Isnin, 4 April 2011

Video Seks Tersebar Di Youtube,PKR Yakin Bukan Anwar

Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendirian tegas menolak bulat-bulat lelaki dalam rakaman video seks, yang kini disebarkan menerusi dunia siber, yang didakwa melibatkan aksi seks Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkannya sebagai “palsu” dan bermotifkan “politik.”

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sewaktu “Datuk T” mula-mula menayangkan video skandal seks yang kononnya melibatkan pemimpin pembangkang di hotel Carcosa Seri Negara, beliau telah menegaskan bahawa video tersebut palsu, “tukang sorak-tukang sorak Umno bertanya bagaimana saya yakin bahawa video tersebut bukan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila saya belum menontonnya.”

“Hari ini, saya terpaksa menonton sedutan video tersebut. Selepas menonton video tersebut, kenyataan awal saya terbukti benar memandangkan sosok dan lenggok badan watak utama termasuk perut yang menonjol jelas sekali bukan sosok badan Anwar,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan segera dikeluarkan lewat petang ini.

Nik Nazmi menambah, hakikat ini mungkin tidak jelas bagi mereka yang tidak mengenali Anwar secara dekat, tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit beliau selama dua tahun, “saya tahu bahawa itu bukan Anwar.”

“Apatah lagi saya mengenali keperibadiannya sebagai seorang Muslim dan pemimpin keluarga yang baik,” katanya.

“Jelas sekali video ini dibuat untuk tujuan politik,” kata beliau sambil menambah, tarikh video tersebut ditayangkan kepada wartawan dan seterusnya kini didedahkan sedutannya kepada umum dibuat untuk tujuan strategik sempena pilihan raya negeri Sarawak.

Klip video dua minit yang mengaitkan Anwar melanggan seorang pelacur asing kini dimuatkan dalam YouTube dan beberapa blog pro-Umno.

Difahamkan klip itu disebarkan dalam dunia siber sejak semalam.

Klip itu yang panjangnya 107 saat menunjukkan dua lelaki dan seorang wanita berada di sebuah bilik sebelum aksi seks dengan pelacur berkenaan, didakwa dari China.

Rakaman asal yang dipertontonkan kepada media di hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu dilaporkan 21 minit.

Klip itu muncul di Internet dua hari selepas polis mengesahkan bahawa rakaman video itu adalah tulen.TMI

Kelantan Haramkan Judi Selepas Bincang Semua Kaum



SHAH ALAM 4 APRIL : Pengharaman sebarang bentuk perjudian di Kelantan diputuskan setelah kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan semua kaum dinegeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan memandangkan kesemua mereka bersetuju bahawa aktiviti perjudian hanya akan membawa keburukan, barulah kerajaan negeri memutuskan untuk mengharamkan aktivi tersebut dinegeri itu.

Ia bukan sahaja memenuhi tuntutan semua agama yang menuntut penganutnya menjauhi perkara yang boleh melalaikan, bahkan juga menjamin kehidupan mereka.

"Dalam pertemuan itu semua kaum bersetuju perjudian sesuatu yang tidak digalakkan dalam agama dan berdasarkan itu kita telah mengharamkan perjudian ini," katanya.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, kerajaan Kelantan tidak akan mengkaji semula pengharaman itu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mempersoalkan pengharaman aktiviti tersebut dan bercadang membawa perkara itu ke mahkamah.

Soi Lek berkata tindakan mengharamkan perjudian itu menyalahi peruntukan perlembagaan yang turut menjamin hak-hak bukan Islam.

"MCA bukan menyokong perjudian tetapi apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan mengharamkan judi jelas telah menyalahi peruntukan perlembagaan yang menjamin hak-hak bukan Islam dalam soal ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan kerajaan Kelantan di Kota Bharu semalam.

"Kami (MCA) tidak dapat menerima penjelasan pemimpin PAS Kelantan dan selepas ini kami akan berbincang di peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya," ujar Soi Lek.

Delegasi MCA yang terdiri daripada pimpinan parti termasuk Naib Presiden Gan Ping Siew dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Kerajaan Kelantan pula diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Ahmad Zaki Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Annuar Tan Abdullah.

Takiyuddin berkata beliau mengalu- alukan perbincangan sedemikian kerana ia membuka ruang kepada kerajaan Kelantan untuk menjelaskan isu perjudian yang menjadi dasar PAS sejak memerintah pada 1990 lagi.

"Kita mengalu-alukan pertemuan dan perbincangan seperti ini yang memberikan ruang kepada kita untuk memperjelaskan isu ini dengan lebih terperinci lagi," katanya.TVSImbang Penuh

Kemunculan Semula Umi Hafilda & Rahim Tamby Chik : Kebetulan Atau Dirancang ???

Adakah kemunculan semula Ummi Hafilda Ali dan Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kancah politik untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku secara kebetulan atau sebahagian daripada perancangan licik untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu ?

