Rabu, 15 Jun 2011

' Utusan ' Hina Hukum Allah !!!

Untuk besarkan KLIK PADA ' IMEJ '

MELAKA, 15 Jun:
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk Utusan Malaysia kerana dengan terang-terang menghina dan mempersenda hukum Islam.

Ruangan kartun yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Aizat Baharuddin berkata, tindakan akhbar tersebut jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya daripada Allah.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam di tuduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan 4 orang saksi yang tidak fasiq,” katanya.

Namun, katanya dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

Tambahnya, ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa 4 orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

Katanya lagi, kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis.

Aizat berkata tidak hairanlah apabila khutbah Jumaat di Selangor mengenai tentang qazaf dan fitnah, pemuda Umno pula buat laporan, kononnya agama politikkan.

“Mereka sebenarnya mahu membiarkan orang menjadi jahil dan buta agama seperti mereka.

"Inilah akibatnya apabila akhbar menjadi alat Umno. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda,” katanya.

Tegasnya, Utusan Malaysia perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

“Janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri," katanya.Hrkh

Parlimen Tolak Usul Kecam BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR 15 JUN : Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Bebas Zahrin Hashim bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain mengemukakan usul itu kerana kononnya tunjuk perasaan aman itu bertujuan menghasut rakyat mengadakan rusuhan rusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.

Tuduhan itu jauh tersasar kerana perhimpunan Bersih yang pertama empat tahun lalu berjalan secara aman sehingga polis melakukan provokasi ketika cuba menyuraikan kira-kira 40,000 yang menyertainya.

Kali ini penganjur memberikan jaminan yang sama – orang ramai akan berkumpul secara aman untuk menuntut sebuah pilihanraya yang be bas dan adil.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.TVS