Khamis, 14 Julai 2011

Video : Najib 'Memang Kejam - A Samad Said




KUALA LUMPUR 14 JULAI : Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.

"Kalau tengok (perdana menteri) yang sudah-sudah itu, (Najib) memang kejamlah," katanya ketika diminta membandingkan pentadbiran Najib dan dua penyandang sebelumnya - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menceritakan kembali "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, A Samad mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.

Ketika diwawancara Malaysiakini di sebuah restoran di Bangsar hari ini, A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".

"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.

Kepimpinan 'bangsawan'

Sehubungan itu, A Samad mendesak Najib meletakkan jawatan, selaras dengan kempen sama di Facebook yang kini sudah digemari hampir 200,000 orang.

"Ya, saya mahu (beliau letak jawatan). Saya ikut (perkembangannya) dalam Facebook, amat bagus (kempen itu). Kalau di Jepun, orang lain buat salah pun, menteri itu tunduk depan orang.

"Ada perdana menteri Jepun tidak sampai satu penggal pun, (letak jawatan). Tapi di sini tentu, orang sangat mengidam kuasa," katanya sambil menambah kerajaan tidak lagi memerintah "dengan sukaan umum".

Bagaimanapun, ditanya tentang perdana menteri mana yang yang paling bagus, A Samad tidak menjawabnya secara langsung, sebaliknya menyebut tentang penguasaan "bangsawan" bagi jawatan itu.

Katanya, sepanjang lebih 50 tahun kemerdekaan, kecuali Dr Mahathir, kesemua perdana menteri disandang oleh golongan itu yang disifatkannya "hidup mudah".

"Laporan-laporan yang sampai ke telinga (mereka) itu, semuanya yang cantik sahaja. Jadi, mereka tidak merasakan (kesusahan rakyat).

"Saya merasakan sudah waktunya, kepimpinan harus datang dari bawah, bukan dari atas," tegasnya lagi.TVS

Video : Bersih 2.0,Cerita Sebenar Mangsa Yang Ditahan Polis

 
 
 
KUALA TERENGGANU - Ustaz Mohd Ramlan Mahmud, 27, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kemaman menyifatkan penahanan beliau ketika menghadiri Himpunan Aman BERSIH 2.0 9 Julai sebagai suatu kegembiraan kerana menjadi 'orang yang terpilih'.Beliau telah ditahan polis di sebuah restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur semasa sedang menikmati sarapan pagi pada pagi.

"Ketika itu sekitar pukul 10.00 pagi sekumpulan anggota polis dianggarkan seramai 20 orang sedang melakukan operasi pemeriksaan, mana - mana individu yang berada dalam kumpulan seramai 4 orang dan lebih akan diperiksa kad pengenalannya dan barang - barang yang dibawa bersama kita akan digeledah,"ujarnya ketika ditemubual oleh Buletinonline.

(Gambar kanan - Ustaz Ramlan Mahmud sedang disoal siasat oleh seorang Pegawai Polis yang memegang tshirt berwarna kuning sebelun ditahan)

Seorang lagi 'Wira BERSIH' dari negeri Terengganu adalah Saifudin Ibrahim, AJK Penyelaras Pemuda Dun Batu Buruk yang juga anggota PAS cawangan Masjid Hj Kadir.

Saifuddin merupakan tahanan terakhir yang dibebaskan daripada 313 orang penyokong BERSIH dari negeri Terengganu yang ditahan pada Sabtu lalu.

Ketika ditemui, dalam sambutan ringkas oleh sahabat-sahabat 'Al-Fateh Army' di Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam, 13 Julai, beliau tidak berasa apa-apa, malah 'suka' kerana ditahan menghadiri Himupnan BERSIH.

"(perasaan) tak ada apa-apa, suka je, saya (dibebeaskan lewat) kerana dituduh menceroboh loji air SYABAS, di Bukit Nanas,"katanya.

Ketika melarikan dari dari 'hambatan polis zalim' dalam Himpunan, beliau tersalah masuk ke kawasan yang didakwa oleh polis sebagai kawasan larangan.

Sedangkan menurutnya, tidak ada apa-apa papan tanda atau amaran yang menunjukkan bahawa ia adalah satu kawasan larangan.

Namun begitu, polis telah mendapatkan perintah reman selama tiga hari sehingga malam kelmarin, apabila Saifuddin dibebaskan tanpa syarat.