Selepas menyisihkan diri dari arus politik tanah air untuk lebih 10 tahun Ummi Hafilda muncul semula dalam “road show” tajaan Umno untuk mengitar sekali lagi pelbagai tuduhan terhadap Anwar.
Setelah dipaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 dan gagal kembali ke persada utama Umno, kerana tuduhan merogol gadis bawah umur dan dibelit dengan dakwaan rasuah, Rahim ‘mengaum” semula dengan mengibarkan video seks lucah Anwar.
Kedua- duanya memberi amaran bahawa kononnya mereka mempunyai banyak pendedahan seks lain, seks yang akan terus mengaibkan Anwar. Malah, Rahim berkata Anwar tidak harus terkejut jika secara tiba- tiba lebih ramai lagi “Eskay” muncul membuat pendedahan.
Ummi pun tidak mahu ketinggalan. Beliau mendakwa ada 18 video seks membabitkan Anwar.
Ugutan mereka mirip kepada Senator Ezam Mohd Noor dan Datuk S.Nalakaruppan yang juga mendakwa menyimpan pelbagai bukti mengenai salah laku Anwar ketika beliau Timbalan Perdana Menteri.
Apakah semua perkembangan ini hanya secara kebetulan, bahawa individu bernama Ummi Hafilda dan Rahim Thamby Chik tidak mengenali satu sama lain, malah Umno langsung tidak terlibat dalam segala fitnah dan ugutan yang dibawa oleh mereka berdua ?
Bolehkah rakyat menerima bahawa Ummi dan Rahim melakukan serang hendap terhadap Anwar semata- mata sebagaimana yang didakwa mereka – untuk agama, bangsa dan negara dan bukan didorong kebencian untuk Ketua Pembangkang itu ? Dan, atau adakah imbuhan yang menanti jika misi mereka berjaya terlalu lumayan untuk ditolak?
Kebetulan atau sebahagian dari perancangan?
Jika kebetulan, maka adakah satu “kebetulan’ juga Ummi Hafilda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik berjumpa dengan Pengerusi Malaysia Airports Berhad Tan Sri Basir Ismail pada tahun 1998 untuk Ummi mendapatkan sebuah kontrak pengiklanan pada awal tahun 1998 ?
Berikut adalah keterangan yang diberikan oleh Ummi Hafilda kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 1998 apabila beliau disoal oleh peguam Anwar ketika itu, Christopher Fernando.
Fernando: Berhubung projek KLIA, adakah kamu ada berjumpa Tan Sri Basir? (Pengerusi MAB).
Ummi Hafilda: Berkenaan kontrak pengiklanan itu, saya ada bertemu dengan Tan Sri Basir di pejabatnya.
Fernando: Pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik ?
Ummi Hafilda: Saya tidak bersetuju bahawa pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim.
Fernando: Adakah kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik?
Ummi Hafilda: Saya tidak ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik tetapi saya telah berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir.
Fernando: Apa maksud berjumpa Tan Sri Rahim di sana?
Ummi Hafilda: Saya tidak pergi bersamanya, tetapi saya berjumpa dengannya di sana.
Ketika ditanya apakah peranan Rahim dalam pertemuan di KLIA itu, Ummi Hafilda berkata Rahim tidak memainkan apa-apa peranan, selain bercerita hal-hal politik dengan Basir. -Berita Harian

PKR Bertanding Di 49 Kerusi Di Sarawak

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 49 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri 16 April ini walaupun hanya menang di Padungan pada 2006 apabila pertama kali membuat penampilan dengan bertanding di 25 kerusi.
Ini menyebabkan parti itu akan terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di lebih 20 kerusi.
Ketua PKR negeri Baru Bian disahkan akan sekali lagi bertanding di Ba'Kelalan, satu-satunya kerusi yang Barisan Nasional masih belum mengumumkan calonnya.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini berkata PKR akan bertanding di 49 kerusi tetapi hanya memberikan senarai nama 47 calonnya tanpa memberikan nama calon bagi Jemoreng dan Semop.
Digugurkan ialah Dominique Ng yang menang di Padungan, kerusi yang ditukarkan dengan kerusi Batu Lintang antara PKR dan DAP.
Bercakap pada sidang media di sini, Azmin berkata PKR telah sebaik mungkin untuk mencapai persetujuan dengan parti-parti pembangkang dalam pembahagian kerusi tetapi gagal mencapai kata sepakat dengan SNAP dalam pembahagian kerusi di kawasan yang majoriti penduduknya etnik Iban.
Katanya PKR tidak akan bertanding di dua kawasan daripada 27 kawasan yang akan ditandingi oleh SNAP iaitu Pakan dan Marudi.
"Kami cuba menghormati semangat dalam Pakatan Rakyat untuk pertandingan satu lawan satu dengan BN.
"Bagaimanapun, dalam pertemuan terakhir, SNAP mendesak untuk bertanding di 27 kawasan, yang majoritinya daripada etnik Iban," katanya.