalam pertemuan itu menyaksikan Najib bersalam dengan Ratu Elizabeth dan ada suara-suara yang mengatakan akhirnya Najib tunjuk kepada kuning berdasarkan gambar tersebut.

Malah paling ketara apabila kehadiran Perdana Menteri Malaysia itu tidak disambut dengan hamparan karpet merah sementara, Perdana Menteri Britain, David Cameron, malah membatal majlis makan tengah hari bersama Najib.