Manakala, seorang Pemuda PAS dari Pekan Batu Enam, Kuala Nerus, Ibrahim Harun yang ditahan dijalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin sanggup menjadi saksi ke atas tindakan polis 'meyerang' hospital terbabit.

"Memang betul-betul, polis tembak gas pemedih mata, kalau tak silap, mungkin 3 das, lepas tu tembak dengan meriam air kimia,"tegasnya ketika ditemui.

Beliau yang juga AJK MTD Bukit Tunggal mendakwa, polis turut membelasahnya, walaupun beliau tidak melawan.

Akibatnya, pipi beliau berdarah kerana dibedal, sepak dan terajang oleh polis yang disifatkannya zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Kesemua 313 orang yang ditangkap ketika menghadiri Himpunan Aman BERSIH 2.0 dari Terengganu dianggap sebagai 'Wira' kerana berani bersama lebih 50,000 rakyat menuntut kerajaan merombak sistem pilihanraya supaya lebih bersih dan adil.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Mobilisasi Rakyat, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, mereka akan diraikan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pemimpin utama yang lain, dalam satu Majlis sebelum Ceramah Perdana Pasca BERSIH yang akan diadakan di perkarangan Masjid Rusila, esok, Jumaat 15 Julai pada jam 9.00 malam

"InsyaAllah, semua tahanan seramai 313 orang ini, kita akan raikan dalam suatu ceramah Perdana yang akan kita buat pada 15 Julai, hari Jumaat ini, di Masjid Rusila,

"kita akan siarkan klip-klip video yang memaparkan kejadian Himpunan BERSIH, kita akan raikan tahanan yang kita anggap mereka ini sebagai wira-wira kita yang menjadi wakil kepada rakyat Terengganu untuk memperjuangkan hak,"katanya ketika berucap dalam majlis penerangan isu semasa di Jalan Hiliran, semalam 13 Julai.BO

Keadilan Buat Allahyarham Baharuddin Akan Dipastikan

SHAH ALAM 14 JULAI : Peguam hak asasi manusia, N. Surendran menegaskan pihaknya akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keadilan kepada mangsa keganasan polis sehingga meninggal dunia pada Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Mangsa, Baharuddin Ahmad yang dikatakan sebelum ini pengsan dalam cubaan melarikan diri dari asakan polis ketika berarak di hadapan KLCC, turut dikatakan mungkin warga emas sama yang dihenyak oleh polis pada hari kejadian.

Oleh itu tegas Surendran, jika benar kematian Allahyarham berpunca daripada kezaliman polis dan kerajaan Malaysia, maka tidak ada sebab kerajaan dan agensinya harus terlepas dari tanggungjawab tersebut.

"Kementerian Dalam Negeri dan polis perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan jangan berpura-pura kononnya kes kematian ini tidak ada kaitan dengan mereka.

"Kita akan perjuangkan kes ini bagi keluarga mangsa untuk mendapat keadilan kerana mangsa menemui ajal semasa memperjuangkan hak rakyat Malaysia dan keadilan,"kata beliau kepada TV selangor.

Portal Malaysiakini semalam memetik seorang pelajar yang menyaksikan sendiri seorang warga emas dihenyak oleh polis dalam cubaan menyuraikan himpunan aman berkenaan di hadapan KLCC dan merasakan mangsa adalah Allahyarham Baharuddin.

"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.

"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak,"kata pelajar itu.

Menurut pelajar itu lagi, beliau melihat polis memegang kedua-dua belah tangan lelaki berkenaan dan menghenyak lelaki itu ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Mengulas lanjut insiden yang menyayat hati itu, Surendran berkata, kejadian tidak diingini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya polis bertindak mengikut etika dan berperikemanusiaan dalam menjalankan tugas.

"Sekiranya polis tidak menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan secara aman, kematian seumpama ini tidak mungkin akan berlaku,"katanya.

Namun apa yang dikesalkan kata Surendran, pihak polis tampil memberi alasan seperti skrip lama dengan menyatakan mereka tidak ada kena mengena dengan kes kematian Baharuddin.

Malah, polis mendakwa mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan bukan akibat dari terdedah kepada gas pemedih mata walaupun laporan perubatan mangsa belum dikeluarkan oleh pihak hospital.

Selain Baharuddin, malah puluhan lagi mengalami kecederaan akibat tindakan ganas polis. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengawal peribadi beliau, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Mohamad Sabu dan ramai lagi mengalami kecederaan akibat tindakan ganas polis.

