Khamis, 19 Mei 2011
Saya mungkin tahu siapa lelaki dalam video seks - DS Anwar
Sidang Media : Penjelasan Isu Pengharaman PKR
Saifuddin berkata, dalam surat tunjuk sebab yang dikirim, ROS memberi alasan KEADILAN melanggar fasal 32.2.1 Undang-undang berdaftar parti dengan merujuk pemecatan Rajagopal a/l Andaikalam pada 2009.
“Fasal 32.2.1 tidak wujud dalam perlembagaan KEADILAN. Perkara aneh ini, mencerminkan niat jahat dan ‘mala fide’ ROS. Apakah ROS tidak membuat semakan perlembagaan KEADILAN yang diluluskan oleh mereka sendiri?,” soal Saifuddin ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.
Notis bertarikh 9 Mei 2011 itu ditandatangani Dato’ Abdul Rahman Othman dari Kementerian Dalam Negeri, di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 yang mengancam untuk membatalkan pendaftaran KEADILAN selepas 9 Jun 2011.
Ia dikirim menerusi pos berdaftar dengan salinan turut dihantar kepada Presiden dan Bendahari Agung, menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatal selepas 9 Jun, melainkan parti itu menyatakan sebab.
Menurut Saifuddin, sekiranya alasan pemecatan ahli tanpa melalui lembaga disipin digunakan, ROS sepatutnya sudah lama mengharamkan Umno.
“Sebelum ini Umno memecat saya tanpa dihadapkan ke lembaga disiplin parti. Mengapa ROS tidak menggunakan alasan yang sama untuk mengharamkan Umno?,” katanya merujuk pemecatannya pada 20 September 1998 oleh Setiausaha Agung Umno ketika itu.
Tambah beliau, nama Rajagopal seperti yang tertera dalam surat berkenaan juga adalah salah kerana nama sebenarnya Jayagopal a/l Andaikalam.
Saifuddin berkata, Jayagopal dipecat melalui keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat bertarikh 26 April 2009 kerana bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau sebagai calon bebas.
“Fakta ini diketahui umum dan boleh didapati dari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya. Ia tidak boleh dinafikan. Justeru, adalah amat jelas dalam kes ini, penama tidak perlu dirujuk atas apa jua siasatan.
“Mana-mana parti politik tidak akan menerima keadaan di mana seorang anggotanya bertanding menentang parti sendiri,” kata Saifuddin sambil menambah, notis jawapan akan dihantar kepada ROS petang ini.
Sementara itu, Ahli Biro Politik KEAIDILAN, Sivarasa Rasiah berkata perkara pemecatan yang dibangkitkan tidak ada kena mengena dengan ROS memandangkan ia adalah isu dalaman parti.
“Inilah pertama kalinya dalam sejarah, apabila kita dengar isu pemecatan ahli dijadikan alasan untuk membatalkan pendaftaran parti. Saya yakin ada tangan Umno dan Barisan Nasional di belakang tindakan ini.
“Perkara ini cukup remeh dan bodoh yang cuba dilakukan untuk memberikan implikasi serius kepada KEADILAN. Tambahan dalam keadaan kita menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat,” ujar Siva.Keadilandaily
Pemilihan Pas : Mujahid Tolak Pencalonan Naib Presiden
Dalam kenyataan bertulisnya kepada Harakahdaily, Mujahid berkata, buat masa ini beliau belum mampu membawa pertanggungjawaban di tahap tersebut namun untuk masa hadapan "saya serahkan kepada Allah dan kepada ahli untuk menilai prestasi saya."
"Walaupun demikian saya bersetuju menerima pencalonan untuk jawatan AJK PAS Pusat dan selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus berkhidmat untuk parti demi agama, bangsa dan negara," kata beliau.
Dalam Muktamar 2009, Mujahid bertanding jawatan naib presiden tetapi tewas. Namun begitu beliau menang jawatan AJK PAS Pusat.
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya itu kerana menganggap tidak layak untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi.
Selain mereka berdua, Jawatankuasa Pemilih PAS 2011 memaklumkan, 14 calon layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.
Enam dari mereka turut dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden iaitu timbalan presiden sekarang, Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.
Selain mereka, turut layak bertanding jawatan naib presiden adalah:
1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat).Hrkh
Utusan Rugi RM6.893 Juta Suku Tahun Pertama
PKR Hadapi Risiko Dibatalkan Pendaftaran
KUALA LUMPUR, 19 Mei — Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13, Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat, berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran, dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung akhir tahun lalu.
The Malaysian Insider difahamkan PKR telah menerima surat berkaitan dengan tindakan itu daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini.
