Selasa, 10 Mei 2011

Utusan Diharam Buat Liputan Sidang DUN P.Pinang

GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi penggal ke-12 hari ini ditangguhkan dengan meluluskan tiga usul termasuk usul mengharamkan wartawan akhbar Utusan Malaysia membuat liputan persidangan dewan itu berkuatkuasa, hari ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, usul itu dicadang ekoran akhbar itu didakwa sering menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap kerajaan negeri.

Katanya, merujuk kepada satu laporan satu berita Utusan Malaysia bertarikh 11 November 2010, akhbar itu memetik kononnya seorang wakil rakyat Shahbudin Yahya (BN-Permatang Berangan) mendakwa kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.5juta untuk membaiki banglo yang didiami oleh Ketua Menteri iaitu Seri Teratai.

"Bagaimanapun Shahbudin menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan itu ketika disoal dalam DUN dan ini menunjukkan Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan palsu," katanya dalam sesi penggulungan persidangan DUN di sini, Selasa.

Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN turut melakukan siasatan dan memanggil Ketua Pengarang Utusan Malaysia untuk memberi keterangan tetapi beliau atau wakilnya tidak hadir.

Lim berkata, tambah membimbangkan ialah apabila akhbar itu mengeluarkan berita fitnah berunsur perkauman dan keagamaan kononnya terdapat perhimpunan paderi Kristian di negeri ini yang berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dan mahukan perdana menteri dari kalangan penganut agama itu.

Pemangku Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) membantah usul itu dan meminta kerajaan negeri menunggu hasil siasatan Kementerian Dalam Negeri mengenai kesahihan berita itu.

Bagaimanapun, usul itu diluluskan dengan sokongan majoriti anggota DU Npenyokong kerajaan.

Dua lagi usul yang diluluskan ialah Rang Undang-Undang Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan usul mengesahkan pengenaan dan pemungutan fi caj air atau surcaj oleh pihak berkuasa negeri selama tempoh mulai 1 Januari 2001 hingga 31 Oktober 2010.

Persidangan DUN ditangguhkan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak. - BERNAMA

Kristian : Menteri Persoal Umno,Bidas Utusan

SHAH ALAM 10 MEI : Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok menjadi pemimpin pertama parti komponen pertama Barisan Nasional mempersoalkan Umno dan membidas Utusan Malaysia atas keghairahan membawa agenda Melayu bersabit perlantikan Perdana Menteri dan Islam sebagai agama rasmi.

"Perlembagaan tidak menetapkan keperluan agama untuk menjadi seorang perdana menteri, satu-satunya syarat adalah keupayaannya mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen.

"Sekiranya Iban, Bidayuh, Kadazandusun, Murut, Kelabit, Cina atau India yang menjadi rakyat Malaysia boleh memenuhi peruntukan dalam Artikel 43 dalam perlembagaan, dia boleh menjadi perdana menteri di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menyifatkan Utusan sebagai mencalar etika kewartawanan kerana menyiarkan dakwaan blogger kononnya sekumpulan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.

Dompok berkata, tindakan akhbar itu menggugat keamanan dan keharmonian negara ini.

"Bagaimana sebuah akhbar kebangsaan, bukan hanya mencetak, tetapi mensensasikan tulisan penulis blog. Ini adalah kemuncak (sikap) tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurut Dompok, pengalaman peribadinya sebagai seorang Kristian menunjukkan majlis yang dimaksudkan oleh Utusan itu hanya untuk memohon kebaikan negara, pemimpin dan rakyatnya.

"Kedudukan Islam dijamin dalam perlembagaan dan diterima tanpa soal oleh seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kepercayaan agama," katanya.

Sebaliknya, tambah Bernard, apa yang orang bukan Islam mahukan adalah kebebasan untuk mengamalkan ajaran masing-masing dengan aman.TVS

Khianat : Pemandu Peribadi DS Anwar Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pemandu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 28 tahun, Abdullah Sani Said akan membuat satu laporan polis di Balai Polis di Merchant Square, Petaling Jaya pada jam 3.30 petang hari ini.

Beliau membuat laporan itu kerana mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan Anwar dan keluarga.

Malah satu kemalangan telahpun berlaku pada 19 April yang lalu.

Sani ketika dihubungi Keadilandaily.com berkata, kejadian itu hampir mendatangkan kemalangan ketika kereta itu dinaiki Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika itu beliau memandu membawa Wan Azizah pulang dari satu program KEADILAN di Chemor, Perak.

“Masa balik dari Chemor dan kereta saya nak potong lori, tiba-tiba pemegang brek caliper terbuka (tercabut). Skru tercabut. Bila ia terbuka, kereta bergegar. Tuhan punya kuasa, mujur tidak kemalangan.

“Selama 28 tahun saya menjadi pemandu Datuk Seri, perkara ini tak pernah berlaku,” katanya yang turut mempunyai bukti gambar bahagian brek tersebut.

Menurut Sani, apabila membawa kereta itu ke bengkel, beliau diberitahu oleh mekanik bahawa salah satu skru pada brek kereta Mercedes model S350 itu, tercabut.

“Kereta ini kali terakhir di hantar ke bengkel bulan 10 tahun lepas, kalau brek longgar pasti ia berbunyi,” kata Sani.Keadilandaily