Himpunan Bersih 2.0 : Catatan Perjalanan Seorang Pelajar IPTA

Saya tertarik dengan pengalaman yang ditulis oleh saudara Chen Shu Yong yang disiarkan oleh MerdekaReview pada 12 Julai 2011.  Maka saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya yang turut menyertai himpunan rakyat BERSIH pada tarikh keramat 9 Julai.

Pada saya,selain menunjukkan penyatuan kaum, dari sudut yang lain BERSIH turut memberi isyarat kebangkitan generasi muda.  Laporan akhbar menunjukkan hampir 80% peserta BERSIH terdiri daripada golongan muda.  Malah media arus perdana turut melaporkan penglibatan ramai mahasiswa mahasiswi IPTA dalam demontrasi ini.  Anak-anak muda yang digelar generasi facebook dan twitter ini memberi signal yang jelas kepada kerajaan supaya melakukan perubahan.

Mereka benci pada rasuah dan penyelewengan yang dibiarkan berleluasa.  Mereka marah dengan sikap pemerintah yang sesuka hati menaikkan harga barang tanpa memikirkan bebanan yang ditanggung rakyat.  Sikap kepedulian anak muda tentang masalah negara sering ditangani pemerintah dengan ugutan, mereka diugut dan digertak untuk dibuang universiti, digantung pengajian ataupun diambil tindakan oleh penaja biasiswa, tanpa terlebih dahulu mendengar suara dan rintihan anak-anak muda ini.  Namun BERSIH 2.0 jelas membuktikan generasi muda sudah tidak takut, malah bosan dengan politik ugutan dan pembohongan yang dilakukan pemerintah saban hari.

Pada pagi 9 Julai 2011, saya bergerak ke Masjid Jamek bersama empat orang rakan.  Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk mengelakkan kecurigaan.  Kami melihat ramai remaja hampir sebaya kami sedang berlegar-legar di sekitar Masjid Jamek.  Kami tertanya-tanya adakah mereka ingin menyertai BERSIH seperti kami atau mempunyai tujuan lain.  Dalam setengah jam kami di situ, kami melihat kehadiran ramai anggota polis seolah-olah Masjid Jamek telah diisytiharkan sebagai kawasan jenayah.  Berasa tidak selesa dengan situasi itu, kami mengambil keputusan untuk bergerak ke KL Central.

Setibanya kami di KL Central, kami melihat kewujudan lebih ramai anggota polis berbanding Masjid Jamek.  Mereka memeriksa orang ramai di pintu masuk.  Tidak lama kemudian, saya ditegur oleh seorang polis wanita.  Mungkin dia sudah lama memerhati saya dan kawan-kawan yang berjalan mundar mandir di dalam KL Central.  Polis bertanyakan asal saya dan tujuan saya ke KL Central.  Saya rasa kelakar, "sejak bila pula perlu ada tujuan spesifik untuk ke KL Central.  Suka hati sayalah kalau nak jalan-jalan kat mana-mana pun, ni negara saya", hati saya bersungut.
Mujur garam tidak ditemui...

Namun saya buat selamba saja dan menjawab semua soalan yang ditanya secara baik.  Sewaktu polis memeriksa IC saya dan kawan-kawan,ada seorang wanita datang. Beliau mengadu kepada polis ada seorang lelaki asyik mengambil gambar di KL central.  Akibatnya, lelaki tersebut dipanggil oleh polis.  Sekali lagi saya kehairanan, "sejak bila pula ambil gambar jadi satu kesalahan?".  Kami kemudiannya dibawa ke pintu masuk KL Central di mana terdapat ramai polis lain yang bertugas di situ.  Saya meminta izin untuk menggunakan telefon tetapi tidak dibenarkan.
Beg-beg kami diperiksa.  Saya bersyukur polis tidak menjumpai garam yang disimpan dalam beg kawan walaupun mereka memeriksa dengan agak teliti.  "Allah selamatkan kami," desis hati saya.  Kalau garam tersebut dijumpai polis, saya yakin itu akan jadi sebab untuk mereka menahan kami.  Pada masa itu saya lihat ramai lagi anak-anak muda yang diperiksa.  Lelaki muda yang mengambil gambar tadi dimarahi seorang polis lelaki, "kenapa kamu ambil gambar?!!"  Ada seorang remaja cuba bersoal jawab dengan polis namun dibalas dengan jawapan "kita tunggu black maria sampai!".