“Saya dimaklumkan RoS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran, surat diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya,” kata sumber.
Sumber itu berkata berdasarkan surat RoS, PKR didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan part itu, yang ditubuhkan April 1999.
Bagaimanapun katanya, PKR mempunyai alasan kukuh yang ia tidak melanggar sebarang peruntukan dalam perlembagaannya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan sidang media mengenai isu itu tengah hari ini.
“Kami tak terkejut dengan tindakan RoS ini, tunggu sidang media nanti,” katanya lagi.
PKR, yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditukar nama semasa selepas proses penggabungan empat tahun kemudian.
Ia mengadakan pemilihan secara langsung peringkat pusat menggunakan kaedah satu ahli satu undi, yang turut menyaksikan masalah dan aduan.
Sejak selepas pilihan raya umum 2008 PKR juga tidak kesunyian daripada kritikan daripada pesaingnya termasuk menggesa agar RoS mengambil tindakan ke atas parti itu.
Parti itu yang menyaksikan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 menerusi kerjasama dengan PAS dan DAP turut berhadapan dengan tindakan beberapa wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar atau melompat parti.TMI
Muktamar : Macam Mana Pemimpin PAS Terpilih?
Senarai mereka yang layak bertanding di dalam muktamar PAS yang akan datang telah diumumkan. Cuma menunggu pengesahan daripada mereka yang tercalun sama ada terus bertanding atau menarik diri.
Tentu ramai yang akan menarik diri kerana merasa diri tidak layak, tidak mampu memberi tumpuan kepada tugas, terlalu banyak jawatan yang dipegang di pelbagai peringkat dan macam-macam lagi.
Banyak pencalonan daripada kawasan belum tentu menyumbang kepada banyak undi. Semuanya bergantung kepada hari muktamar. Tidak ada kempen? Salah, kempen tetap ada dan sekarang pun telah ada individu yang berkempen.
Semuanya di tangan perwakilan daripada kawasan-kawasan seluruh negara. Tenggelam atau timbul adalah di tangan perwakilan daripada kawasan. Apa kriteria yang biasanya digunakan oleh perwakilan daripada kawasan (bukan semua kawasan tetapi sesetengah kawasan)?
CALON PANDAI CERAMAH: Dia suka calon yang pandai berceramah. Dia tidak kisah, calon itu bekerja atau tidak selepas terpilih, asalkan calon itu pandai berceramah dan pandai buat lawak dalam ceramah.
CALON SATU NEGERI: Dia angkat calon dari negerinya sendiri. Ada perwakilan yang mengundi calon dari negerinya kerana katanya, mudah sikit kalau nak ‘sign’ apa-apa dokumen sebab berada dalam satu negeri.
CALON LAMA: Tak payah fikir yang baru, pilih saja yang sudah sedia ada. Orang lama senang berkira, dah lama kenal dan senang untuk diajak datang berceramah ke kawasan.
CALON USTAZ: Kena lantik ustaz untuk pertahankan apa yang diistilahkan sebagai ‘kepimpinan ulama’. Kalau bukan ustaz, ‘kepimpinan ulama’ di dalam PAS terjejas.
CALON BEKAS PEGAWAI TINGGI KERAJAAN: Pegawai tinggi kerajaan ada nama, ada pengaruh dan sedap kalau diperkenalkan di dalam majlis ceramah. Tentu orang ramai akan kagum.
CALON YB: Biasanya YB ada duit. Kalau dia terpilih sebagai pemimpin tentu mudah untuknya menjalankan tugas-tugas parti.
CALON ADA GELARAN: Gelaran Datuk atau apa-apa gelaran yang menyumbang rasa gah ketika disebut. Tentu nama yang ada gelaran sedap ditulis dan sedap disebut dan menimbulkan kebanggaan penulis atau penyebut.
Banyak lagi kriteria yang digunakan oleh perwakilan untuk memilih pemimpin dalam muktamar. Apa pun kriteria yang digunakan, calon itu hendaklah mampu memikul beban membawa PAS ke hadapan, bukan menarik PAS ke belakang.
Pemimpin itu hendaklah mampu memenuhi aspirasi rakyat terbanyak yang mahu melihat PAS mampu menggantikan Umno dalam tempoh terdekat.
Justeru, pemilihan perwakilan untuk memilih pemimpin hendaklah dikenalpasti dengan teliti. Jangan tangkap muat. Perlu ada kriteria perwakilan supaya mereka yang menjadi perwakilan mampu memilih pemimpin yang berwibawa.
Saya ulangi, bukan semua kawasan menggunakan kriteria di atas tetapi suatu masa dahulu, kawasan di negeri saya menggunakan sebahagian keriteria di atas.