Jumaat, 17 Disember 2010

Nazri Aziz, Pandikar Amin macam ‘penyamun’ filem Ali Baba Bujang Lapok



PETALING JAYA, 17 Dis — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar(gambar atas) menyamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz(gambar kiri) dan Speaker Dewan Rakyat Tan Seri Pandikar Amin Mulia(gambar kanan) sebagai watak penyamun dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendakwa Pandikar bertindak mengikut arahan dikeluarkan Nazri, dakwaan dinafikan oleh menteri itu.
“Kita berhadapan dengan cerita Ali Baba Bujang Lapok yang mana ketua penyamun (Nazri) dan sarjan pendek (Pandikar).
“Dalam cerita ini sarjan pendek mendengar arahan yang dikeluarkan ketua peyamun. Kita boleh tengok selepas menyamun sarjan pendek ini pergi membaling dadu. Dadu ini semua nombor dua sahaja.
“Dia baling hanya tiga kali sambil menjerit ‘siapa yang kena’, samalah macam kes ini keputusan cepat dibuat dan sarjan pendek tidak tunggu lama untuk membuat keputusan. Kalau dia baling dadu lebih tiga kali nanti dia pula yang kena,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Mahfuz berkata demikian dengan mengulas keputusan Parlimen yang menggantung empat wakil rakyat Pakatan Rakyat semalam.
Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, R. Sivarasa dan Azmin Ali daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan.

Pilihanraya Kecil Di Dun Tenang Johor

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang, Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN meninggal dunia di sini awal pagi tadi, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008.
Ketua Umno Labis itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira 1.10 pagi di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini - di mana Allahyarham dirawat sejak hampir sebulan lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Wakil rakyat dari Johor itu dimasukkan ke Hospital Segamat selama dua hari sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri pada 24 November.
Sulaiman, 59, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal pada pukul 12.45 tengah malam tadi sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noraini Yaakop dan tujuh anak.
Wakil rakyat Umno itu telah menjadi wakil rakyat selama dua penggal.
Jenazah Sulaiman terlebih dahulu dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Ubudian Ampang Tasik sebelum dibawa ke Labis untuk dikebumikan.
Sulaiman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang pada pilihan raya umum 2008 dan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
DUN Tenang berada dalam bahagian Parlimen Labis, yang menjadi kubu kuat Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan kini disandang oleh anaknya, Chua Tee Yong.
Satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Labis ialah Bekok yang turut dimenangi BN.
Spekulasi mengenai kesihatannya dan kemungkinan pilihan raya kecil ke-14 menjadi sebutan selepas Sulaiman tidak menghadiri sidang DUN bulan lalu, yang membahaskan bajet 2011.
Sejak pilihan raya umum 2008, 13 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya diadakan kerana kematian wakil rakyat.
Dua pilihan raya kecil - kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi diadakan 4 November lalu dengan kedua-duanya dimenangi oleh BN.
BN memenangi 50 kerusi DUN di Johor pada pilihan raya umum 2008 sementara DAP empat kerusi dan PAS dua kerusi.