Selasa, 28 Disember 2010

Tok Guru Nik Aziz Mahu Mereka Yang Memfitnahnya Mohon Maaf


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, Selasa.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.-BERNAMA

Perlantikan Pengarah Jais Sebagai SUK Selangor Yang Baru Tidak Sah ???

SHAH ALAM 28 DIS: Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi(gambar) tidak sah dari segi perundangan selagi beliau tidak menandatangani surat perlantikan dan mengangkat sumpah setia di hadapan Menteri Besar kerajaan Pakatan Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Sulit untuk Sultan Selangor, Datuk Mohd Manir Bani yang mengumumkan kepada media hari ini bahawa perlantikan Khusrin telah mendapat perkenan Sultan dan merupakan perlantikan yang muktamad.

" Keputusan ini tidak wajar diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor, bahkan kalau ikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bawah Perkara 52 ianya mengatakan bahawa calon yang akan menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ini perlu mengangkat sumpah setia rahsia di hadapan Menteri Besar," jelas beliau.

Beliau yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Negeri Parti Tindakan Demokrat (DAP) Selangor berkata, Perkara 52 juga bermaksud jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab terus kepada Menteri Besar.

Justeru, pendirian kerajaan Selangor di dalam hal ini perlulah dipertimbangkan dan perlantikan tidak harus dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sahaja.

" Kalau mengikut undang-undang pun, tidak memestikan jawatan dipenuhi oleh calon daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, jawatan ini perlulah dilantik daripada suruhanjaya perkhidmatan yang berkenaan sahaja, maka tak semestinya perlu dilantik daripada SPA," jelas beliau lagi.

Tambahnya lagi, walaupun SPA mempunyai bilangan penjawat awam yang paling tinggi di negara ini tetapi itu tidak bermaksud perlantikan hanya boleh dibuat menerusi SPA sahaja dan perkara ini telahpun dinyatakan dengan jelas di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bahawa mana-mana calon termasuk daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri boleh dilantik.

Kes Menteri perkosa amahnya bermula bila adik mangsa buat aduan

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.
Surat tanpa tarikh (gambar) yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.
"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.
Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.
Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.
Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.
Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Perjalanan ke Banjarnegara

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.
"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.
Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.
Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.
"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.
Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.
"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.
Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.
Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Video : Isu Laser Pada Final Piala AFF,Bukti Penyokong Indonesia Yang Mula Dulu




KUALA LUMPUR - Jika peminat bola sepak Malaysia dipersalahkan kerana didakwa menggunakan pena pancaran laser, ada pengendali blog semalam mendedahkan perbuatan yang sama juga telah dilakukan oleh peminat skuad Garuda ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2010 antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.

Menurut entri blog Adamroslan.com yang bertajuk 'Piala Suzuki AFF 2010: Laser Hijau Siapa Yang Mula Dulu?' pengendali blog itu memuat turun klip video yang dihantar oleh seorang peminat bola sepak tempatan perlawanan berkenaan sewaktu Malaysia kalah 1-5 di tangan Indonesia pada 4 Disember lalu.

"Pendedahan klip video itu yang disunting daripada video rasmi AFF telah membuka pekung pasukan Indonesia yang bermain taktik ini semasa mengalahkan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya.

Menurut blog itu, ia juga bukti peminat bola sepak di republik itu juga turut bermain kotor.

"Jika benar faktor kekalahan Indonesia adalah kerana laser hijau, mereka perlu tanya kepada diri sendiri apa penyokong mereka buat di Stadium Gelora Bung Karno yang perlawanan peringkat kumpulan dahulu?," ujarnya.Kosmo

Siapakah menteri rogol amahnya?


KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?