Sabtu, 16 Oktober 2010

Kes Sosilawati : "Hukuman Tak Setimpal" - Erni, Anak Sosilawati




Hukuman yang diterima itu tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan ke atas mama dan tiga yang lain,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam.

Dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku berasa terkilan dengan keputusan itu, tetapi agak lega kerana pihak yang bertanggungjawab menerima pembalasan walaupun tidak setimpal.

Rita berkata, sepatutnya kedua-dua tertuduh yang mengaku bersalah menghapuskan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat ibu dan tiga rakannya ke sungai, menerima hukuman lebih daripada tujuh tahun penjara.

“Kalau betul apa yang mereka lakukan itu, saya rasa semua orang pasti setuju jika hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh kerana tindakan menghapuskan bukti hingga tiada mayat dan hanya tinggal serpihan tulang memang tidak berperikemanusiaan terutamanya kepada semua keluarga mangsa.

“Tetapi kalau peruntukan undang-undang sudah sedemikian saya akur dan percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa terutamanya polis,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Bot, petang semalam.

Selain itu, ekoran daripada pembebasan beberapa suspek lain yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes berkenaan, dia meluahkan perasaan sedikit gusar kerana selepas apa yang menimpa ibu dan tiga yang lain atau mungkin ramai lagi, banyak perkara yang difikirkan boleh berlaku ke atas diri dan keluarga.

“Bila dengar ada yang sudah bebas, saya berasa agak takut juga kerana mungkin masih ada dendam yang terpendam dan mungkin juga tidak, tetapi kita tidak tahu.

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah mengambil langkah lebih berhati-hati dan kehidupan sosial kini terpaksa dikurangkan,” katanya.

Namun, dia tidak menafikan kalau sesuatu perkara itu ingin berlaku ia akan tetap berlaku walau macam mana pun langkah berhati-hati diambil.

“Tengok macam mama, dia bukan pergi berseorangan tetapi ditemani tiga lelaki, kalau benda hendak jadi macam mana pun akan jadi. Kita terima musibah ini, cuma ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku,” katanya. Sementara itu, ditanya adakah dia masih lagi berharap ibunya bukan mangsa pembunuhan kejam itu, dia berkata selagi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak diumumkan selagi itu masih lagi ada harapan dan kalau betul ibunya sudah tiada dia terima takdir seadanya.GBImbang Penuh

Ibrahim Ali masuk ICU, jalani pembedahan jantung Isnin



Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kini dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung.

Beliau yang juga adalah presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dijadual menjalani pembedahan jantung Isnin ini.Pada 13 Oktober lalu, Ibrahim ketika dibidas pelbagai pihak kerana didakwa gagal berdiri ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati kematian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mendakwa tindakannya itu kerana kakinya kebas.

Katanya, ia akibat penyakit kencing manis dan rawatan perubatan yang diterimanya itu menyebabkann beliau seringkali mengantuk dan kadang-kadang sengal-sengal di kaki.

"Saya ada kencing manis, jadi kadang-kadang mata saya berair, kaki saya kebas dan kalau tak ada kawan saya mungkin tertidur."
Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada tekanan yang dihadapinya sejak akhir-akhir ini termasuk tindakan Istana Kelantan Rabu lalu yang melucutkan gelaran 'Datuk Paduka' ke atasnya itu menyumbang kepada masalah kesihatannya.

Pingat Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

Walaupun pingatnya ditarik balik oleh Sultan Kelantan sekarang, namun Ibrahim masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Lagi fitnah Umno Pulau Pinang

GEORGETOWN, 16 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menolak dakwaan Umno yang mendakwa kerajaan negeri telah meluluskan permohonan daripada beberapa institusi pengajian tinggi swasta yang akan dibina di Balik Pulau.

Katanya, sehingga ini tiada sebarang permohonan yang telah diterima dari mana-mana institusi seperti didakwa oleh Umno baru-baru ini.

"Dakwaan Umno kononnya kerajaan negeri sudah mewartakan tanah seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting di Balik Pulau untuk pembinaan institusi tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

"Mereka juga cuba memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa pembinaan institusi tersebut bagi kaum Cina adalah tuduhan yang tidak benar. Pendidikan adalah untuk semua golongan masyarakat dan tidak hanya kepada kaum tertentu sahaja," katanya semasa sidang media di Komtar, semalam.

Tambahnya, walaupun sebelum ini memang terdapat beberapa universiti luar negara menyuarakan hasrat mereka untuk membuka kampus cawangan di sini, namun sehingga ke hari ini belum ada permohonan yang diterima.

Sebelum ini, Umno mendakwa kerajaan negeri telah mewartakan tanah tersebut bagi pembinaan sebuah universiti swasta yang akan melenyapkan sebuah lagi perkampungan Melayu di Balik Pulau.

Mereka juga mendakwa tindakan kerajaan negeri dengan sengaja mencari tapak yang dihuni oleh masyarakat Melayu sebagai salah satu usaha untuk menyahkan mereka dari mendiami kawasan yang menjadi tumpuan majoriti masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Lim juga menafikan dakwaan Umno bahawa hanya tanah orang Melayu sahaja yang diambil untuk pembinaan institusi pengajian tinggi tersebut.

"Sebenarnya dalam proses pengambilan tanah dan jumlah tawaran yang diberikan bagi tanah terbabit kerajaan negeri tidak patut dipersalahkan. Proses ini dibuat menurut undang-undang yang ada serta dilakukan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun lalu.

"Nilai pampasan bukannya ditentukan oleh pihak kerajaan negeri, sebaliknya ia ditentukan oleh Jabatan Penilaian yang merupakan salah sebuah agensi Kerajaan Pusat," ujarnya lagi.Hrkh

Lagi kes hina Sultan Johor Di Facebook

SEORANG pelayar Internet melihat akaun Facebook yang menghina Sultan Johor semalam.

Untuk besarkan 'KLIK' pada gambar

JOHOR BAHRU - Kes penghinaan terhadap institusi diraja Johor di Facebook masih tidak berkesudahan. Terbaru, kemuliaan hati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa tinggi untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Isnin lalu disifatkan perbuatan membazirkan wang rakyat oleh satu pemilik akaun Facebook.

Pemilik akaun terbabit juga dipercayai menggunakan gambar seorang remaja perempuan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Difahamkan, pemilik akaun terbabit telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berunsur menghina institusi diraja Johor serta PDRM sebelum ini sebelum dinyahaktifkan beberapa bulan lalu.Bagaimanapun, akaun terbabit dipercayai telah diaktifkan semula pada bulan lepas.Pemerhatian Kosmo! di laman sosial berkenaan semalam mendapati akaun itu masih aktif.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan Facebook itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada pukul 4.33 petang kelmarin.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Kita akan siasat laman ini yang dilaporkan mengandungi maklumat palsu termasuk jika ada unsur hasutan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini semalam.Kosmo