Rabu, 11 Mei 2011

"Saya Tukar Daulat Tuanku Kepada Allahu Akbar Supaya Pelafaznya Dapat Pahala" - Sultan Kelantan

Sultan Yang Prihatin

SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.

> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik... Insya-Allah.

> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)

> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah “Alhamdulillah...”

> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.

> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.

Lupus subsidi gula RM116 juta, tapi Permata bini Najib dapat RM111 juta

KUALA LUMPUR: Pas mempersoalkan kewajaran kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melupuskan subsidi harga gula RM116 juta, sedangkan dalam masa yang sama memberikan peruntukan sebanyak RM111 juta kepada Permata yang dinaungi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur.

“Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta.

“Sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja,” kata Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Menurut Idris, tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, sebagai lambang kegagalan Barisan Nasional (BN).

“Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen),” kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keputusan kerajaan menaikkan harga gula kononnya untuk menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun, dengan membandingkan harga gula di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina merupakan alasan dangkal.

“Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara.

“Nampaknya pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikan minyak petrol, naik harga gula, naik harga tol,” tegas Idris.Keadilandaily

Isu Kristian : Blogger Dah Padam Posting,Utusan Macam Mana ???

Blog Marahku kini kosong tanpa posting

KUALA LUMPUR, 11 Mei: Blogger yang membuat dakwaan awal, DAP terlibat dengan paderi Kristian untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara telah membuang posting itu dalam blognya semalam.

Kini timbul tanda tanya, apakah langkah media Umno, Utusan Malaysia yang telah menggunakan sumber itu dalam laporan muka depannya.

Bagi Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, telahan banyak pihak selama ini bahawa isu 'Kristian agama rasmi' yang dimainkan Utusan Malaysia sebagai konspirasi politik ternyata benar.

Katanya, jika dakwaan yang disiar akhbar Umno pada 7 Mei lalu dengan tajuk “Kristian agama rasmi?' itu benar wujud, mengapa posting isu tersebut di blog Marahku yang dijadikan sumber Utusan Malaysia itu dibuang.

"Inilah cara konspirator, selepas berjaya mewujudkan ketegangan, mereka lari dan memerhati dari luar apa seterusnya akan berlaku," katanya kepada Harakahdaily.

Shamsul Yunus, yang menulis di blog Marahku, adalah antara dua penulis yang dipetik Utusan Malaysia dalam laporannya 7 Mei lalu.

Antaranya menuduh DAP berkemungkinan bersekongkol dengan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan dan membolehkan penganut agama itu dilantik sebagai perdana menteri.

Posting tersebut berjudul “Agong under threat? DAP wants to make Christianity the official religion of Malaysia?”

Bagaimanapun sejak semalam, blog marahku.blogspot.com didapati kosong dan semua posting juga didapati telah dipadamkan.(gambar atas)

"Saya yakin mereka dari awal sudah tahu risiko laporan tersebut, tetapi kenapa mereka siarkan juga benda yang tidak sahih itu?

"Satu sahaja jawapannya, kerana mereka sengaja," jelasnya sambil mendesak konspirator tersebut diambil tindakan.

Ditanya pandangannya berhubung motif disebalik permainan Umno melalui blogger dan medianya itu, Nasrudin tidak menolak kemungkinan ianya serangan berantai selepas sebelum ini mereka menyerang PAS agar tidak bersekongkol dengan DAP kononnya DAP anti Islam.

Ekoran itu juga, mereka mendesak agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

Anak Taib Mahmud Akhirnya Bercerai

KUALA LUMPUR 11 MEI : Anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib hari ini melafazkan talak satu kepada isterinya Datin Seri Shahnaz Abdul Majid.

Lafaz itu dibuat dihadapan Hakim Datuk Mohamad Abdullah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi.

"Saya Mahmud Abu Bekir Taib menceraikan isterinya saya dengan talak satu," katanya dan kemudian menandatangani dokumen penceraian berkenaan.

Mahmud bernikah dengan Shahnaz yang juga adalah kakak kepada ratu jazz tanah air, Sheila Majid.

Pasangan itu telah tidak tinggal bersama sejak 12 tahun lalu.

Hakim membenarkan dan mengesahkan lafaz cerai itu setelah berpuas hati dengan hujah peguam kedua-dua pihak bahawa pernikahan mereka telah retak dan sukar diselamatkan.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia 17 tahun.TVS

Kristian-Islam : Blogger Umno Bertelagah Sesama Sendiri !!!


 Print screen blog papagomo yang menghentam Bigdog

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog” berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.
Ekoran pendedahan penulis blog Bigdog itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi? yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).
Laporan muka depan akbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.
Blog “Bigdog” atau nama sebenar penulisnya, Zakir Mohammed menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion? mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.
Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.
Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan”Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.
“Dalam isu gereja dan negara Kristian ini memang dari awal saya merasakan sangsi berhubung laporan yang ditulis Bigdog ini sebab dalam laporan itu tiada asas yang kukuh untuk mengatakan perjumpaan paderi itu adalah untuk membentuk jemaah yang sebulat suara menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
“Secara logik mustahil pihak Kristian dalam Malaysia boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini, mereka tahu kewajaran dalam nak menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian tidak dapat dilaksanakan.
“Jadi bagaimana pula Bigdog ini boleh mengeluarkan satu perkara yang tidak pasti yang mana sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa akibat dari kebodohan Bigdog ini,” katanya.
Justeru kata “Papa Gomo”, kerajaan harus peka dan memandang serius terhadap laporan palsu yang dikeluarkan blog “Bigdog” kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama.
Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.
“Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA bagi mengelakkan kekacauan dan ketenteraman awam tergugat.
“Kerajaan harus memandang serius isu yang dimomokkan blog Bigdog kerana yang menanggung beban dalam hal ini adalah kerajaan BN dan bukannya Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kita bela blogger yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia?” katanya.
Tegasnya, konsep 1 Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat direalisasikan jika kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap “Bigdog”.
“Apa guna 1 Malaysia jika hal begini tidak dapat dibendung oleh kerajaan Malaysia. Saya yakin dan amat pasti pembangkang (Pakatan Rakyat) juga akan turut sama bersetuju agar ISA dikenakan ke atas blogger Bigdog jika terbukti dia salah menyebarkan laporan.