Laman Facebook Desak Najib Berundur Menghampiri Angka 200 000 ( Like )

Sehingga jam 12.00 tengahari tadi 185 202 menekan butang like(suka) di facebook mendesak Najib meletak jawatan
Dalam masa yang sama hanya 1,624 menyokong Najib sebagai PM
Jam 5.00 pm semalam 176 467

Desakan di Facebook supaya Najib meletakkan jawatan meningkat dengan begitu ketara,sehingga menghampiri angka 200 000.

Sehingga jam 12 : 00 tengahari tadi seramai 185 202 pengguna facebook telah menekan butang like (suka) di laman yang diwujudkan khas di facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation.Meningkat hampir 10 000 berbanding angka yang dicatat jam 5.00 pm semalam seramai 176 467.

Ia merupakan satu reaksi dan tamparan hebat terhadap kepimpinan Najib- selepas rejim di bawahnya bertindak ganas menangani perhimpunan aman Bersih Sabtu lalu- mengakibatkan lebih 1,600 ditangkap pihak berkuasa.

Natijah dari kejayaan Himpunan Bersih 2.0



Oleh ABD SHUKUR HARUN
shukurharun@yahoo.com

Walaupun Perhimpunan Bersih 2.0 secara aman di Ibunegara baru-baru ini telah berjaya, namun perjuangan menegakkan demokrasi dan pilihan raya bersih serta adil masih belum berakhir. Seperti kata Presiden PAS, Dato’ Seri Abd Hadi Awang, sejurus selepas dibebaskan, bahawa “sekiranya Barisan Nasional (BN) melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 maka “kebangkitan lebih besar” akan berlaku.
Perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu yang didukung oleh 62 NGO telah memberi gambaran bahawa majoriti rakyat perlabagi kaum dan agama telah berhimpun secara daman, tidak ada ada harta benda awam yang rosak.
Menurut Presiden PAS itu, rakyat telah menunjukkan budaya demonstrasi yang baik, walaupun diprovokasi oleh pihak tertentu, mereka tetap bersabar.
Namun Presiden PAS itu memberi amaran kepada kerajaan BN, bahawa “Ini hanyalah mukadimah atau permulaan kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihan raya dan demokrasi, bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa saja dan tidak semestinya sebelum pilihan raya tetapi juga selepas pilihan raya. Kita tunggu dan lihat respons kerajaan.”
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Namun hingga setakat ini, pihak kerajaan BN, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya, tidak memberi sebarang jawapan atau jaminan positif bahawa mereka akan menimbangkan tuntutan majoriti rakyat itu, bahkan mereka menghantar pelbagai isyarat keangkuhan demi keangkuhan.
Sikap ini tidak menyelesaikan masalah dan mereka hendaklah sedar dan belajar bahawa suara majoriti rakyat boleh menentukan segala-galanya.
Sedangkan tuntutan Bersih 2.0 itu sangat wajar, bahkan jika dilaksanakan akan mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi. Namun, setakat ini nampaknya keangkuhan menjadi pilihan mereka yang berkuasa.
Pemimpin Bersih 2.0 dan rakyat prihatin berpendapat bahawa perhimpunan tersebut sebagai satu kejayaan besar kepada pergerakan itu dan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang mahukan perubahan dan demokrasi dengan kehadiran sehingga 50,000 orang walaupun menghadapi pelbagai sekatandan halangan, bahkan tangkapan sejak berminggu-minggu.

Bersih: 11 doktor hospital Tung Shin sahkan polis guna gas pemedih


KUALA LUMPUR, 13 Julai – Sekumpulan doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina, Jalan Pudu di sini ketika perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini, seramai 11 doktor yang berkata berada di lokasi ketika kejadian menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.

“Kami, doktor-dotkor yang menurunkan tandatangan di bawah, tidak mahu menyertai polemik perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi mahu menjelaskan kebenaran tentang keadaan tidak selesa yang wujud (hari itu),” kata para doktor itu.

Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Liow berkata, air dan gas pemedih mata yang dilepaskan hanya mengenai kawasan tembok hospital itu.

Katanya, dakwaan yang berlegar di media Internet berhubung tembakan ke arah hospital itu adalah tidak benar.

Beberapa rakaman video dan gambar yang dikemukakan terus diperlekehkan oleh kerajaan termasuk anggota jemaah menteri.

Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang juga bekas menteri kesihatan berkata, pihak polis terpaksa bertindak demikian bagi melindungi pesakit-pesakit daripada peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang cuba berselindung di kawasan itu.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.TMI